Seruan kepada semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, kawasan, mahupun latar belakang politik, untuk kita semua bersatu memenangi perang melawan wabak Covid-19 kerana kita tidak mampu untuk melalui 12 bulan lagi dengan peningkatan kes 187 kali ganda daripada 9,340 ke 1.75 juta kes dan peningkatan jumlah kematian sebanyak 130 kali ganda dari 127 kepada 16,500 kematian

Semasa sambutan Hari Kebangsaan ke-63 12 bulan yang lepas, kita mencatatkan sejumlah 9,340 kes dan 127 kematian akibat Covid-19.

Menjelang Hari Kebangsaan ke-64 esok, kita bakal mencatatkan hampir 1.75 juta kes dan 16,500 kematian akibat Covid-19 -- satu peningkatan yang amat dahsyat sebanyak 187 kali ganda untuk jumlah kes terkumpul dan peningkatan sebanyak 130 kali ganda untuk jumlah kematian.

Buat masa ini, negara kita berada dalam gelombang penularan Covid-19 yang paling lama di dunia, berlanjutan selama setahun sejak daripada Pilihan Raya Negeri Sabah pada bulan September tahun lepas.

Kita telah mengalahkan semua negara Asia dan ASEAN dari ukuran “kes baharu per sejuta penduduk” pada 28 Ogos 2021 di laman web Our World in Data, mencatatkan markah 689.43, sepuluh kali ganda lebih tinggi daripada purata dunia pada 68.39.

Adakah Menteri Kesihatan baharu, Khairy Jamaluddin, boleh mengubah keadaan Covid-19 di negara kita ini?

Pada Hari Kebangsaan ke-64 ini, saya menyeru kepada semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, kawasan, mahupun latar belakang politik, untuk kita semua bersatu memenangi perang melawan wabak Covid-19 kerana kita tidak mampu untuk melalui 12 bulan lagi dengan peningkatan melampau kes dan kematian akibat Covid-19.

Pada kadar peningkatan 187 dan 130 kali ganda kadar jangkitan terkumpul dan kadar kematian terkumpul dalam 12 bulan yang lepas, menjelang sambutan Hari Kebangsaan ke-65, kita akan menyaksikan 327 juta kes Covid-19 dan 2.2 juta kematian akibat wabak ini.

Kita akan meninggalkan Amerika Syarikat jauh di belakang, yang buat masa ini merupakan negara dengan jumlah kes tertinggi dengan kira-kira 40 juta kes terkumpul dan 655,000 kematian akibat Covid-19.

Namun, 327 juta kes terkumpul Covid-19 di Malaysia adalah satu perkara yang mustahil untuk berlaku, kita hanya mempunyai 32 juta orang penduduk -- tetapi perkara ini masih memberikan gambaran suram mengenai betapa teruknya pengendalian Covid-19 di Malaysia dalam tempoh 12 bulan yang lepas.

Kerana inilah, tiga bulan yang lepas, pada 22 Mei 2021, saya telah menyeru semua rakyat Malaysia untuk bersatu-padu untuk menang perang melawan wabak Covid-19 di Parlimen dan Dewan-dewan Undangan Negeri dengan lima objektif: (i) mobilisasi kebangsaan; (ii) mengembalikan kepercayaan dan keyakinan rakyat; (iii) pakej rangsangan ekonomi baharu untuk membantu golongan susah dan rentan; (iv) ujian saringan besar-besaran yang berkesan; dan (v) mempercepatkan usaha vaksinasi.

Saya juga telah mencadangkan, memandangkan terdapat ancaman besar yang dibawa oleh Covid-19, tidak ada sebarang usul undi tidak percaya di Parlimen atau Dewan-dewan Undangan Negeri dan penggal sidang Parlimen dan DUN patut diteruskan sehingga bulan Mei 2023, melainkan sekiranya kita berjaya mengawal penularan Covid-19 dengan lebih awal.

Sambutan Hari Kebangsaan ke-64 esok akan menjadi sambutan Hari Kebangsaan yang paling suram dalam sejarah negara.

Tetapi kita semua perlu menunjukkan kecekalan untuk memenangi perang melawan wabak Covid-19 ini supaya kita dapat memulakan usaha pemulihan negara dan ekonomi walaupun kita baru sahaja jatuh ke tangga terbawah dalam penerbitan bulanan Carta Ketahanan Covid Bloomberg.

Saya ada satu Impian Malaysia, untuk Malaysia menjadi negara hebat bertaraf dunia yang mampu menggunakan nilai dan kelebihan daripada empat tamadun utama dunia yang bertemu di negara kita ini.

Tetapi, melainkan ancaman kepada kelangsungan kehidupan yang dibawa oleh Covid-19 dapat dipatahkan, Impian Malaysia ini perlu ditangguhkan buat sementara waktu.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri