Marilah kita sama-sama mengambil iktibar daripada wabak Covid-19 dan bencana banjir besar yang melanda negara ketika ini – bahawa kita mesti bersatu sebagai rakyat Malaysia dan membantu antara satu sama lain kerana bencana tidak mengenal warna kulit mahupun agama
Rakyat Malaysia akan menyambut Krismas tahun ini di tengah-tengah dua bencana, pandemik Covid-19 dan banjir besar khususnya di Selangor, Pahang dan Kelantan.
Marilah kita sama-sama mengambil iktibar daripada penularan wabak Covid-19 yang telah berlarutan sejak dua tahun lalu dan bencana banjir besar yang melanda negara ketika ini – bahawa kita mesti bersatu sebagai rakyat Malaysia dan membantu antara satu sama lain kerana bencana ini tidak mengenal warga kulit mahupun agama.
Jumlah kumulatif kes jangkitan wabak Covid-19 di negara ini telah melepasi 2.7 juta dan meragut lebih 31,000 nyawa manakala banjir besar yang melanda negara sejak beberapa hari lepas telah meragut 41 nyawa dan memusnahkan harta benda, menurut satu anggaran, bernilai kira-kira RM20 bilion malah menjejaskan mata pencarian rakyat daripada pelbagai latar kaum dan agama.
Sejuk hati apabila mendengar bahawa masjid-masjid di Lembah Klang menjadi tempat perlindungan kepada mangsa banjir tanpa mengira kaum atau agama.
Ini adalah pengajaran yang mesti kita semua pelajari – bahawa kita semua adalah manusia adalah sebab mengapa kita harus menjiwai semangat “Malaysian First”.
Kita berada di persimpangan kritikal pembangunan negara bangsa, tertanya-tanya bagaimana dan mengapa kita gagal memenuhi janji kita sebagai sebuah negara bangsa setelah lebih setengah abad tanah air ini dibina.
Sebagai permulaan, marilah kita memulihkan semula sikap kita, semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama atau wilayah, harus menjunjung dan memperkukuh prinsip pembinaan negara bangsa, tanpanya Malaysia tidak akan menjadi negara hebat bertaraf dunia yang bersatu padu, berbilang kaum, berbilang agama, budaya, demokratik, adil, saksama dan progresif dalam bidang sains dan teknologi moden.
Tiada “Keluarga Malaysia” jika semangat Rukun Negara tidak dijiwai dengan sepenuh hati.