Adakah kerajaan Ismail Sabri telah terjerumus ke lembah kakistokrasi di mana tangan kanan tidak tahu apa yang tangan kiri lakukan?

Dakwaan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Noh Omar bahawa beliau masih merupakan pengerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri Selangor sedangkan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari setelah itu menegaskan bahawa beliau telah menyambung semula tugasnya sebagai ketua MKN negeri, telah menimbulkan pelbagai kekeliruan.

Adakah Kerajaan Persekutuan, yang mana Perdana Menteri Ismail Sabri memberikan markah 90 peratus kepada Kabinet gergasinya untuk prestasi 100 hari pertamanya, telah terjerumus ke dalam kakistokrasi di mana tangan kanan tidak tahu apa yang tangan kiri lakukan?

Adakah beliau telah tiba-tiba menjadi begitu dungu?

Siapakah pengerusi MKN Selangor – Amiruddin Shari atau Noh Omar?

Bolehkah Perdana Menteri, Ismail Sabri membuat pengumuman untuk menamatkan teka-teki itu kerana kekeliruan itu sepatutnya tidak timbul di tengah-tengah bencana banjir paling dahsyat yang sehingga kini telah meragut 27 nyawa -- angka kematian tertinggi sejak kali terakhir banjir besar melanda negara pada 2014.

Atau adakah Perdana Menteri "keliru" mengenai perkara itu seperti mana Noh Omar dan Amiruddin Shah, malah tidak mampu untuk memberi sebarang penjelasan mengenai perkara itu?

Saya bersetuju dengan bekas Menteri, Rafidah Aziz, yang menyifatkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebagai “bencana” dan dengan kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Bersatu Rais Hussin bahawa tidak ada alasan yang patut diberikan dalam pengurusan bencana yang tidak diselaraskan dengan baik dan kerajaan harus lebih prihatin tentang kesiapsiagaan menangani bencana dan pengagihan bantuan pasca bencana.

Kerajaan Ismail Sabri terlalu lalai kerana tidak membentangkan kenyataan Menteri berhubung bencana banjir besar yang melanda Selangor dan Pahang pada hari terakhir persidangan Dewan Rakyat pada 20 Disember 2021.

Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun berkata benar apabila beliau menafikan dakwaan bahawa beliau menolak usul membahaskan situasi banjir yang sedang melanda negara pada hari terakhir persidangan Dewan Rakyat pada Isnin, namun beliau gagal sebagai Speaker Dewan Rakyat kerana tidak dapat memastikan isu bencana banjir ini menjadi topik utama yang dibahaskan pada hari terakhir persidangan Dewan Rakyat.

Ini boleh dilakukan dalam pelbagai cara, termasuk bertanya mengapa kerajaan Ismail Sabri tidak menyediakan perbahasan khas mengenai bencana banjir sebelum Isnin -- selaras dengan doktrin pengasingan kuasa di mana Parlimen adalah setara dengan Eksekutif sebagai dua daripada tiga cabang kerajaan dan Parlimen tidak tunduk kepada kemahuan Eksekutif.

Bolehkah kita belajar daripada kesilapan kita?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri