Isu terbesar wabak Covid-19 adalah kadar kematian yang tinggi dengan 360 kematian baru akibat Covid-19 dicatatkan semalam tetapi perkara itu langsung tidak disentuh oleh Muhyiddin dalam siaran langsungnya
Ketika darurat diumumkan pada 11 Januari 2021 untuk memerangi wabak Covid-19, 551 kes kematian dicatatkan dalam tempoh 12 bulan pertama penularan wabak itu di negara ini.
Dalam tempoh tujuh bulan sejak pengisytiharan darurat, kes kematian akibat Covid-19 telah meningkat 19.5 kali ganda menjadikan kes kematian kesuluruhan sebanyak 10,749.
Berdasarkan kadar kematian semasa akibat Covid-19, kita bakal memecahkan angka 11,000 kematian akibat Covid-19 sama ada hari ini atau esok dan dijangka mencatatkan lebih 15,000 kematian akibat wabak ini menjelang Hari Kebangsaan ke-64 pada 31 Ogos dan hampir 20,000 kematian menjelang Hari Malaysia ke-58 pada 16 September 2021 -- menjadikan dua cuti kebangsaan ini sebagai hari paling tragis dalam sejarah negara.
Pada 3 Julai, saya mengkritik Muhyiddin kerana mengabaikan kadar kematian akibat Covid-19 yang tinggi di Malaysia dan meminta Perdana Menteri untuk mengarahkan pasukan Covid-19 untuk memberi tumpuan terhadap perkara itu kerana angka korban akibat Covid-19 yang begitu tinggi yang dicatatkan sepanjang bulan Jun iaitu sebanyak 2,374 orang adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.
Pun begitu, terdapat seorang Menteri yang mendakwa bahawa Covid-19 adalah petunjuk bahawa kerajaan telah berjaya menguruskan wabak tersebut kerana rakyat kini tidak lagi takut terhadap Covid-19, malah beliau turut memperlekehkan kenyataan saya.
Untuk makluman Menteri tersebut, saya tidak pernah jumpa mana-mana individu pun di negara ini yang tidak takut dengan virus Covid-19.
Sejak daripada waktu itu, angka kematian akibat Covid-19 terus bertambah buruk.
Pada bulan Julai, terdapat 3,854 kes kematian akibat Covid-19 direkodkan dan dalam lapan hari pertama bulan Ogos, sebanyak 1,729 kes kematian dicatatkan dan Malaysia kemungkinan akan merekodkan lebih 5,000 kes kematian pada bulan Ogos sahaja.
Kita telah menunjukkan prestasi yang sangat buruk dalam perang melawan wabak Covid-19 sehinggakan kedudukan kita melonjak dari belasan negara teratas di dunia dalam jumlah kes kematian harian kepada negara ketujuh teratas di dunia dengan 360 kes kematian akibat wabak itu semalam.
Tiada negara yang mempunyai kadar kematian Covid-19 yang begitu tinggi yang boleh mendabik dada dengan mengatakan bahawa mereka adalah kerajaan yang prihatin ketika beratus-ratus orang telah terkorban setiap hari akibat wabak berkenaan.
Apa yang paling membimbangkan adalah bahawa seoalah-olah tiada harapan, antara 7 Julai dan 7 Ogos, jumlah pesakit di ICU meningkat dari 948 kepada 1,097 sementara jumlah kes aktif melonjak dari 74,344 kepada 224,120 dalam tempoh yang sama, memberikan tekanan yang tidak pernah terjadi sebelumnya terhadap sistem penjagaan kesihatan di Lembah Klang yang kini berada di ambang kelumpuhan.
Tetapi kesalah terbesar dalam pengendalian wabak Covid-19 adalah keengganan kerajaan Muhyiddin untuk merintis strategi dan pendekatan "keseluruhan masyarakat" dalam perang melawan Covid-19, meskipun wabak itu telah mengganas selama 20 bulan di negara ini - dan ini dapat dilihat menerusi tindakan berterusan kerajaan menutup Parlimen dan kekecewaan yang dizahirkan Ahli Parlimen ekoran tidak dapat memainkan peranan mereka sepenuhnya dalam perang melawan wabak ini.