Ketiadaan Ismail Sabri dalam Majlis Minum Petang Krismas menunjukkan kegagalan beliau untuk menunjukkan yang beliau adalah Perdana Menteri untuk semua rakyat Malaysia dan kegagalan slogan Keluarga Malaysia untuk menjadi sebuah keluarga yang inklusif tanpa mengira kaum, agama, atau kawasan

Ketiadaan Ismail Sabri dalam Majlis Minum Petang Krismas yang dianjurkan Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) menunjukkan kegagalan beliau untuk menunjukkan yang beliau adalah Perdana Menteri untuk semua rakyat Malaysia dan kegagalan slogan Keluarga Malaysia untuk menjadi sebuah keluarga yang inklusif tanpa mengira kaum, agama, atau kawasan.

Seorang Perdana Menteri yang benar-benar menjiwai Perlembagaan Persekutuan dan prinsip-prinsip Rukun Negara tidak akan terlepas majlis minum petang tahunan ini atau sekurang-kurangnya akan memastikan beliau akan diwakili di majlis ini secara rasmi.

Malaysia tidak akan boleh berjaya sebagai sebuah negara Melayu, Cina, India, Kadazan, atau Dayak – sebaliknya kita hanya boleh berjaya sebagai sebuah negara Malaysia.

Sebelum konspirasi Langkah Sheraton pada bulan Februari 2020 yang menjadikan beliau seorang Menteri Kanan, kemudiannya Timbalan Perdana Menteri, dan akhirnya Perdana Menteri kesembilan Malaysia, Ismail Sabri adalah seorang pejuang utama ideologi “Utamakan Melayu” yang bersedia untuk menggunakan penipuan dan berita palsu untuk menyerang musuh politiknya.

Sebagai contoh, beliau telah menuduh yang kerajaan Pakatan Harapan berada di bawah kawalan DAP dan orang Cina di Malaysia, dan kononnya DAP yang berada di sebalik rancangan kerajaan PH untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Diskriminasi Perkauman (ICERD) untuk menindas orang Melayu dan Islam sedangkan perkara ini semuanya hanyalah penipuan dan berita palsu.

Beliau patut bertanya kepada Menteri Luar Negeri beliau sendiri, Saifuddin Abdullah, yang juga merupakan Menteri Luar Negeri di bawah pentadbiran Pakatan Harapan, sama ada DAP mempunyai sebarang pengetahuan mengenai ucapan Perdana Menteri Dr Mahathir di Persidangan Umum Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang ke-73 pada bulan September 2018 yang menyatakan komitmen untuk meratifikasi semua konvensyen PBB berkenaan dengan hak-hak asasi manusia.

Malah sebenarnya, pemimpin DAP sendiri terkejut seperti orang-orang lain dengan ucapan Mahathir di PBB mengenai ratifikasi konvensyen-konvensyen ini.

Saya amat ragu-ragu dengan perubahan Ismail Sabri ke arah pemikiran “Utamakan Malaysia” yang lebih inklusif semasa beliau mula muncul dengan slogan “Keluarga Malaysia” ini sejak menjadi Perdana Menteri, tetapi saya bersedia untuk memberikan peluang untuk beliau meninggalkan masa lampaunya.

Ismail Sabri telah gagal dengan tugas ini, bukan sahaja dengan ketiadaan beliau semasa majlis minum petang Krismas Sabtu lepas, tetapi juga dengan prestasi buruk kerajaannya sejak beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri – dalam Belanjawan 2022 dan pengurusan bencana banjir besar terutamanya di Selangor dan Pahang.

Soalan yang mesti ditanyakan: Adakah Ismail Sabri menerima prinsip-prinsip Rukun Negara sebagai asas pembinaan negara bangsa yang berbilang bahasa, agama, dan budaya?

Sekiranya ya, mengapakah beliau membiarkan Menteri dan Timbalan Menteri yang menolak prinsip-prinsip ini untuk kekal di dalam barisan Kabinet beliau?

Indonesia kelihatan seperti telah berjaya dengan lebih baik dalam menyatukan ke semua 278 juta penduduknya dengan lima prinsip Pancasila mereka berbanding dengan usaha menyatukan 33 juta penduduk di Malaysia dengan lima prinsip Rukun Negara kita.

Lima prinsip pembinaan negara bangsa Pancasila adalah:

  1. Ketuhanan yang Maha Esa
  2. Kemanusiaan yang adil dan beradab
  3. Persatuan Indonesia
  4. Kerakyatan yang dipimpin oleh hikmat kebijaksanaan dalam permusyawaratan/perwakilan
  5. Keadilan sosial bagi seluruh rakyat Indonesia

Lima prinsip pembinaan negara bangsa Rukun Negara pula adalah:

  1. Kepercayaan kepada Tuhan
  2. Kesetiaan kepada Raja dan Negara
  3. Keluhuran Perlembagaan
  4. Kedaulatan Undang-undang
  5. Kesopanan dan Kesusilaan

Mengapakah Pancasila ini kelihatan lebih berjaya di Indonesia berbanding dengan Rukun Negara di Malaysia?

Salah satu sebabnya adalah pemimpin kerajaan di Indonesia menerima prinsip-prinsip Pancasila ini sedangkan tidak semua pemimpin kerajaan di Malaysia menerima prinsip-prinsip Rukun Negara.

Sejak tahun 1993, Kementerian Hal Ehwal Agama di Indonesia mengadakan Sambutan Krismas dan Menteri Hal Ehwal Agama di Indonesia melihat dirinya sebagai Menteri untuk semua agama di Indonesia, bukan hanya satu agama.

Tetapi di Malaysia, kita ada penceramah asing yang dihadiahkan dengan status penduduk tetap yang telah menyampaikan ceramah berbaur kebencian, intoleransi, dan ekstremisme dan baru-baru ini memberikan amaran kepada orang Islam untuk tidak menyertai perayaan bukan Islam seperti mengucapkan “Merry Christmas” kepada orang Kristian.

Bencana banjir di Selangor dan Pahang baru-baru ini telah membuktikan penceramah asing ini salah, bahawa rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang kaum bukanlah bersifat ekstremis, tidak bertoleransi, dan suka memecah-belah di antara Muslim dan bukan-Muslim, sebaliknya akan bekerjasama dengan nilai-nilai murni ajaran Islam untuk menggalakkan perasaan hormat-menghormati dalam kepelbagaian beragama dan menghormati maruah setiap insan.

Seluruh negara menantikan penjelasan Perdana Menteri mengenai ketiadaan beliau pada Majlis Minum Petang Krismas Tahunan dan kegagalan beliau untuk menghantarkan wakil rasminya.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri