Berapakah angka sebenar jangkitan dan kematian Covid-19 untuk tiga hari yang lepas tanpa mengira kes tertunggak?

Rakyat Malaysia dikejutkan dengan pendedahan bahawa data peningkatan harian jangkitan dan kematian Covid-19 untuk tiga hari yang lepas tidak tepat memandangkan maklumat tersebut berserta dengan jumlah kes tunggakan.

Jadi, apakah jumlah kes sebenar jangkitan dan kematian Covid-19 untuk tempoh ini tanpa mengira kes-kes tertunggak ini?

Mengapakah pengumpulan tunggakan kes yang menambahkan jumlah kes harian tidak didedahkan daripada awal lagi?

Sebelum ini, dilaporkan bahawa peningkatan harian dan kematian akibat Covid-19 pada 29 Januari adalah 5,725 kes dan 16 kematian, pada 30 Januari; 5,728 kes dan 13 kematian, dan pada 31 Januari; 5,298 kes dan 14 kematian, membawa kepada sejumlah 16,571 kes dan 43 kematian untuk tiga hari tersebut.

Rakyat Malaysia berhak untuk mengetahui jumlah sebenar kes dan kematian untuk tempoh tiga hari yang lepas ini tanpa mengambil kira kes tunggakan sebelum ini.

Salah satu masalah terbesar kerajaan dalam mengendalikan wabak ini adalah defisit kepercayaan dan keyakinan rakyat kerana pelaksanaan layanan berbeza dalam pelaksanaan SOP Covid-19 di mana golongan VIP dan Menteri bebas mengingkarinya, keputusan kerajaan yang tidak menentu yang sering berubah yang menunjukkan Majlis Keselamatan Negara masih tidak mempelajari apa-apa pengajaran daripada PKP yang pertama, keengganan kerajaan untuk melaksanakan pendekatan dan strategi yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam memerangi wabak Covid-19, kegagalan PKP 2.0 untuk mengurangkan jumlah kes dalam negara, dan penggantungan sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri sedang wakil-wakil rakyat ini sepatutnya dilibatkan sebagai penggerak utama dalam pendekatan melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam melawan wabak ini.

Portal The Malaysian Insight menjalankan satu kaji selidik dan melaporkan sembilan daripada sepuluh orang yang dikaji dalam tempoh 24 jam melalui laman media sosial TMI mengatakan yang mereka tidak berpuas hati dengan cara kerajaan Perikatan Nasional mengendalikan wabak Covid-19.

Laporan ini diterbitkan sebelum daripada berita mengejutkan mengenai perbezaan dalam data jangkitan baharu dan kematian Covid-19 untuk tempoh tiga hari yang lepas!

Keyakinan dan kepercayaan rakyat kepada kerajaan dalam menguruskan wabak Covid-19 telah menjunam ke sifar.

Bolehkah kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap usaha kerajaan dalam mengendalikan wabak ini dikembalikan?

Kerana inilah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu menasihati Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil persidangan khas Parlimen mengenai wabak Covid-19 untuk melancarkan usaha yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam melawan Covid-19, menjadikan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri sebagai platform utama usaha ini.

Adakah Muhyiddin akan membuat pengumuman sebegini?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri