Polis tidak sepatutnya menyalahgunakan kuasanya dengan menidakkan hak kebebasan bersuara dan berpendapat rakyat Malaysia

Pihak Polis tidak boleh menyalahgunakan kuasanya dengan menidakkan hak kebebasan bersuara dan berpendapat rakyat Malaysia.

Tindakan pantas dan tidak berpatutan oleh pihak Polis terhadap empat orang atas dakwaan mereka telah menghina Menteri Besar Kedah, Mohammad Sanusi Md Nor, telah mengejutkan rakyat Malaysia, terutamanya tentang bagaimana seorang warga emas berusia 61 tahun -- yang memanggil Sanusi “bodoh” kerana kenyataannya mengenai penggunaan kontena untuk menyimpan jenazah mangsa Covid -- yang telah diheret dari Lenggeng di Negeri Sembilan ke Kedah untuk siasatan.

Sudah tiba masanya untuk Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah, masuk campur untuk menjaga imej pasukan polis, sebagai rakan dan pelindung rakyat, bukannya pelindung mereka yang berkuasa sahaja, dan untuk mengekalkan pandangan bahawa Malaysia bukanlah sebuah negara polis, untuk mengelakkan tindakan sesetengah anggota yang mungkin akan mencemarkan maruah pasukan polis secara amnya.

Sedangkan Sanusi sentiasa mempunyai ruang untuk mengambil tindakan sivil untuk membersihkan namanya sendiri.

Seruan daripada persatuan sivil, untuk perkhidmatan kesihatan dan polis diteliti oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk memastikan terdapat semangat bertanggung jawab amatlah bertepatan masanya. Tindakan Polis mengenai kenyataan kasar dan tidak senonoh Menteri Besar Kedah ini hanya akan mencemarkan maruah pasukan polis dan menghakis kepercayaan rakyat kepada pasukan polis.

Pegawai polis yang bertanggungjawab ke atas penangkapan merentas negeri mengenai kenyataan Menteri Besar Kedah semasa negara sedang dilanda wabak Covid-19 ini perlu dibawa ke Jawatankuasa Khas Parlimen untuk memberikan penjelasan mengenai tindakan mereka yang drakonian dan tidak berpatutan.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri