Adakah terdapat sebarang penjelasan tentang mengapa kita sedang menuju ke arah untuk merekodkan lebih dari 6,000 kes kematian akibat Covid-19 pada bulan Ogos - iaitu bulan Hari Kebangsaan - sedangkan pada bulan Ogos tahun lalu hanya dua kes kematian akibat wabak itu dicatatkan?
Adakah terdapat sebarang penjelasan tentang mengapa kita sedang menuju ke arah untuk merekodkan lebih dari 6,000 kes kematian akibat Covid-19 pada bulan Ogos - iaitu bulan Hari Kebangsaan - sedangkan pada bulan Ogos tahun lalu hanya dua kematian akibat wabak itu dicatatkan?
Pada sebelas hari pertama bulan Ogos, terdapat 2,349 kematian akibat Covid-19 dicatatkan sedangkan semasa bulan pertama pelaksanaan Darurat dari 11 Januari - 10 Februari 2021, hanya 268 kes kematian akibat Covid-19 direkodkan di negara ini!
Seorang aktivis masyarakat Dr. Mohamed Rafick Khan telah menulis pemerhatian beliau di blognya bahawa dua peratus kes Covid-19 di Tahap 3, 4 dan 5 tetap berterusan dicatatkan sebelum vaksinasi bermula di peringkat global.
Seperti yang diperkatakan Dr. Rafick: “Vaksinasi tidak mengubah peratusan ini. Ia kekal pada 98%.”
Dr. Rafick berkata bahawa peratusan 2% tersebut tetap berterusan tetapi taburan kes dalam tahap 3-5 dan kematian akibat wabak berkenaan semakin memburuk.
Katanya: “Ini tiada kaitan dengan vaksinasi. Taburan dan statistik angka kematian yang semakin teruk adalah disebabkan oleh kapasiti dan keupayaan yang lemah di hospital. Ini berkaitan dengan keletihan kakitangan perubatan dan kehilangan motivasi yang serius.
"Kita menghadapi masalah ini ketika ini kerana pembuat dasar belum memberikan perhatian yang mencukupi terhadap perkembangan di hospital. Mereka bergantung pada sektor swasta untuk menyediakan perkhidmatan tersebut. Kita belum mengambil dan melatih kakitangan perubatan yang mencukupi.
“Justeru apabila KKM dan MKN menggunakan parameter baru di bawah PPN untuk menentukan fasa, orang ramai perlu memahami maksud data kemasukan ke hospital dan angka kematian.
"Peralihan dari Fasa ke Fasa tidak bererti keadaan di lapangan semakin baik. Sekiranya vaksinasi berkesan, angka kematian dan jumlah pesakit yang berada di Tahap 5 akan semakin berkurangan, dan kita sepatutnya hanya merawat pesakit di Tahap 3 dan 4. Kita mesti tetap perlu berwaspada dan berjaga-jaga."
Seperti sekarang, kita nampaknya tidak berdaya untuk mengelakkan Bulan Hari Kebangsaan tahun ini menjadi bulan paling tragis sepanjang Covid-19 merebak sejak 20 bulan yang lalu - dengan jumlah kumulatif kes Covid-19 melebihi 1.7 juta kes dan lebih daripada 15,000 kematian akibat wabak itu.
Semalam, kita adalah negara ke-11 teratas di dunia dalam kes kematian harian baharu akibat Covid-19.
Ini belum lagi mengambil kira tahap percubaan bunuh diri dan kes bunuh diri yang tinggi yang belum pernah terjadi sebelum ini di negara ini ekoran kesan penularan wabak Covid-19.
Ketika ramai orang memperkatakan tentang isu percubaan membunuh diri, tuduhan jenayah tetap menjadi pilihan pihak berkuasa terhadap mereka yang cuba membunuh diri, sedangkan yang paling mereka perlukan adalah sokongan psikiatri dan bukannya diperlakukan seperti penjenayah.
Sehingga tindakan perundangan diambil untuk melaksanakan nyahjenayah terhadap percubaan bunuh diri, saya meminta kerajaan untuk menunjukkan belas kasihan dan empati dengan mengumumkan moratorium segera dan menghentikan semua pendakwaan kes percubaan bunuh diri yang belum selesai.