Malaysia perlu berhenti pecah rekod baharu kes Covid-19 jika kita mahu menguasai peperangan melawan koronavirus yang merupakan musuh yang tidak kelihatan tetapi amat berbahaya
Sekiranya hanya ada dua nama untuk jawatan Perdana Menteri, seorang boleh dilantik sebagai Perdana Menteri dan seorang lagi sebagai Timbalan Perdana Menteri untuk membentuk kabinet perang yang melibatkan semua kuasa politik di Parlimen untuk memenangi perang melawan penularan wabak Covid-19 sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 dalam masa 18 bulan.
Kabinet Perang tersebut perlulah mencerminkan perpaduan Parlimen untuk mengubah nasib negara kita yang sedang kalah selama 20 bulan dengan wabak Covid-19 dengan membawa dasar-dasar dan strategi baharu untuk mengawal wabak ini dan mengembalikan harapan, keyakinan, dan kepercayaan rakyat kepada satu pendekatan yang melibatkan “keseluruhan masyarakat”.
Semalam, negara kita mencatatkan rekod baharu Covid-19 sekali lagi.
Pertamanya, kita mencatatkan kemuncak baharu 22,242 kes.
Kedua, kita mengatasi kedudukan Kanada dan kini berada di tempat ke-25 dengan jumlah kes tertinggi di dunia, sedangkan 12 bulan yang lepas kita berada di tempat ke-89.
Semasa Malaysia mengisytiharkan darurat pada 11 Januari 2021 untuk memerangi wabak ini, kita mencatatkan sejumlah 138,224 kes dan 555 kematian akibat Covid-19.
Hari ini, kita mempunyai 1,466,512 kes dan 13,302 kematian akibat Covid-19 -- satu situasi yang kini berada di luar kawalan dengan 10 kali ganda lebih banyak kes dan 24 kali ganda lebih banyak kematian berbanding dengan semasa darurat diisytiharkan.
Malah, hanya dalam tujuh hari yang lepas sahaja, kita mencatatkan 145,965 kes dan 1,929 kematian akibat Covid-19.
Sekarang adalah antara masa yang paling kelam dalam sejarah negara. Kita perlu menghentikan pendarahan negara kita ini dan mencari penyelesaiannya -- dan sebuah Kabinet Perang dan Parlimen Perang adalah salah satu penyelesaian kepada masalah seperti ini.
Parlimen perang ini perlulah membentuk perpaduan negara untuk memerangi wabak Covid-19 dengan Ahli-ahli Parlimen memainkan peranan di dalam pelbagai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, bukan sahaja untuk memerangi Covid-19, tetapi juga untuk menyediakan negara kita untuk pemulihan ekonomi dan kehidupan untuk memenuhi aspirasi Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman, di mana Malaysia menjadi satu “sinar cahaya dalam dunia yang kelam dan terganggu”.
Kabinet Perang dan Parlimen Perang ini perlulah dibentuk di atas batu asas Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara dan sistem monarki berperlembagaan yang berteraskan demokrasi berparlimen, doktrin pemisahan kuasa, kedaulatan undang-undang, tadbir urus yang baik, dan penghormatan kepada hak asasi manusia.