Khairy akan menghancurkan kredibiliti dan masa hadapan politik beliau sekiranya beliau memaksa pindaan RUU Pindaan Akta Pecegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit yang bersifat drakonian dan tidak berasaskan kepada sains dengan peruntukan denda dan kompaun berjuta ringgit yang melampau dan hukuman penjara sehingga tujuh tahun yang keterlaluan

Menteri Kesihatan baharu, Khairy Jamaluddin akan menghancurkan kredibiliti dan masa hadapan politik beliau sekiranya beliau memaksa pindaan RUU Pindaan Akta Pecegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit yang bersifat drakonian dan tidak berasaskan kepada sains dengan peruntukan denda dan kompaun berjuta ringgit yang melampau dan hukuman penjara sehingga tujuh tahun yang keterlaluan pada hari Khamis ini.

Walaupun Khairy telah menjalankan tugas dengan agak baik dalam Seratus Hari pertama beliau pada 7 Disember berbanding dengan Menteri-menteri lain apabila beliau berjaya menghentikan peningkatan mendadak kes harian dan kematian akibat Covid-19 (yang mungkin akan mencapai sehingga lima juta kes terkumpul dengan lebih daripada 100,000 kematian terkumpul sekiranya peningkatan mendadak ini tidak dihentikan), kita masih berhadapan dengan perjalanan yang panjang sebelum berjaya menghentikan penularan wabak ini di Malaysia, yang merupakan gelombang penularan yang terpanjang di dunia sejak daripada bulan September tahun lepas.

Malah, kita masih lagi belum mencapai kadar jangkitan pada era sebelum darurat diisytiharkan pada 11 Januari, di mana kes harian berada dalam paras sekitar 2,000 kes sehari.

Adakah kerajaan sedang mencari alasan mengapa kita menjadi negara dengan prestasi terburuk dalam mengendalikan wabak Covid-19 sepanjang 23 bulan yang lepas ini.

Pemaksaan kelulusan RUU Pindaan Akta Pecegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit yang drakonian dan tidak saintifik pada hari Khamis ini akan menjadi satu hari yang memalukan negara yang hanya akan membuktikan dua perkara:

Pertamanya, berlawanan dengan apa yang dikatakan beliau sebelum ini bahawa rakyat Malaysia perlu belajar untuk hidup bersama dengan wabak Covid-19 memandangkan kita tidak dapat menghapuskan penyakit ini;

Keduanya, tidak ada apa-apa pun yang telah berubah walaupun Memorandum Persefahaman (MOU) telah ditandatangani di antara Perdana Menteri Ismail Sabri dengan empat orang pemimpin Pakatan Harapan, yang sepatutnya membawa masuk satu bentuk kerajaan yang lebih banyak melibatkan rundingan dengan semua pihak.

Khairy perlu menarik semula rang undang-undang pindaan ini dan berunding dengan semua pihak, bukan sahaja setakat Ahli-ahli Parlimen dan parti-parti politik, tetapi juga semua badan perubatan dan badan-badan bukan kerajaan mengenai RUU pindaan ini, jika beliau tidak mahu berhadapan dengan kemungkinan RUU ini ditolak dengan belah bahagi (kejadian belah bahagi pertama selepas MOU dimeterai) dan kemudiannya perlu dibentangkan semula dalam persidangan Parlimen yang akan datang.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri