Dari kedudukan ke-85 pada 18 November, Malaysia telah mencatat rekod dunia dengan melonjak 35 anak tangga dalam tempoh dua bulan setengah dan kini berada di antara 50 negara teratas dengan jumlah terkumpul kes positif Covid-19 tertinggi
Dari kedudukan ke-85 pada 18 November, Malaysia telah mencatat rekod dunia dengan melonjak 35 anak tangga dalam tempoh dua bulan setengah dan kini berada di antara 50 negara teratas dengan jumlah terkumpul kes positif Covid-19 tertinggi.
Saya menjangkakan Malaysia akan berada di antara 50 negara teratas dengan jumlah kes terkumpul Covid-19 yang tertinggi sebelum Tahun Baru Cina, namun ia telah tercapai seminggu sebelumnya.
Sekiranya negara kita meneruskan kadar peningkatan kes harian dengan lebih daripada 4,000 kes sehari, kita akan berada di kedudukan ke-49 hari ini, menewaskan Croatia yang mempunyai 234,153 kes berbanding 231,483 kes Covid-19 di Malaysia.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sedang dalam lawatan rasmi ke Indonesia dan akan bertemu Presiden Indonesia Joko Widodo dengan pematuhan SOP Covid-19 yang ketat.
Sekiranya Menteri dan pemimpin politik Perikatan Nasional memberikan teladan yang baik dengan mematuhi SOP Covid-19 yang ketat pada tahun lalu, dan mendapatkan kepercayaan dan keyakinan masyarakat dalam perang melawan wabak Covid-19, kita tidak akan berada di situasi yang begitu buruk seperti sekarang.
Untuk rekod, pada 18 November 2020, Indonesia berada di tangga ke-21 dan kini berada di tangga ke-19, sementara itu Filipina, negara ASEAN kedua dengan jumlah kes Covid-19 yang tertinggi, berada di tempat ke-26 pada November 18, 2020 dan kini berada di kedudukan ke-32.
Berdasarkan trajektori peningkatan kes Covid-19 di Malaysia (kenaikan harian purata untuk empat hari pertama bulan Februari adalah 4,118 kes) dan Filipina (kenaikan harian purata dalam empat hari pertama bulan Februari adalah 1,521 kes), Malaysia berkemungkinan mengatasi Filipina pada akhir bulan April.
Adakah Malaysia akan mengatasi Filipina sebagai negara kedua di ASEAN dengan jumlah terkumpul kes positif Covid-19 tertinggi, meskipun kita adalah negara keenam terpadat di ASEAN, selepas Indonesia, Filipina, Vietnam, Thailand dan Myanmar?
Kepercayaan dan keyakinan masyarakat terhadap cara kerajaan menguruskan wabak Covid-19 telah jatuh ke tahap terendah, seperti yang terlihat dalam kenyataan seorang aktivis masyarakat, Dr Mohamed Rafick Khan:
“Saya tidak lagi percaya dan yakin dengan cara kerajaan menguruskan masalah Covid-19 di Malaysia. Nampaknya masalahnya bukan COVID tetapi cara kerajaan menangani COVID. Orang ramai menderita kerana pengurusan yang tidak cekap."
SOP Tahun Baru Cina yang diumumkan oleh Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob semalam adalah salah satu contoh yang terbaik "pengurusan yang bermasalah" tersebut.
Selepas tamat lawatan rasmi di Indonesia nanti, adakah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, akan menilai sepenuhnya masalah ini dan merombak strategi sepenuhnya untuk mengembalikan keyakinan, kepercayaan dan sokongan masyarakat?