Satu lagi contoh keburukan baru untuk Malaysia – selain daripada skandal 1MDB, dikenali sebagai antara negara dengan prestasi paling buruk dalam menguruskan penularan wabak Covid-19, pengurusan bencana banjir besar yang teruk di Selangor dan Pahang, dan ketiadaan Perdana Menteri ke Majlis Minum Petang Krismas – kini seorang penjenayah yang disabitkan bersalah dijemput untuk merasmikan persidangan antarabangsa

Terdapat banyak perkara yang memalukan negara baru-baru ini.

Daripada skandal global 1MDB yang disifatkan oleh mantan Peguam Negara AS sebagai "kleptokrasi dalam bentuk terburuk"; Malaysia juga dilihat sebagai antara negara dengan prestasi paling buruk dalam menangani penularan wabak Covid-19 sejak dua tahun lalu dengan hampir 2.75 juta kes jangkitan Covid-19 dan lebih daripada 31,000 korban nyawa; bekas Perdana Menteri pula digelar Mahkamah Rayuan sebagai "perkara memalukan negara" semasa menjadi perdana menteri; pengurusan bencana banjir besar yang teruk di Selangor dan Pahang yang kini telah menyebabkan kehilangan sekurang-kurangnya 48 orang nyawa; sehingga kepada ketidakhadiran Perdana Menteri ke Majlis Minum Petang Tahunan Krismas yang telah memusnahkan slogan “Keluarga Malaysia”, kita ingat sudah cukuplah perkara yang memalukan negara setakat ini.

Percubaan untuk memperbaiki imej yang disebabkan oleh kegagalan-kegagalan ini hanya memburukkan lagi keadaan, dengan ambulans terpaksa memberi laluan kepada konvoi Perdana Menteri (mana yang lebih penting, menyelamatkan nyawa dengan memberikan laluan kepada ambulans atau mengutamakan konvoi lawatan Perdana Menteri) dan ketidakupayaan untuk melepasi ujian ketelusan dan akauntabiliti berhubung pembatalan cuti akhir tahun Menteri Kabinet dan arahan kepada semua Menteri yang bercuti di luar negara untuk pulang segera ke tanah air bagi berkongsi kesusahan bersama rakyat yang dilanda bencana banjir.

Tetapi, masih ada perkara yang lebih buruk – seorang penjenayah yang telah disabitkan bersalah, walaupun telah memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan, telah dijemput untuk merasmikan persidangan antarabangsa pagi ini.

Saya mungkin bersetuju dengan beberapa perkara yang dikatakan penjenayah yang disabitkan bersalah ini semasa merasmikan persidangan antarabangsa pagi ini, khususnya yang menyentuh mengenai kenyataan mantan Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad berkenaan isu “chopstick”, yang menurut beliau merupakan suatu kesilapan – sambil menegaskan bahawa persoalan tentang jenis perkakasan makan yang digunakan oleh orang Cina di Malaysia bukanlah hal yang penting, kerana apa yang lebih penting adalah semua orang Cina tempatan sememangnya menjiwai semangat rakyat Malaysia.

Tetapi itu adalah persoalan yang lain.

Menjemput penjenayah yang disabitkan bersalah untuk merasmikan persidangan antarabangsa adalah kemuncak keburukan baru bagi Malaysia.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri