Empat sebab mengapa rakyat Sarawak perlu bersatu menyokong calon DAP dan bukannya memecahkan undi mereka dalam PRN Sarawak pada 18 Disember
Saya berada di Lapangan Terbang Sibu, bergesa kembali ke Kuala Lumpur untuk mengundi Rang Undang-undang Pindaan Perlembagaan 2021 di Parlimen untuk menamatkan ketidakadilan kepada Sarawak dan Sabah yang telah berterusan selama 45 tahun akibat RUU Pindaan Perlembagaan 1976 yang menyebabkan Sarawak dan Sabah tidak dapat menikmati hak dan kepentingan yang diniatkan seperti dalam Perjanjian Malaysia 1963.
Ada empat sebab mengapa pengundi di Sarawak perlu bersatu menyokong calon DAP dan Pakatan Harapan dan tidak memecahkan undi mereka dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak yang akan berlangsung pada 18 Disember 2021:
Sebab-sebab ini adalah:
- DAP telah dituduh sebagai sebuah parti semenanjung dan bukan sebuah parti Sarawak, oleh itu tidak boleh dipercayai. Tetapi, Pindaan Perlembagaan 1976 membuktikan yang DAP lebih setia kepada Malaysia dan Sarawak berbanding dengan parti-parti politik kerajaan Sarawak ketika itu. Ketika itu parti-parti kerajaan di Sarawak yang menyokong pindaan ini yang menurunkan status Sarawak daripada status sebagai salah satu daripada tiga wilayah – bersama-sama dengan Malaya dan Sabah – yang membentuk Malaysia pada tahun 1963 kepada salah satu daripada 13 negeri Malaysia, sedangkan Ahli-ahli Parlimen DAP ketika itu membantah pindaan ini. 130 Ahli-ahli Parlimen yang menyokong pindaan ini ketika itu termasuklah mantan-mantan pemimpin Sarawak seperti Abdul Rahman Yaacob, Taib Mahmud, Ong Kee Hui, Stephen Yong, Edmund Langgu, dan Patrick Uren. Tetapi kesemua undian pembangkang ketika itu datang daripada DAP. Pindaan Perlembagaan 1976 yang merupakan sebab utama ketidakadilan yang dihadapi Sarawak dan Sabah dari segi peruntukan kewangan dan pembangunan ini diluluskan di Parlimen sebelum DAP membuka cawangan di Sarawak. Perkara ini menunjukkan yang walaupun sebelum DAP bertapak di Sarawak, DAP lebih peduli kepada Malaysia dan Sarawak berbanding dengan parti-parti kerajaan Sarawak.
- Selepas DAP mula bertapak di Sarawak pada tahun 1978, 43 tahun yang lepas telah menyaksikan Ahli-ahli Parlimen DAP dan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri DAP dipilih dalam pelbagai pilihan raya negeri dan parlimen dan mereka semua telah berterusan mempertahankan hak dan kepentingan negeri Sarawak dan Malaysia.
- Pindaan Perlembagaan 2021 hari ini hanyalah langkah pertama untuk mengembalikan semula hak dan kedudukan penuh Sarawak (dan Sabah), dan wakil-wakil rakyat DAP, sama ada di Parlimen atau di Dewan Undangan Negeri Sarawak, adalah suara penting untuk mengungkai semula ketidakadilan yang telah berlaku dalam setengah abad yang lepas dari segi peruntukan kewangan dan pembangunan.
- Pilihan Raya Umum ke-14 adalah satu saat yang bersejarah dalam arena politik negara, kerana detik ini telah menamatkan hegemoni politik UMNO dalam negara kita. Perkara ini sepatutnya menjadi titik berhentinya kemunduran negara kita dalam setengah abad yang lepas berbanding dengan negara-negara lain seperti Taiwan, Korea Selatan, Singapura, dan Vietnam, supaya dalam dekad-dekad yang mendatang, kita tidak pula kalah dengan negara seperti Indonesia dan Filipina. Kita patut mula memintasi negara lain dan bukannya ditinggalkan ke belakang oleh mereka. Jadikanlah Pilihan Raya Negeri Sarawak ini menjadi permulaan “perjalanan panjang” kita untuk menjadikan Malaysia sebuah negara hebat bertaraf dunia sebelum kita menyambut ulang tahun ke-100 negara ini dalam beberapa dekad yang akan datang.