Malaysia perlu berhenti pecah rekod baharu kes Covid-19 jika kita mahu menguasai peperangan melawan koronavirus yang merupakan musuh yang tidak kelihatan tetapi amat berbahaya
Malaysia mencipta dua rekod baru membabitkan wabak Covid-19 semalam.
Pertama, kita mengambil masa tiga hari untuk melepasi paras seribu kes kematian akibat Covid-19 dari 12,000 kepada 13,000 -- jumlah kumulatif kes kematian akibat Covid-19 setakat ini adalah 13,077.
Kita mengambil masa 13 bulan pada 17 Februari 2021 untuk melepasi paras 1,000 kes kematian akibat Covid-19 dengan 1,005 kes kematian dicatatkan ketika itu; dua bulan untuk melepasi paras seribu kematian yang kedua; setengah bulan untuk melepasi paras seribu kematian yang ketiga; 12 hari untuk melepasi paras seribu kematian yang keempat; 13 hari untuk melepasi paras seribu yang kelima; 12 hari untuk melepasi paras seribu kematian yang keenam; lapan hari untuk melepasi paras seribu kematian yang ketujuh dan kelapan; lima hari untuk melepasi paras seribu kematian yang kesembilan, kesepuluh dan ke-11; dan empat hari untuk melepasi jumlah keseluruhan 12,000 kematian. Kini, kita mengambil masa tiga hari untuk melepasi angka 13,000.
Kedua, kita telah mengatasi Bangladesh untuk berada di tangga ke-26 antara negara-negara di dunia dengan jumlah kumulatif kes Covid-19 tertinggi sebanyak 1,444,270.
Pada kadar jangkitan semasa, kita akan mengatasi Kanada hari ini untuk berada di tangga ke-25 antara negara-negara di dunia dengan jumlah kumulatif kes Covid-19 tertinggi.
Ini adalah tanda bahawa Malaysia telah tercampak jauh menjadi salah satu negara dengan prestasi terburuk dalam menangani wabak Covid-19 sedangkan semasa ketika kita menyambut Hari Kebangsaan ke-63 pada 31 Ogos tahun lalu, kita berada di kedudukan ke-89 antara negara-negara dengan jumlah kumulatif kes Covid-19 tertinggi, dan sepanjang 12 bulan lalu, prestasi kita semakin memburuk sehingga mengatasi 64 negara, termasuk China (yang telah beralih dari kedudukan pertama ke kedudukan ke-107), Israel, Korea Selatan, Jepun, Arab Saudi, Pakistan dan UAE.
Pada kadar jangkitan semasa, kedudukan Malaysia akan merosot lebih jauh dan kemungkinan akan mengatasi Chile dan Czechia pada 31 Ogos dan berada di kedudukan ke-23 antara negara-negara dengan jumlah kumulatif kes Covid-19 tertinggi, dan persoalan berikutnya adalah adakah Malaysia akan mengatasi Filipina untuk berada di kedudukan ke-22 menjelang Hari Malaysia ke-58 pada 16 September, menjadikan Malaysia sebagai negara kedua terburuk di ASEAN dalam pengurusan wabak Covid-19.
Sementara itu, kita masih mengekalkan kedudukan kita sebagai antara 10 negara teratas di dunia dengan jumlah kes harian kematian akibat Covid-19 tertinggi, dan antara 12 negara teratas di dunia dengan jumlah kes harian baharu Covid-19 tertinggi.
Kita berduka cita melihat angka korban yang begitu tinggi dan penderitaan yang ditinggalkan Covid-19, dengan lebih 13,000 nyawa telah terkorban selain kadar kes bunuh diri yang melonjak di negara ini. Terdapat juga kejadian kematian sebelum tiba di hospital (BID) yang tinggi, yang mewakili satu pertiga kadar kes kematian harian yang akhir-akhirnya dicatatkan sekitar 200-300. Ketika ini terdapat satu perempat juta pesakit Covid-19 yang sedang dirawat.
Kita sedang mengejar masa untuk melengkapkan program vaksinasi negara di tengah-tengah ancaman varian Delta yang lebih mudah menular dan virus serta varian lain yang mungkin mempunyai kekebalan terhadap vaksin sedia ada.
Saya pernah berkata bahawa Malaysia akan beransur-ansur kembali ke kehidupan normal selepas kita berhenti memecahkan rekod baru membabitkan wabak Covid-19.
Amat menyedihkan, kita masih tewas setelah berhempas pulas selama 20 bulan berperang dengan Covid-19, dan melainkan kita dapat menguasai peperangan melawan koronavirus yang merupakan musuh yang tidak kelihatan tetapi amat berbahaya dengan pendekatan dan strategi “keseluruhan masyarakat”, pembangunan ekonomi dan negara akan terus terbantut.