Adakah Perdana Menteri Ismail Sabri sendiri tidak tahu siapa Pengerusi Majlis Keselamatan Negara Selangor?
Semalam, saya meminta Perdana Menteri Ismail Sabri memaklumkan kepada umum siapa sebenarnya Pengerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor kerana kekeliruan seumpama itu tidak sepatutnya timbul di tengah-tengah bencana banjir paling dahsyat yang berlaku dan telah meragut 37 nyawa setakat ini.
Perdana Menteri senyap seribu bahasa sejak semalam.
Mungkinkah Perdana Menteri sendiri tidak tahu siapa Pengerusi MKN Selangor dan begitu lembab untuk memperbetulkan isu tersebut?
Tiada siapa yang dapat memahami bagaimana Ismail Sabri boleh memberikan markah 90 peratus markah kepada Kabinetnya untuk prestasi mereka dalam seratus hari pertama, sedangkang pengurusan isu banjir di Selangor dan Pahang begitu hura-hara ditambah dengan kehilangan nyawa yang tidak pernah berlaku sebelum ini selain kerugian harta benda yang tak ternilai banyaknya. Ini sekaligus membuktikan Perdana Menteri memberikan markah yang salah kepada Kabinetnya.
Adakah Malaysia telah terjerumus ke lembah kakistokrasi selepas dilanda kleptokrasi?
Bilakah Ismail Sabri boleh memberitahu kita semua siapa sebenarnya Pengerusi MKN Selangor?