Adakah Malaysia mahu berada dalam kategori lima negara teratas dengan jumlah kes dan kematian akibat Covid-19 tertinggi di dunia?
Semalam, kita melepasi paras 11,000 kematian terkumpul akibat Covid-19 dan hari ini pula, kita akan melepasi paras 1.3 juta kes Covid-19 terkumpul.
Pada kadar semasa, mengumpulkan seribu kematian dalam lima atau enam hari, kita akan mencapai paras 15,000 kematian akibat Covid-19 menjelang Hari Kebangsaan ke-64 pada 31 Ogos 2021. Manakala untuk jumlah kes terkumpul pula, kita kelihatan seperti bakal mencapai 1.5 juta kes terkumpul dalam negara menjelang Ogos 21 atau 22, dan mencatatkan lebih daripada 1.7 juta kes terkumpul menjelang 31 Ogos.
Tidak adakah apa-apa yang boleh dilakukan pihak berkuasa untuk mengubah hala tuju angka-angka ini?
Semalam, dengan 19,991 kes baharu dan 201 kematian akibat Covid-19, kita telah tergolong dalam sembilan negara teratas di dunia dengan jumlah jangkitan baharu tertinggi dan berada di tempat ke-10 dengan jumlah kematian tertinggi.
Adakah kita mahu berada dalam kategori lima negara teratas dengan jumlah kes dan kematian akibat Covid-19 tertinggi di dunia?
Kita telah pun mengatasi lima negara dengan jumlah penduduk tertinggi dalam salah satu atau kedua-dua ukuran ini. Adakah kita mahu mengatasi semua 10 negara dengan jumlah penduduk tertinggi di dunia dengan ukuran kes baharu atau kematian ini pula?
Sepuluh negara dengan jumlah penduduk tertinggi di dunia adalah:
- China 1.44 bilion penduduk
- India 1.39 bilion
- Amerika Syarikat 333 juta
- Indonesia 276 juta
- Pakistan 226 juta
- Nigeria 212 juta
- Brazil 214 juta
- Bangladesh 166 juta
- Rusia 146 juta
- Mexico 130 juta
Gabungan Kesihatan Malaysia telah menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan semula kelonggaran sekatan aktiviti yang diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada hari Sabtu, dengan kriteria yang jelas yang berasaskan kepada sains dan maklumat yang ada, memandangkan hanya 27 peratus penduduk di Malaysia, tanpa mengira migran tanpa dokumen, yang telah menerima vaksinasi lengkap. Begitu juga dengan masalah perbezaan pengedaran vaksin, dengan kadar vaksinasi 12% di Sabah dan 59% di Labuan sebagai contoh, kadar penggunaan katil hospital dan unit rawatan rapi juga amat tinggi, ditambah buruk lagi dengan penularan varian-varian baharu seperti Delta, Delta Plus, dan Lambda.
Semalam adalah hari pertama pelaksanaan kelonggaran aktiviti untuk mereka yang telah menerima vaksinasi penuh, tetapi kebanyakan restoran dalam kawasan di dalam Fasa 2 Program Pemulihan Negara tidak bersedia untuk membenarkan pelanggan makan di kedai mereka.
Antara alasan yang diberikan adalah kebimbangan mengenai angka kes positif yang tinggi dan juga para pekerja mereka yang masih belum menerima vaksinasi lengkap.
Perkara ini sekali lagi mendedahkan penipuan kenyataan seorang Menteri yang mengatakan bahawa wabak ini adalah bukti yang kerajaan telah berjaya mengendalikan pandemik ini dengan baik kerana orang ramai tidak lagi bimbang mengenai wabak ini, di mana perkara ini menjadi bukti terkuat yang orang ramai masih amat bimbang mengenai penularan Covid-19.
Kerana itulah Persekutuan Pembuatan Malaysia (FMM) menyeru kepada kerajaan untuk membuka semula sektor ekonomi berdasarkan kadar vaksinasi di peringkat syarikat masing-masing, dengan terus mematuhi prosedur operasi standard dan saringan berkala untuk pekerja.
Mereka mengatakan yang kegagalan untuk berbuat demikian akan menyebabkan lebih banyak perniagaan gulung tikar dengan kerosakan mendalam kepada ekonomi negara dan juga tempoh kemelesetan ekonomi yang berpanjangan.
FMM mengatakan bukti di peringkat antarabangsa menunjukkan yang pelaksanaan vaksinasi secara pantas adalah jawapan untuk membuka semula dan menggerakkan ekonomi walaupun berhadapan dengan ancaman kes akibat varian baharu.
Badan tersebut juga menekankan kepentingan untuk mempercepatkan program imunisasi kebangsaan supaya kerajaan boleh berhenti mengasingkan sektor penting dan tidak penting, memandangkan semua perniagaan berkait rapat antara satu sama lain di mana sektor-sektor penting memerlukan sokongan daripada sektor bukan penting.
Adakah suara-suara ini akan didengari dan tindakan akan diambil oleh para pembuat dasar untuk memastikan adanya strategi dan pendekatan yang melibatkan “keseluruhan masyarakat” selepas 20 bulan bergelut dengan wabak Covid-19, yang memerlukan perubahan pendekatan daripada usaha untuk mencapai “Sifar kes Covid” kepada pendekatan yang lebih selari dengan cara untuk “hidup bersama” wabak ini?