Empat ujian yang perlu dihadapi kerajaan Ismail Sabri

Kerajaan Ismail Sabri berdepan ujian sama ada ia mampu untuk memenangi peperangan melawan Covid-19 dan mengawal penyebaran wabak tersebut memandangkan penularannya masih terus meningkat menjelang sambutan Hari Kebangsaan ke-64 pada 31 Ogos dan Hari Malaysia ke-58.

Semalam, kita melepasi paras 1.6 juta untuk jumlah kumulatif kes Covid-19.

Hari ini, kita bakal melepasi paras 15,000 untuk jumlah kumulatif kes kematian akibat Covid-19.

Mampukah kita mengurangkan kes harian baharu Covid-19 untuk tidak melepasi paras 1.7 juta pada Hari Kebangsaan ke-64 pada 31 Ogos?

Mampukah kita mengurangkan kes kematian akibat Covid-19 untuk mengelakkan negara mengumpulkan lebih 16,000 kes kematian menjelang Hari Kebangsaan ke-64?

Ujian yang perlu dihadapi kita adalah sama ada kita mampu untuk mengurangkan kes harian baharu untuk mengelakkan jumlah keseluruhan kes jangkitan wabak tersebut melepasi paras 2 juta pada Hari Malaysia ke-58 pada 16 September dan ujian keempat adalah sama ada kita mampu mengelakkan negara melepasi paras 19,000 untuk jumlah kumulatif kes kematian akibat Covid-19 pada Hari Malaysia ke-58.

Ini adalah empat ujian yang perlu dihadapi kerajaan Ismail Sabri.

Rakyat Malaysia perlu tahu bahawa untuk dua hari berturut-turut, kita telah menjadi negara nombor satu di ASEAN yang mempunyai kes harian baharu Covid-19 tertinggi, menewaskan Indonesia dan Filipina.

Kita mempunyai 20,839 kes baharu Covid-19 pada 24 Ogos dan 22,642 kes baharu pada 25 Ogos, berbanding Indonesia yang mempunyai 19,100 dan 18,671 kes baharu untuk kedua-dua hari tersebut dan Filipina yang mempunyai 11,891 dan 13,573 kes baharu untuk kedua-dua hari yang sama.

Malah, kita mempunyai kes harian baharu Covid-19 yang lebih tinggi berbanding Indonesia untuk 10 hari berturut-turut. Itulah sebabnya faktor masa memainkan peranan begitu penting dalam mengawal penularan wabak ini.

Sejak Muhyiddin Yassin melepaskan jawatan sebagai perdana menteri pada 16 Ogos 2021, terdapat 212,345 kes Covid-19 dan 2,308 kes kematian akibat wabak itu.

Sekarang adalah waktu genting yang memerlukan tindakan pantas dan Ismail Sabri harus segera berusaha untuk memenangi perang melawan wabak Covid-19.

Semalam, perdana menteri baharu itu mengadakan pertemuan dengan pemimpin Pakatan Harapan. Selepas pertemuan itu, Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim berkata PH tidak akan mempersulit keadaan semasa undi percaya dibentangkan di Parlimen jika dasar yang dibawa Ismail dilihat pro-rakyat dan berkesan dalam melawan wabak Covid-19.

Kita mungkin berada di kerusi pembangkang, namun apabila negara berdepan krisis, semua rakyat Malaysia, tidak mengira kaum, agama, wilayah atau politik harus bersatu supaya negara dapat mengharungi cabaran ini.

Saya teringat semula seruan saya pada sambutan Hari Kebangsaan ke-30 pada 1987, di mana saya menyeru supaya pemimpin tertinggi politik mengadakan perbincangan untuk menurunkan suhu perkauman di negara ini supaya tumpuan lebih boleh diberikan untuk memulihkan ekonomi negara.

Ini adalah masanya untuk semua parti-parti politik menunjukkan bahawa apa pun perbezaan politik yang ada, mereka tetap bersedia untuk mengetepikan semua itu demi memastikan matlamat bersama tercapai iaitu untuk memenangi perang melawan wabak Covid-19 supaya Malaysia boleh beralih ke fasa pemulihan negara dan ekonomi.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri