Adakah apa-apa untuk menggembirakan rakyat Malaysia seminggu sebelum Hari Kebangsaan ke-64 pada 31 Ogos 2021?

Adakah apa-apa untuk menggembirakan rakyat Malaysia seminggu sebelum Hari Kebangsaan ke-64 pada 31 Ogos 2021?

Kita sepatutnya beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara selepas Hari Kebangsaan dengan memenuhi tiga syarat, iaitu, kurang daripada 500 kes baharu Covid-19, jumlah katil unit rawatan rapi yang mencukupi, dan 60% populasi dewasa telah menerima vaksin.

Sejak daripada pengumuman Pelan Pemulihan Negara pada 15 Jun 2021, negara kita tidak pernah mencapai syarat pertama; kurang daripada 4,000 kes harian menjelang hujung bulan Jun -- memandangkan selain daripada dua hari pada 21 dan 22 Jun di mana kita mencatatkan 4,611 dan 4,743 kes -- kita telah mencatatkan di antara 5,150 kes pada 16 Jun sehingga 9,353 kes pada 7 Julai sebelum mula mencatatkan kes harian dalam julat lima angka dengan angka tertinggi mencecah 23,564 kes pada 20 Ogos 2021.

Apa yang jelas daripada Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan pada 15 Jun ini adalah fakta di mana pada pertengahan bulan Jun, mereka yang bertanggungjawab terhadap perang melawan wabak Covid-19 ini tidak menjangkakan langsung yang angka kes harian akan mencapai lima angka, kerana mereka menjangkakan penurunan kepada bawah dari 500 kes sehari selepas Hari Kebangsaan.

Perkara ini adalah satu pengajaran yang amat mahal yang kita perlu insafi, daripada 15 Jun sehingga hari ini, terdapat 925,726 kes baharu yang memberikan purata sebanyak 13,224 kes sehari 10,484 kematian akibat Covid-19, purata sebanyak 150 kematian sehari, dan bukannya penurunan kepada julat di bawah 500 kes sehari.

Dari segi penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU), kadar pesakit ICU masih lagi melebihi empat angka, perkara ini pertama kali dicatatkan pada 26 Julai 2021, dengan jumlah kes aktif mencapai kemuncak baharu 262,713 kes semalam.

Hanya kadar vaksinasi dalam Pelan Pemulihan Negara sahaja yang kelihatan boleh dicapai, terutamanya di negeri seperti Labuan (92.4% divaksinasi sepenuhnya), Sarawak (85.4%), Lembah Klang (85.2%), Negeri Sembilan (72.3%), Perlis (62.4%), sementara di negeri-negeri lain, kadar vaksinasi masih ketinggalan jauh -- Pulau Pinang (47.1% ), Melaka (46.8%), Terengganu (42.7%), Perak (41.4%), Johor (38.8%), Kedah (38.3%), Kelantan (37.6%) dan Sabah (31.4%) -- yang memerlukan pecutan segera program vaksinasi.

Tetapi, angka ini hanya mewakili populasi dewasa, iaitu mereka yang berusia 18 tahun ke atas yang terdiri daripada kira-kira 70% jumlah populasi negara.

Keadaan buruk Covid-19 di negara kita ini memerlukan dasar, strategi, dan pendekatan baharu dalam perang melawan wabak ini, yang mesti melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” -- memandangkan negara kita bakal memecahkan siling 1.6 juta kes terkumpul Covid-19 hari ini, dan bakal menyambut Hari Kebangsaan ke-64 yang amat suram dalam masa seminggu lagi dengan lebih daripada 1.7 juta kes Covid-19 dan hampir 16,000 kematian akibat Covid-19, meletakkan Malaysia di tangga ke-23 di dunia dengan jumlah kes terkumpul tertinggi.

Perdana Menteri kesembilan telah pun masuk ke pejabatnya dengan jangkaan terendah daripada rakyat, tetapi saya bersedia untuk menggantung penilaian saya kepada beliau untuk memberikan beliau peluang membuktikan semua pessimis tersilap dan bahawa beliau mampu mencipta keadaan untuk membolehkan satu konsensus kebangsaan baharu dibina untuk membantu negara kita berhadapan dengan cabaran yang dihadapi dalam masa 12 ke 18 bulan yang akan datang untuk menyatukan semua rakyat Malaysia sebagai satu “Keluarga Malaysia”.

Ujian pertama kepada Ismail Sabri akan tiba apabila beliau mengumumkan senarai Kabinet dan tindakan-tindakan beliau sebelum undian pegangan majoriti beliau di Parlimen pada bulan hadapan.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri