Najib ingat dia telah menjumpai cara untuk menghentikan wacana awam mengenai dua isu: kemungkinan kedatangan semula beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 dalam PRU15 dan juga cadangan abangnya, Nazir, untuk menetapkan semula dasar dan institusi negara
Bekas Perdana Menteri, Najib Razak, ingat dia telah menjumpai cara untuk menghentikan wacana awam mengenai dua isu: kemungkinan kedatangan semula beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 dalam PRU15 dan juga cadangan abangnya, Nazir, untuk menetapkan semula dasar dan institusi negara.
Tetapi dia telah tersasar jauh sekali apabila dia memikirkan yang dia boleh mencapai dua matlamat ini dengan cuba mengejek saya sebagai terlalu obses dengannya.
Pertamanya, izinkan saya untuk jelaskan di sini, Najib itu sendiri tidaklah penting pun. Tetapi, menjadi tanggungjawab dan keutamaan untuk semua rakyat Malaysia yang mahukan kerajaan yang bersih dan telus untuk memastikan beliau tidak kembali sebagai Perdana Menteri ke-10 dalam Pilihan Raya Umum ke-15, kerana jika perkara ini berlaku, ia bermakna negara kita akan kembali ke era di mana kita dikenali sebagai “kleptokrasi dalam bentuk yang terburuk”.
Keduanya, walaupun kita mungkin bersetuju atau tidak bersetuju dengan cara dan bentuk cadangannya, rakyat Malaysia perlu menyambut baik seruan Nazir untuk menetapkan semula dasar-dasar dan institusi negara kerana kegagalan berbuat sebeginilah yang menyaksikan satu demi satu negara terus meninggalkan kita di belakang, sama ada dari segi daya saing di arena antarabangsa, tadbir urus yang baik, atau dalam mempunyai kerajaan yang efektif dan berkesan.
Wabak Covid-19 selama 22 bulan perlu menjadi satu lagi amaran kepada kita semua, yang mana melainkan kita sendiri cuba untuk mengubah nasib kita, kita bukan sahaja akan kalah dengan Taiwan, Korea Selatan, Singapura, dan Vietnam, tetapi kita juga akan kalah dengan lebih banyak negara, termasuklah Indonesia dalam dekad-dekad yang akan datang.
Perkara ini dapat dilihat jelas semalam, di mana kita mencatatkan 4,879 kes baharu dan 55 kematian akibat Covid-19, berbanding dengan 297 kes dan 11 kematian akibat Covid-19 di Indonesia. Dalam sepuluh hari yang lepas, Malaysia mencatatkan 51,335 kes baharu dan 448 kematian akibat Covid-19, berbanding dengan 3,311 kes dan 102 kematian akibat Covid-19 di Indonesia.
Adakah kita ini telah dikenakan sumpahan untuk kalah dengan Indonesia, India, dan China dan terpaksa melupakan Impian Malaysia untuk negara kita menjadi negara hebat yang bertaraf dunia?
Saya jangkakan yang Najib akan menggunakan pelbagai helah dengan tentera sibernya dalam media atas talian dan media cetak arus perdana untuk terus mengalihkan perhatian daripada kedua isu ini, tetapi demi masa hadapan negara kita dan anak serta cucu kita, kita tidak boleh biarkan helah sebegini untuk berjaya.
Kita perlu terus bergerak dengan pemikiran Utamakan Malaysia untuk mencapai Impian Malaysia di mana Malaysia menjadi negara hebat yang bertaraf dunia, walaupun sekiranya perjalanan untuk mencapai cita-cita ini mengambil masa satu atau dua dekad atau lebih lagi, asalkan sebelum kita menyambut ulang tahun ke-100 negara kita pada tahun 2057!