Kita sudah terlepas peluang dan tidak akan dapat kembali ke situasi Covid-19 seperti sebelum darurat dalam tahun ini, apatah lagi untuk menamatkan gelombang Covid-19 terpanjang di dunia yang melanda negara sejak September tahun lalu
Rakyat Malaysia kini perlu berwaspada dengan bencana berkembar di Malaysia – pandemik Covid-19 selama dua tahun dan bencana banjir di Selangor dan Pahang, yang telah meragut 27 nyawa setakat ini, angka kematian tertinggi sejak banjir besar melanda negara pada 2014.
Dari segi situasi pandemik Covid-19, yang telah meragut 31,221 nyawa dan melebihi jumlah kumulatif 2.7 juta kes Covid-19, kita telah ketinggalan jauh dan tidak akan dapat kembali ke situasi pandemik Covid-19 sebelum darurat, apatah lagi menamatkan gelombang Covid-19 terpanjang di dunia sejak September tahun lalu.
Semalam sebanyak 3,519 kes harian baharu Covid-19 direkodkan dengan 29 korban, sekaligus menandakan yang kita tidak akan kembali ke situasi pandemik Covid-19 seperti mana sebelum darurat diisytiharkan apabila terdapat 2,232 kes harian baharu Covid-19 dan empat korban semasa darurat diisytiharkan untuk memerangi pandemik Covid-19.
Situasi ini agak bahaya memandangkan peningkatan kes dan korban Covid-19 yang semakin tinggi meskipun darurat diisytiharkan di negara ini dan Malaysia tewas kepada negara yang tidak mengisytiharkan sebarang darurat untuk memerangi pandemik wabak itu.
Kes baharu Covid-19 sebanyak 2,589 yang direkodkan pada 20 Disember – terendah dalam tempoh lebih tujuh bulan – memberi harapan bahawa terdapat kemungkinan untuk kembali ke tahap sebelum darurat diisytiharkan pada Januari tahun ini jika sekalipun tidak menamatkan gelombang ketiga Covid-19 di negara ini yang bermula pada September tahun lepas, tetapi kes baharu Covid-19 dalam dua hari terakhir – 3,140 kes pada 21 Disember dan 3,519 kes pada 22 Disember – adalah petunjuk bahawa minggu terakhir 2021 akan menunjukkan bahawa kita masih bergelut untuk menurunkan angka kes di bawah paras 3,000.
Situasi ini amat tragis dan memalukan, apabila negara lain, khususnya di ASEAN, melakukan yang lebih baik dalam memerangi pandemik Covid-19 – dengan Indonesia semalam melaporkan 179 kes baharu dan 10 korban, Filipina 261 kes baharu dan 122 korban, Thailand 2,532 kes dan 31 korban dan Singapura 335 kes baharu dan satu korban.
Indonesia sebenarnya telah mengalami peningkatan dalam lingkungan julat tiga angka bagi kes baharu Covid-19 selama lebih daripada dua bulan sejak 15 Oktober dan mencapai angkat korban Covid-19 dalam lingkungan julat satu angka selama 10 hari pada bulan Disember.
Malah India juga telah menunjukkan penurunan dari puncak 414,433 kes baharu Covid-19 pada 6 Mei kepada 4,824 kes baharu semalam, iaitu lebih pantas berbanding Malaysia yang turun daripada puncak 24,593 kes baharu pada 26 Ogos kepada 3,592 kes baharu semalam.
Benar, Malaysia perlu hidup di samping Covid-19, tetapi bilakah kes harian baharu Covid-19 di Malaysia akan turun ke julat dua angka dan korban akibat Covid-19 turun ke dalam lingkungan julat satu angka?
Atau adakah statistik Covid-19 sebanyak 2,232 kes baharu sehari, semasa darurat diisytiharkan pada 11 Januari 2021, menjadi kebiasaan di Malaysia dan perkara yang paling termampu dilakukan Kabinet Perdana Menteri Ismail Sabri yang mendapat markah 90 peratus untuk prestasi seratus hari pertama mereka?