Ibrahim Durum telah gagal sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka apabila beliau secara sembrono memendekkan sidang DUN Melaka daripada empat hari kepada sehari semasa Melaka mencatatkan kadar jangkitan harian kedua terendah dengan sifar kematian sejak Hari Mengundi 20 November lepas

Ibrahim Durum telah gagal sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka apabila beliau secara sembrono memendekkan sidang DUN Melaka daripada empat hari kepada sehari semasa Melaka mencatatkan kadar jangkitan harian kedua terendah dengan sifar kematian pada 27 Disember 2021 untuk tempoh sejak Hari Mengundi 20 November lepas.

Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka tersebut tidak sepatutnya membenarkan Ketua Menteri Melaka, Sulaiman Md Ali untuk membawa usul untuk memendekkan sidang DUN daripada empat hari kepada sehari atas alasan empat orang Ahli Dewan Undangan Negeri tidak dapat hadir kerana telah dijangkiti Covid-19 manakala tiga orang lagi perlu menjalani kuarantin selepas menjadi kontak rapat.

Saya bersetuju dengan ADUN DAP Ayer Keroh, Kerk Chee Yee, yang perkara ini bukanlah alasan yang cukup kuat untuk memendekkan sidang khas DUN Melaka kepada sehari, memandangkan pentadbiran kerajaan negeri sebaliknya perlu mengambil tindakan untuk memastikan badan perundangan negeri tidak terjejas akibat wabak Covid-19.

Perkara ini lebih menonjol apabila sepanjang tahun 2021, terdapat hanya satu sidang (biasa) yang diadakan.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri