Cukai yang dikenakan ke atas kiriman wang yang dihantar balik oleh rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura hanya akan menjadikan golongan miskin lebih miskin dan golongan yang berkemampuan mengelak daripada berbelanja di Malaysia

Keputusan MOF untuk mengenakan cukai ke atas pekerja Malaysia yang mengirim pendapatan mereka dari luar negara ke Malaysia adalah dasar yang tidak dirangka dengan baik. Dasar ini akan meningkatkan pendapatan kerajaan persekutuan tetapi aktiviti perniagaan dan rakyat Johor yang bergantung kepada pendapatan ahli keluarga mereka yang bekerja di Singapura akan terjejas.

Jawapan Timbalan Menteri Kewangan, Mohd Shahar Abdullah di Dewan Rakyat hari ini jelas menunjukkan bahawa semua kiriman wang daripada luar negara akan dikenakan cukai walaupun ianya adalah wang hasil titik peluh rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara. Oleh itu, rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura perlu membayar cukai kepada kerajaan Malaysia walaupun pendapatan mereka telah dikenakan cukai di Singapura jika mereka membawa balik simpanan mereka, tabung persaraan, pendapatan bulanan dan lain-lain.

Perjanjian Percukaian Berganda (DTA) antara Malaysia dan Singapura telah menyatakan dengan jelas bahawa gaji dan upah hanya boleh dikenakan cukai di negeri orang itu bekerja. Bagaimanapun, timbalan menteri telah menjawab dengan mengatakan bahawa keputusan terkini untuk mengenakan cukai pendapatan sumber asing tidak bercanggah dengan DTA kerana kerajaan akan mengenakan cukai atas nama "kiriman wang".

Keputusan yang dibuat oleh kerajaan Ismail Sabri Yaakob ini hanya akan menjadikan golongan miskin menjadi lebih miskin dan golongan yang berkemampuan mengelak daripada berbelanja di Malaysia

Melalui pindaan Akta Cukai Pendapatan 1967, mana-mana rakyat Malaysia yang berpendapatan bulanan lebih daripada SGD900 perlu membayar cukai kepada kerajaan Malaysia. Pada asasnya, hampir semua rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura perlu membayar cukai walaupun mereka hanya pekerja 3D yang menyara hidup mereka dengan gaji harian.

Ini tidak adil kepada mereka yang sanggup menghadap masa perjalanan yang panjang dan kesesakan trafik semata-mata untuk mendapatkan pendapatan yang lebih tinggi dengan tukaran mata wang. Mengenakan cukai kepada golongan ini tidak akan membantu ekonomi tempatan kerana mereka membelanjakan hampir semua pendapatan mereka untuk menyara keluarga mereka di Johor Bahru. Ini adalah idea yang buruk. Golongan miskin yang bekerja keras menjadi lebih miskin hanya kerana mereka sanggup bekerja di luar negara.

Sebaliknya, kumpulan yang berpendapatan tinggi yang telah pun dikenakan cukai di Singapura perlu membayar cukai kepada Malaysia apabila mereka menghantar kiriman balik. Mereka ini tidaklah terlalu kaya. Mereka hanya mempunyai pilihan yang sangat terhad untuk meletakkan wang mereka. Dengan membuat pindaan ini, Malaysia akan kehilangan kumpulan ini dan juga kiriman wang mereka kerana mereka lebih memilih untuk dikenakan cukai sekali sahaja dan menjauhkan diri daripada berbelanja di Malaysia, contohnya mengelak daripada membeli harta atau kenderaan di Malaysia.

Ekonomi Johor terutamanya Wilayah Pembangunan Iskandar telah banyak bergantung kepada wang hasil titik peluh rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura. Walau bagaimanapun, keputusan ini akan menjejaskan kuasa beli penduduk tempatan dan menjejaskan pemulihan ekonomi.

Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz perlu menarik balik keputusan ini secepat mungkin sebelum Malaysia kehilangan lebih banyak bakat tempatan dan juga wang yang dikirim daripada negara jiran.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri Teo Nie Ching Ahli Parlimen Kulai Yeo Bee Yin Ahli Parlimen Bakri Pang Hok Liong Ahli Parlimen Labis Wong Shu Qi Ahli Parlimen Kluang