Adakah Najib “menjaga kepentingan negara” dengan skandal 1MDB yang telah dinamakan sebagai “kleptokrasi dalam bentuk yang terburuk” menyebabkan negara kita berhadapan dengan hutang sebanyak RM39.38 billion yang perlu ditanggung oleh generasi yang akan datang?

Bekas Perdana Menteri, Najib Razak, telah menyatakan kekecewaan beliau dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengatakan kes SRC International Sdn Bhd ini adalah satu perkara “yang memalukan negara”.

Dia mengatakan, sepanjang menjawat jawatan awam, dia meletakkan keutamaan terhadap usaha menjaga kepentingan negara.

Untuk lebih pasti, saya menyemak semula rumusan keputusan kehakiman Mahkamah Rayuan yang mengandungi lima perenggan mengenai hujah “kepentingan negara” pihak pembelaan, yang menolak pembelaan Najib yang cuba mengatakan semua tindakan dia adalah untuk kepentingan negara, dengan bergantung kepada testimoni daripada bekas Peguam Negara, Apandi Ali, bekas Pengerusi SPRM, Dzulkifli Ahmad, dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Mohd Irwan Serigar.

Mahkamah Rayuan mengatakan dalam perundangan, pendapat mana-mana orang, walaupun orang itu adalah bekas Peguam Negara, tidak relevan kepada mana-mana prosiding mahkamah, dan mendapati “tidak masuk akal untuk kerajaan untuk memberikan jaminan kepada sebuah badan korporat yang berkaitan dengan kerajaan walaupun telah mengetahui yang badan korporat tersebut tidak mempunyai kebolehan untuk membayar semula pinjaman atau faedah pinjaman tersebut”.

Keputusan tersebut meneruskan lagi: “Sudah tentu sekali, bukanlah menjadi kepentingan untuk negara untuk mempunyai sekumpulan syarikat yang tidak mampu membayar hutangnya, dengan pendedahan penuh hutang-hutang yang diambil syarikat ini kepada kerajaan. Perkara ini hanyalah satu pengurusan wang awam yang buruk.”

Mahkamah Rayuan mendapati Najib “terlibat secara aktif dalam memastikan pinjaman KWAP ini dikeluarkan kepada SRC”

Tetapi, selepas dana ini dikeluarkan kepada SRC, Najib “tidak peduli mengenai ke mana dana ini pergi dan tidak menyemak dengan SRC mengenai apa yang sudah terjadi dengan dana tersebut, atau bagaimana ia digunakan, dan untuk tujuan apa”.

Keputusan penghakiman tersebut meneruskan lagi:

“Malah dia telah mengarahkan Menteri Kewangan kedua untuk tidak masuk campur mengenai SRC. Perbuatan perayu ini hanya menunjukkan satu perkara, iaitu, apabila dana ini telah diterima SRC, di mana perayu mempunyai kuasa, dia bebas untuk menggunakannya untuk kepentingan peribadi. Perkara ini ditunjukkan dengan pemindahan RM42 juta daripada SRC kepada akaun peribadi dia sendiri. Perkara ini bukan sesuatu yang boleh dikatakan dilakukan demi kepentingan negara. Tidak ada soal kepentingan negara di sini, hanya perkara yang memalukan negara.

Saya bersetuju dengan Mahkamah Rayuan.

Semalam, saya menerima jawapan lisan secara bertulis untuk soalan Parlimen saya daripada Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz, yang menunjukkan negara kita masih menanggung hutang RM39.39 billion akibat daripada skandal 1MDB.

Adakah Najib “menjaga kepentingan negara” dengan skandal 1MDB yang telah dinamakan oleh Peguam Negara Amerika Syarikat, Jeff Session, sebagai “kleptokrasi dalam bentuk yang terburuk” menyebabkan negara kita berhadapan dengan hutang sebanyak RM39.38 billion yang perlu ditanggung oleh generasi yang akan datang?

Mungkin Najib boleh berikan penjelasan.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri