Seruan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk memanggil Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, untuk menjawab mengenai pertuduhan berat yang mula timbul sejak dua bulan yang lepas

Situasi yang ideal adalah dengan diadakan sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Rasuah dan Penyalahgunaan/Pembaziran Dana Awam yang perlu menjalankan siasatan ke atas pertuduhan mengenai integriti yang telah dibuat terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, sejak lebih daripada dua bulan yang lepas yang telah membawa kepada peletakan jawatan Ahli Akademik, Edmund Terence Gomez daripada Panel Rundingan dan Pencegahan Rasuah kerana ketiadaan tindakan daripada pihak SPRM dalam dua bulan yang lepas.

Tetapi sekiranya sekali pun Perdana Menteri bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas sebegitu, Jawatankuasa ini hanya akan boleh dibentuk apabila Parlimen bersidang dua bulan daripada sekarang pada 28 Februari, sedangkan apa yang diperlukan sekarang adalah tindakan segera untuk mengatasi masalah defisit kepercayaan terhadap kerajaan, khususnya dalam SPRM.

Tindakan terbaik buat masa ini adalah untuk semua sembilan orang ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri, yang dipengerusikan oleh Ahli Parlimen PAS dari Kuala Krai, Abdul Latiff bin Abdul Rahman untuk bertindak dengan memanggil Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, untuk menjawab pertuduhan berat yang telah timbul terhadap beliau sejak dua bulan yang lepas.

Saya puji dua orang ahli Jawatankuasa ini, Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong, dan Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin, yang telah memberikan respons yang pantas dan positif.

Saya berharap Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas ini, Abdul Latiff, dan enam orang ahli-ahli lain, iaitu; Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin bin Abdul Rahman, Ahli Parlimen Parit, Mohd Nizar bin Zakaria, Ahli Parlimen Baram, Anyi Ngau, Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnan bin Abdul Kadir, Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen, dan Ahli Parlimen Sepanggar, Mohd Azis bin Jamman, semuanya akan bersetuju supaya satu laporan daripada Jawatankuasa Pilihan Khas berserta dengan cadangan-cadangannya dapat dibentangkan di Dewan Rakyat pada hari pertama Penggal kelima yang akan bermula pada 28 Februari 2022.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri