Saya sokong belah bahagi diadakan sekiranya Khairy bertindak secara tidak munasabah dengan cubaan untuk memaksa meluluskan pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit yang bersifat drakonian dan tidak berasaskan sains pada hari esok dan bukannya merujuk perkara ini kepada Jawatankuasa Pilihan Khas dahulu

Saya sokong belah bahagi diadakan sekiranya Khairy bertindak secara tidak munasabah dengan cubaan untuk memaksa meluluskan pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit dengan peruntukan denda dan kompaun sehingga berjuta ringgit dan hukuman penjara yang melampau yang bersifat drakonian dan tidak berasaskan sains pada hari esok dan bukannya merujuk perkara ini kepada Jawatankuasa Pilihan Khas dahulu.

Seperti mana tidak ada sebab untuk pengisytiharan darurat pada 11 Januari 2021 untuk melawan wabak Covid-19, tidak ada sebab untuk Dewan Rakyat meluluskan pindaan ini esok.

Rang undang-undang pindaan ini sepatutnya dirujuk kepada sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas untuk mendapat manfaat daripada rundingan, bukan sahaja dengan Ahli-ahli Parlimen dan parti politik, tetapi juga mendapatkan input daripada badan-badan kesihatan yang berkenaan dan badan-badan bukan kerajaan yang lain, terutamanya apabila Kementerian Kesihatan kini meminta rakyat Malaysia untuk belajar untuk “hidup dengan Covid” dalam fasa endemik.

Adakah Kementerian Kesihatan telah lalai dalam 23 bulan yang lepas dengan tidak mencadangkan pindaan sebegini lebih awal lagi?

Khairy perlu bertanggungjawab penuh sekiranya pihak Pembangkang terpaksa mendesak undian belah bahagi untuk menolak pindaan yang drakonian dan tidak saintifik ini dan secara langsung, merosakkan semangat bipartisan yang telah mula berkembang sejak daripada pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU) Perbekalan-Kepercayaan-Reformasi (CSR) di antara Perdana Menteri Ismail Sabri dan pemimpin Pakatan Harapan pada 13 September.

Malang sekali sekiranya selepas konsensus dan perpaduan yang bersejarah yang ditunjukkan di Parlimen semalam dengan kelulusan Rang Undang-undang Pindaan Perlembagaan 2021 untuk memperbaiki ketidakadilan yang berlaku daripada Pindaan Perlembagaan 1976 sebelum ini, dan juga semangat kerjasama dan perpaduan di Parlimen, dimusnahkan dengan kekerasan Khairy untuk memaksa pindaan ini esok.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri