Adakah Majlis Keselamatan Negara akan membuka jalan untuk mengubah strategi kepada pendekatan yang menglibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” yang tidak perlu bergantung kepada peningkatan hukuman sebaliknya kempen penerangan yang efektif untuk mengembalikan kepercayaan dan keyakinan rakyat bagi menanamkan semangat ‘perang’ dalam semua rakyat Malaysia untuk melawan wabak Covid-19?

Semalam, dilaporkan bahawa terdapat 4,214 kes Covid-19 baharu dengan 10 kematian direkodkan di Malaysia, menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 sebanyak 219,173 kes dan 770 kematian.

Malaysia telah menaiki satu lagi anak tangga dari tangga ke-53 pada hari sebelumnya kepada tangga ke-52 antara negara-negara di dunia dengan kes Covid-19 terbanyak, meskipun rakyat Malaysia masih tertanya-tanya sama ada peningkatan kes Covid-19 baharu yang direkodkan semalam adalah kes tertunggak ataupun bukan.

Hari ini, Malaysia akan menggantikan Bulgaria sebagai negara ke-51 dengan jumlah kes terkumpul Covid-19 yang tertinggi.

Malaysia akan menjadi antara 50 negara teratas dengan jumlah kes Covid-19 terbanyak sama ada pada hari Khamis atau Jumaat.

Jelas, strategi Malaysia dalam perang melawan pandemik Covid-19 telah gagal untuk mengawal penularan gelombang ketiga wabak Covid-19 di Malaysia, baik dari segi pelaksanaan PKP 2.0 mahupun pengisytiharan darurat.

Malaysia adalah satu-satunya negara di Asia Pasifik yang mencatatkan lonjakan kes Covid-19 secara berturut-turut, yang berlangsung selama empat setengah bulan bermula dari 20 September 2020.

Bahkan India, negara kedua di dunia dengan jumlah kes Covid-19 terbanyak (10.8 juta kes Covid-19 dan 154,000 kematian) telah menyaksikan penurunan drastik dalam peningkatan kes harian Covid-19 dari 97,850 kes pada 17 September 2020 kepada 8,587 kes semalam.

Adakah Majlis Keselamatan Negara akan membuka jalan untuk mengubah strategi kepada pendekatan yang menglibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” yang tidak perlu bergantung kepada peningkatan hukuman sebaliknya kempen penerangan yang efektif untuk mengembalikan kepercayaan dan keyakinan rakyat bagi menanamkan semangat ‘perang’ dalam semua rakyat Malaysia untuk melawan wabak Covid-19?

Adakah Majlis Keselamatan Negara bersedia untuk menasihati Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil sidang khas Parlimen mengenai wabak Covid-19 untuk menjadikan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri sebagai platform utama perang melawan wabak Covid-19?

Inilah dua persoalan penting yang harus dijawab segera.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri