Minggu memalukan terakhir untuk Malaysia dalam 2021 – Peter Anthony berubah menjadi “katak” dan membentuk parti politik baharu dengan “katak” lain

Kita berada dalam minggu memalukan yang terakhir untuk tahun 2021.

Pada hari Sabtu, 25 Disember, 2021, Perdana Menteri Ismail Sabri mengabaikan majlis jamuan minum petang Krismas tahunan anjuran Persekutuan Kristian Malaysia, yang telah dihadiri oleh Perdana Menteri atau wakilnya setiap tahun sejak 1999, menandakan bahawa “Keluarga Malaysia” Ismail Sabri adalah bukan untuk perpaduan dalam kepelbagaian penduduk Malaysia yang berbilang kaum, bahasa, agama dan budaya dan bahawa sebenarnya tiada dasar penyatuan langsung.

Seorang Kristian di Malaysia percaya bahawa Malaysia kini mempunyai seorang Perdana Menteri yang tidak mempunyai Mesej Krismas kepada penganut Kristian, kerana tiada media cetak utama dan media elektronik telah menerbitkan mesej Krismas sedemikian.

Adakah ini akan menjadi dasar baharu di Malaysia!

Pada hari Ahad, 26 Disember 2021, kita menyaksikan Menteri Kabinet melancarkan Operasi Kawalan Kerosakan kerana salah urus bencana banjir besar mereka terutamanya di Selangor dan Pahang, yang merupakan aksi perhubungan awam yang tidak memberi manfaat kepada mana-mana mangsa banjir.

Rina Harun memulakan Operasi, dan walaupun tidak memakai kasut tumit tinggi atau berada di majlis makan malam di hotel besar, beliau telah menggunakan mesin pencuci air untuk mencuci tapak kaki lima yang kelihatan bersih sambil dikelilingi jurukamera.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kemudiannya menjelaskan bahawa Rina sedang membersihkan kotoran najis burung dan cicak yang sukar dihilangkan sebelum ini, menjadikan Rina Harun sebagai pembersih tahi burung dan cicak dengan bayaran tertinggi di dunia.

Eksploitasi Rina mengingatkan rakyat Malaysia tentang satu lagi video Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz dan rombongannya dalam bot Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam lawatan bersiar-siar apabila bot itu boleh digunakan untuk perkara yang lebih mendesak.

Selepas kejadian “semburan air” Rina, terdapat isu “penyodok” Perdana Menteri Ismail Sabri di mana beliau bergambar di hadapan kamera akhbar dengan penyodok yang digunakannya untuk mencedok dan melemparkan sedikit lumpur sekali sebelum penyodok itu diserahkan semula kepada seseorang anggota bomba.

Ismail juga mencipta sejarah dunia di mana sebuah ambulans terpaksa menunggu di satu simpang untuk memberi laluan kepada konvoi Perdana Menteri untuk melakukan gimik ini.

Contoh terkini dalam Ops Kawalan Kerosakan pula datang daripada Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang merakam gambar memandu lori sebagai sumbangannya kepada usaha dalam situasi banjir, tetapi beliau terlupa untuk memasukkan kunci lori.

Bila masakah para pembayar cukai menggajikan Perdana Menteri dan Menteri-menteri Kabinetnya untuk menjadi pelawak?

Pada hari Isnin, 27 Disember 2021, seorang penjenayah yang disabitkan bersalah telah merasmikan persidangan antarabangsa di Malaysia.

Kita bukan sahaja mempunyai "kleptokrasi yang paling teruk" di Malaysia, kita juga mempunyai situasi di mana selepas Mahkamah Rayuan telah mengisytiharkan bekas Perdana Menteri sebagai "memalukan negara" dengan skandal 1MDB semasa pentadbiran beliau di mana beliau gagal membezakan antara perkara yang betul dan salah, beliau masih didewakan sebagai “Bossku”.

Isunya bukanlah apa yang dikatakan oleh penjenayah ini di persidangan antarabangsa tersebut, yang mana sesetengahnya memang tepat, tetapi isunya adalah hakikat di mana seorang penjenayah yang telah tersabit bersalah dijemput untuk merasmikan persidangan antarabangsa – membawa malu kepada negara, suatu perkara yang sepatutnya diielakkan oleh kedua-dua penjenayah tersebut dan juga pihak penganjur persidangan antarabangsa tersebut sekiranya mereka mempunyai kesopanan dan perasaan cinta kepada negara.

Pada hari Selasa, 28 Disember 2021, ahli akademik Edmund Terence Gomez meletak jawatan daripada Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dengan menekankan bahawa ada sesuatu yang sangat buruk dengan usaha pencegahan rasuah di Malaysia.

Gomez meletak jawatan sebagai protes terhadap ketiadaan tindakan Panel tersebut terhadap dakwaan pemilikan ketua hampir dua juta saham dalam sebuah syarikat tersenarai oleh ketua pesuruhjaya SPRM Azam Baki.

Walaupun terdapat dakwaan yang SPRM ini dibentuk mengikut model badan anti-rasuah yang unggul di negara lain, seperti Independent Anti-Corruption Commission (ICAC) di Hong Kong, tidak ada mana-mana badan anti-rasuah yang terkenal di dunia yang akan mengabaikan dakwaan serius mengenai isu integriti ketua badan anti rasuah mereka selama dua bulan.

Terdapat lima badan bebas yang memantau SPRM untuk menajmin integriti dan melindungi hak rakyat. Badan-badan ini diuruskan secara berasingan daripada pejabat kerajaan yang lain untuk memberikan perspektif yang bebas. Lima badan itu ialah: Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, Jawatankuasa Aduan, Panel Semakan Operasi, dan Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah.

Kelima-lima badan yang berfungsi untuk menjaga integriti SPRM dan melindungi hak rakyat ini patut meletak jawatan secara beramai-ramai sebagai tanda protes terhadap kegagalan SPRM dan Kabinet untuk bertindak ke atas dakwaan berat terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, yang mula muncul pada 26 Oktober 2021.

Sikap berdiam diri dan kegagalan Ismail Sabri untuk bertindak atas dakwaan terhadap Azam adalah tidak boleh diterima sama sekali dan tidak boleh dipertahankan jika “Keluarga Malaysia” beliau hendak disamakan dengan Rukun Negara, khususnya mengenai prinsip “kedaulatan undang-undang” dan “kesopanan dan kesusilaan”.

Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM berhujah bahawa Gomez tidak membangkitkan dakwaan salah laku Ketua Pesuruhjaya SPRM sebelum beliau meletakkan jawatan sebagai ahli panel.

Ini adalah alasan yang sangat lemah. Saya tidak mengetahui komunikasi Gomez dengan Panel, tetapi alasan ini tidak kuat langsung kerana dakwaan terhadap ketua SPRM telah dibuat secara terbuka sejak 26 Okt.

SPRM telah merosot dan rosak sehingga ke tahap di mana ia mengabaikan Laporan Ketua Audit Negara 2019 Siri 2 mengenai enam kolam tebatan banjir di Kuala Lumpur yang mungkin melibatkan salah guna kuasa, seperti yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen DAP Segambut, Hannah Yeoh.

Perkara ini adalah satu tamparan hebat kepada kepada imej dan integriti usaha melawan rasuah dalam sejarah Malaysia sejak tahun 1967, sama ada melalui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Badan Pencegahan Rasuah (BPR).

Pada hari Rabu, 29 Disember 2021, rakyat Malaysia terpaksa bergelut dengan pengumuman bahawa bekas menteri Sabah, Peter Anthony, telah meninggalkan Warisan untuk menubuhkan sebuah parti politik baharu yang akan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Sabah pimpinan GRS – peningkatan populasi “katak politik” di Malaysia.

Anthony berkata beliau membuat keputusan untuk keluar dari Warisan selepas mendapati parti itu telah tersasar jauh dalam memperjuangkan hak dan kesejahteraan rakyat Sabah apabila melebarkan sayapnya ke semenanjung.

Anthony akan disertai oleh seorang lagi "katak politik", ADUN Limbahau Juil Nuatim yang kedua-duanya mengumumkan meninggalkan Warisan untuk menubuhkan parti politik baharu yang menyokong pentadbiran negeri pimpinan GRS.

Pakatan Harapan menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) kepercayaan-perbekalan-reformasi (CSR) dengan Perdana Menteri Ismail Sabri pada 13 September 2021 atas dua sebab utama;

- Pertamanya, untuk mengutamakan, dalam 10 ke 18 bulan akan datang sehingga Pilihan Raya Umum ke-15, perang melawan wabak Covid-19 yang merupakan ancaman besar kepada Malaysia yang telah menjangkiti lebih daripada dua juta kes dan mengorbankan lebih daripada 21,000 nyawa; dan

- Kedua, untuk menetapkan semula reformasi institusi dan parlimen supaya negara boleh memulakan pemulihan ekonomi, sosial dan negara untuk menyelamatkan nyawa dan mata pencarian.

Salah satu objektif MOU adalah untuk menghentikan "lompat katak politik", yang telah merosakkan nilai perjuangan politik kepada nilai yang ditawarkan oleh pembida tertinggi.

Sejak MoU dimeterai, perbezaan kritikal antara Pakatan Hapran dan parti-parti kerajaan telah muncul – mengenai Rukun Negara, kedaulatan undang-undang, tadbir urus yang baik, perang menentang rasuah dan salah guna kuasa, menghormati hak asasi manusia dan kebebasan bersuara, ketidaksamaan ekonomi, sosial dan pendidikan di negara ini, Malaysia sebagai sebuah negara besar bertaraf dunia dan bagaimana untuk menjalin perpaduan Malaysia daripada pelbagai kaum, agama, wilayah dan budaya di Malaysia.

Sekiranya Ismail Sabri gagal mematuhi perjanjiannya dalam MoU CSR, Pakatan Harapan perlu memutuskan sama ada untuk meneruskan MoU CSR itu.

Salah satu syarat MoU adalah untuk menggubal undang-undang untuk mengharamkan “katak politik” di negara ini menjelang mesyuarat pertama sesi kelima Parlimen pada awal 2022.

Sekiranya undang-undang sedemikian tidak diluluskan pada mesyuarat pertama Parlimen dalam sesi kelimanya dari 28 Februari hingga 24 Mac, 2022, Ismail Sabri telah mengingkari komitmennya di bawah MOU CSR dan menjatuhkan hukuman mati ke atas perjanjian ini.

Ada dua hari lagi sebelum 2022.

Adakah akan ada dua lagi perkara memalukan, satu untuk setiap hari terakhir 2021 untuk melengkapkan Minggu Terakhir Memalukan 2021?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri