Pindaan Perlembagaan 2021 ini adalah permulaan pengotaan Impian Malaysia yang dilancarkan oleh DAP dengan lebih dari 100 projek berkenaan kesihatan, pendidikan, dan infrastruktur di Sarawak dalam tempoh lima tahun antara 2013 hingga 2018
Pindaan Perlembagaan 2021 ini adalah permulaan pengotaan Impian Malaysia yang dilancarkan oleh DAP dengan lebih dari 100 projek berkenaan kesihatan, pendidikan, dan infrastruktur di Sarawak dalam tempoh lima tahun antara 2013 hingga 2018.
Kelulusan Rang Undang-undang Pindaan Perlembagaan 2021 di Dewan Rakyat pada 14 Disember 2021 ini adalah langkah pertama, bukannya langkah terakhir dalam usaha untuk mengembalikan hak kerakyatan penuh kepada rakyat Sarawak dari segi peruntukan kewangan yang lebih adil, autonomi untuk sistem pendidikan dan kesihatan, hak hasil minyak yang adil, dan pembahagian dana pembangunan yang saksama untuk pembangunan Sarawak.
Saya telah melawat kerusi Mambong dan Serian pagi ini dan saya terkejut dengan tahap kemiskinan yang dihadapi oleh komuniti Dayak yang tidak sepatutnya berlaku hari ini sekiranya hak dan kepentingan Sarawak telah dipelihara seperti yang diazamkan oleh tokoh penubuhan Malaysia 58 tahun yang lalu pada tahun 1963.
Saya katakan di Kuching awal pagi hari ini bahawa tidak akan ada fajar baharu untuk Sarawak melainkan dengan adanya fajar baharu untuk Malaysia. Fajar baharu ini akan memakan masa berdekad, bukan hanya bertahun, untuk dicapai.
Kini saya ingin tambahkan, yang tidak akan ada fajar baharu di Sarawak, melainkan semua komuniti di Sarawak; Dayak, Melayu-Melanau, dan Cina, menemui fajar baharu untuk hak dan kepentingan mereka yang telah dinafikan selama setengah abad, sama ada melalui Pindaan Perlembagaan 1976 atau apa-apa tindakan yang tidak sensitif terhadap hak dan kepentingan semua komuniti di Sarawak.
Semasa Sarawak menyertai Sabah dan Malaya untuk membentuk Malaysia pada tahun 1963, dua Ketua Menteri terawal Sarawak adalah dari kalangan orang Dayak, Stephen Kalong Ningkan dan Tawi Sli.
Sejak daripada dua tokoh ini, pejabat Ketua Menteri Sarawak kelihatan seperti sudah terlepas daripada tangan orang Dayak.
Sarawak tidak boleh mencapai fajar baharu melainkan komuniti Dayak dapat bercita-cita untuk melihat seorang Dayak kembali menjadi Ketua Menteri Sarawak sekali lagi.
Bilakah seorang Dayak akan dapat menjadi Ketua Menteri Sarawak sekali lagi? Tiada siapa pun yang tahun. Tetapi setakat ini, perkara ini kelihatan seperti satu cita-cita yang mustahil untuk dicapai. Jika begitu, bagaimanakah boleh datangnya fajar baharu untuk Sarawak sedangkan dua Ketua Menteri terawal Sarawak adalah orang Dayak?
200 tahun telah berlalu sebelum seorang berkulit hitam akhirnya menjadi Presiden Amerika Syarikat, tetapi Sarawak kelihatan seperti sudah terkebelakang dalam arah yang bertentangan sehingga impian untuk seorang Dayak menjadi Ketua Menteri dalam masa 50 tahun kelihatan seperti suatu perkara yang mustahil.
Sarawak perlu menjadi sebuah entiti yang normal, di mana orang Dayak dapat bercita-cita untuk menjadi Ketua Menteri Sarawak, walaupun tiada siapa pun yang dapat jangka, bilakah perkara seperti mungkin akan dapat dicapai.