Hanya Ismail Sabri yang akan memberikan Kabinet markah 90 peratus untuk kad laporan 100 hari pertama mereka sedangkan mereka tidak capai markah lulus 50 peratus pun

Tiga hari yang lepas merupakan hari yang sukar dilupakan.

Pada 7 Disember, lapan puluh tahun yang lepas pada tahun 1941, Jepun menyerang Pearl Harbour dan membawa masuk Amerika Syarikat ke dalam Perang Dunia Kedua.

Pada 8 Disember 2021, Mahkamah Rayuan menolak rayuan bekas Perdana Menteri, Najib Razak, untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 jutanya atas pertuduhan berkenaan SRC International Sdn Bhd, dengan menyatakan tidak ada “isu kepentingan negara” apabila RM42 juta dipindahkan ke akaun peribadi Najib, sebaliknya hanya “perkara yang memalukan negara”.

Perkara ini memberikan harapan kepada rakyat Malaysia, “bahawa hari esok boleh menjadi lebih baik” dan masih adalah harapan untuk kita mengelakkan Malaysia daripada terjerumus kembali ke lembah kleptokrasi dan kita masih mampu untuk mengimpikan sebuah kerajaan yang bersih, jujur, dan tidak korup.

Pada 9 Disember 2021, rakyat Malaysia diingatkan berapa jauh lagi perjalanan kita untuk mencapai Impian Malaysia, untuk menjadikan Malaysia sebuah negara hebat yang berkelas dunia yang bertentangan sama sekali dengan sebuah kleptokrasi – apabila Perdana Menteri Ismail Sabri menunjukkan betapa rendah sekali kita telah jatuh apabila beliau memberikan Kabinetnya markah 90 peratus untuk kad laporan 100 hari pertama mereka sedangkan mereka ini tidak melepasi markah lulus 50 peratus sekali pun.

Menteri Kabinet dengan prestasi terbaik sudah tentunya adalah Menteri Kesihatan baharu, Khairy Jamaluddin, tetapi beliau juga tidak layak menerima lebih daripada markah lulus.

Pada seratus hari pertama beliau pada 7 Disember 2021, Malaysia mencatatkan 4,966 kes dan 66 kematian akibat Covid-19, dan angka ini telah berubah menjadi lebih buruk kepada 5,466 kes dan 41 kematian akibat Covid-19 semalam. Pada 7 Disember, kita mencatatkan sejumlah 2,667,999 kes dan 30,719 kematian terkumpul akibat Covid-19.

Semasa darurat diisytiharkan pada 11 Januari 2021 untuk melawan wabak Covid-19, kita mencatatkan 2,322 kes baharu dengan empat kematian – dengan sejumlah 138,224 kes terkumpul dan 555 kematian terkumpul.

Adakah anda akan memberikan markah 90 peratus untuk pencapaian 100 hari yang mencatatkan kadar kes Covid-19 yang lebih dua kali ganda dan kadar kematian yang lebih 16 kali ganda berbanding dengan semasa darurat mula diisytiharkan?

Kelihatan seperti lebih lama kita berhadapan dengan wabak Covid-19 ini, perang melawan wabak ini menjadi semakin buruk memandangkan negara kita telah bergelut selama tujuh bulan untuk menurunkan kadar kes ini ke bawah paras 4,000 kes sehari dan bergelut selama lapan bulan untuk menurunkan kadar kematian ke julat satu angka.

Malah, persoalan timbul mengapa Malaysia patut mendapat markah lulus dalam melawan wabak ini sedangkan kita tidak mampu menamatkan gelombang penularan selama 23 bulan sejak September tahun lepas?

Presiden AS, Franklin Roosevelt diberikan kredit untuk konsep “Seratus hari pertama” ini, tetapi Perdana Menteri kesembilan Ismail Sabri perlu diberikan kredit kerana menjadikan konsep ini hilang sebarang makna, kerana jika Kabinet beliau pun boleh menerima 90 peratus markah, adakah sesiapa di dalam dunia yang mampu untuk gagal dalam “Seratus Hari Pertama” mereka?

Saya kini berada dalam dekad kelapan hidup saya dan telah meluangkan 55 tahun daripada hidup saya dalam perjuangan politik untuk menjadikan Malaysia negara hebat bertaraf dunia.

Saya ada satu harapan: Supaya Pilihan Raya Negeri Sarawak ini boleh menjadi permulaan satu perjalanan panjang untuk menjadikan Sarawak dan Malaysia sebuah negara hebat berkelas dunia, di mana manusia daripada latar belakang yang pelbagai, dengan pelbagai etnik, bahasa, agama, dan budaya, bersatu padu dengan harmoni untuk mencapai visi bersama menjadi Malaysia negara hebat dalam daya saing di peringkat antarabangsa, tadbir urus baik tanpa rasuah, dan juga mempunyai kerajaan yang berkesan dan efisien.

Rakyat Malaysia telah mencapai keajaiban politik apabila kita menamatkan hegemoni politik UMNO dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada tahun 2018. Mari kita jadikan PRN Sarawak ini satu permulaan baharu perjalanan panjang untuk menjadikan Malaysia negara hebat, bermula dengan PRU-15 yang patut diadakan tahun hadapan.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri