Puad perlu menjelaskan berapa banyakkah wang rakyat yang dibazirkan beliau untuk menipu rakyat Malaysia dan pelajar Malaysia di seluruh dunia dengan mengatakan kononnya skandal 1MDB ini tidak wujud semasa beliau menjadi Ketua Pengarah JASA di antara Mac 2015 sehingga April 2018

Saya telah katakan yang saya tidak akan membazirkan masa dengan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Puad Zarkashi, sekiranya beliau tidak dapat menjawab persoalan yang saya bangkitkan mengenai beliau.

Beliau tidak berjaya menjawab persoalan-persoalan ini dan saya tidak mempunyai masa untuk melayan beliau, walaupun beliau sedang terdesak untuk membuktikan yang beliau masih berguna kepada UMNO walaupun telah digugurkan daripada menjadi calon UMNO untuk kerusi Parlimen Batu Pahat dalam PRU 2018 – selepas ditewaskan dalam PRU 2013.

Namun, Puad perlu menjelaskan berapa banyakkah wang rakyat yang dibazirkan beliau untuk menipu rakyat Malaysia dan pelajar Malaysia di seluruh dunia dengan mengatakan kononnya skandal 1MDB ini tidak wujud semasa beliau menjadi Ketua Pengarah JASA di antara Mac 2015 sehingga April 2018, mengambil gaji yang lebih besar daripada Menteri Kabinet untuk menjalankan kerja propaganda UMNO.

Menarik untuk dilihat, berapa banyakkah wang rakyat telah dihabiskan untuk menipu rakyat Malaysia mengenai skandal 1MDB oleh Puad, dan juga personaliti awam lain dalam kerajaan Najib dahulu.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri