Malaysia perlu berhenti mencatatkan rekod baharu pandemik Covid-19 jika kita mahu kembali kepada kehidupan normal dan memulakan pemulihan negara dan ekonomi

Malaysia perlu berhenti mencatatkan rekod baharu pandemik Covid-19 jika kita mahu kembali kepada kehidupan normal dan memulakan pemulihan negara dan ekonomi.

Semalam kita mencipta tiga rekod baharu pandemik Covid-19; pertama, merekodkan kemuncak baharu untuk kes baharu Covid-19 (24,599 kes) dan kes kematian harian (393 kematian yang mana 100 daripadanya adalah kematian membabitkan BID - kematian di luar hospital) dan kedua, Malaysia memintas Chile dalam jumlah keseluruhan kes Covid-19 dan kini berada di kedudukan ke-24 antara negara-negara dengan jumlah keseluruhan kes Covid-19 tertinggi.

Esok, kita berkemungkinan memintas Republik Czech untuk berada di kedudukan ke-23 antara negara-negara dengan jumlah keseluruhan kes Covid-19 tertinggi.

Untuk hari ketiga berturut-turut, kita telah menewaskan Indonesia (16,899 kes) dan Filipina (16,313 kes) dalam kes harian baharu Covid-19.

Rakyat Malaysia semakin penat dengan lonjakan berterusan kes positif Covid-19 dan kematian akibat wabak itu.

Ramalan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah pada akhir bulan lalu bahawa Malaysia akan mencapai tahap kemuncak penularan Covid-19 pada pertengahan September dengan 24,000 kes sehari menjadi kenyataan sebulan lebih awal pada Ogos, namun ia nampaknya bukanlah tahap kemuncak sebenar untuk kes harian baharu Covid-19.

Apakah tahap kemuncak sebenar kes harian baharu Covid-19 berdasarkan lonjakan kes Covid-19 yang terkini?

Meskipun jangkitan Covid-19 di Selangor telah menurun ke paras bawah 7,000, terdapat enam negeri yang merekodkan kes empat angka, antaranya Selangor (6,936), Sabah (3,487), Johor (2,785), Pulau Pinang (2,078), Sarawak (2,024), Kedah (1,538), Kelantan (1,312) dan Perak (1,170), dengan Sabah, Johor dan Pulau Pinang merekodkan angka yang begitu tinggi semalam.

Oleh kerana Johor kini menjadi negari ketiga dengan kes harian baharu Covid-19 tertinggi, maka sewajarnya disediakan dengan segera pusat vaksinasi secara walk-in untuk orang dewasa, individu kurang upaya, individu menghidapi komorbiditi, guru-guru dan mereka yang terlepas dos kedua, seperti mana negeri-negeri lain di Perak, Kedah, Pulau Pinang, Sabah, Melaka, Kelantan dan Sarawak.

Malah, perkara ini sebenarnya telah diumumkan oleh Menteri Koordinasi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin pada 2 Ogos namun sehingga kini tidak dilaksanakan.

Saya bersetuju dengan Ahli Parlimen DAP Kulai, Teo Nie Ching, bahawa perkara ini memerlukan tindakan pantas dan tidak boleh ditangguh sehingga Kabinet baharu mengangkat sumpah pada Isnin depan.

Dalam tempoh 10 hari antara pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-9 pada 20 Ogos dan majlis angkat sumpah Kabinet baharu pada Isnin, 30 Ogos 2021, kita berkemungkinan mengumpulkan lebih 200,00 kes Covid-19 baharu dan lebih 2,000 kematian akibat wabak itu, sedangkan kita mengambil masa selama setahun untuk mencapai 200,000 kes Covid-19 pertama dan 17 bulan untuk mencapai 2,000 kes kematian pertama.

Mengurangkan kes Covid-19 kepada angka tiga digit pertama dan kemudian angka dua digit dan mengurangkan kematian akibat Covid-19 kepada angka dua digit pertama dan kemudian kepada satu angka adalah paling penting dan mustahak dan semua rakyat Malaysia, tanpa mengira bangsa, agama, wilayah atau politik mesti bersatu dalam usaha nasional ini.

Inilah sebabnya mengapa saya menyokong pada dasarnya Pakatan Harapan dan pembangkang mencapai perjanjian kepercayaan-perbekalan-reformasi (CSRA) dengan kerajaan supaya kita mengetepikan politik selama 12-18 bulan dan semua rakyat Malaysia memberi tumpuan untuk memenangi perang melawan pandemik Covid-19, kembalikan negara kepada kehidupan sedia kala dan mulakan pemulihan negara dan ekonomi.

Namun, CSRA tersebut mestilah menjadi suatu perjanjian yang bermakna dan bukan dokumen kosong.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri