Negara dilanda masalah tiga serangkai melibatkan Covid-19 semalam selepas menghadapi enam masalah membabitkan wabak itu kelmarin
Malaysia dilanda masalah tiga serangkai melibatkan Covid-19 semalam selepas menghadapi enam masalah membabitkan wabak itu kelmarin.
Enam masalah yang melanda Malaysia pada Rabu lalu adalah seperti berikut:
- Kes harian Covid-19 tertinggi - 19,819 kes.
- Kematian harian akibat Covid-19 tertinggi - 251 kematian.
- Jumlah kemasukan pesakit ke Unit Rawatan Rapi (ICU) tertinggi - 1,060 kes.
- Kes aktif Covid-19 tertinggi - 210,000.
- No. 10 di dunia untuk kes harian baharu Covid-19.
- No. 10 di dunia untuk kematian harian baharu akibat Covid-19.
Malaysia mengambil masa 10 bulan untuk mencapai 19,627 kes Covid-19 pertama pada 27 Oktober 2020 dan 251 kematian pertama pada 2 November 2020, namun pada Rabu lalu, Malaysia mencapai angka yang membimbangkan ini dalam tempoh cuma sehari.
Masalah tiga serangkai yang dihadapi Malaysia semalam adalah:
- Kes harian Covid-19 tertinggi - 20,595 kes.
- Memecahkan paras 10,000 kematian akibat Covid-19 - 10,019.
- Memecahkan paras 1.2 juta jumlah kumulatif kes Covid-19 - 1,203,7089 kes.
Menurut Our World in Data, purata tujuh hari kes harian baharu per sejuta penduduk di Malaysia meningkat hampir enam kali ganda antara 1 Mei (94.2 per sejuta penduduk) dan 4 Ogos (536.87 per sejuta penduduk).
Pada kadar jangkitan ini, Malaysia bakal menuju Hari Kebangsaan ke-64 pada 31 Ogos 2021 dengan mencatatkan lebih 1.5 juta kes Covid-19 dan lebih 15,000 kematian sementara 2 juta kes Covid-19 dan kira-kira 20,000 kematian bakal dicatatkan menjelang Hari Malaysia ke-58 pada 16 September 2021, meletakkan Malaysia di tempat ke-25 antara negara-negara di dunia dengan jumlah kumulatif kes Covid-19 tertinggi.
Apa yang sedang kita lakukan untuk menghalang Malaysia daripada terus tersungkur bersama negara-negara yang menunjukkan prestasi terburuk dalam menangani wabak Covid-19?
Ini bukan cara terbaik untuk melawan wabak Covid-19, lebih-lebih lagi dengan ancaman penularan varian baharu seperti varian Delta, Delta Plus dan lain-lain.
Adakah kita memerlukan lebih banyak laporan daripada pihak antarabangsa, seperti laporan Indeks Ketahanan Covid yang dikeluarkan secara bulanan oleh Bloomberg untuk menyakinkan rakyat Malaysia bahawa kita telah tercampak jauh ke dalam kumpulan negara-negara yang menunjukkan prestasi paling buruk dalam menangani penularan Covid-19, tidak kira dalam kategori jumlah kes harian Covid-19 dan jumlah harian kematian akibat wabak itu.
Kita telah jatuh dari kedudukan ke-16 kepada kedudukan ke-52, dalam Indeks Ketahanan Covid oleh Bloomberg. Meskipun Indonesia ditempatkan di kedudukan ke-53 dan terakhir, kita merekodkan empat kali ganda “kes harian per sejuta penduduk” berbanding Indonesia.
Negara harus menetapkan semula fokus untuk mengawal situasi Covid-19 yang kian memburuk, dan ini hanya boleh dilakukan jika tiga syarat ini dipenuhi:
- Menamatkan krisis perlembagaan yang sedang membelenggu negara ketika ini.
- Mengakui kegagalan perang melawan Covid-19 sepanjang 20 bulan ini dan keperluan untuk merangka dasar dan strategi baharu untuk menggantikan Pelan Pemulihan Negara yang melibatkan “keseluruhan masyarakat” dan bukan sekadar cakap kosong. Parlimen mempunyai peranan besar untuk merangka dasar dan strategi baharu ini. Bagaimana mungkin dasar dan strategi Muhyiddin dilihat melibatkan “keseluruhan masyarakat” sekiranya ia tidak melibatkan “keseluruhan Parlimen”?
- Mengembalikan keyakinan dan kepercayaan masyarakat terhadap dasar dan strategi baharu melawan Covid-19 berlandaskan dasar “hidup di samping Covid” dan bukannya “Sifar Covid”. Sekatan yang dilaksanakan di Parlimen adalah salah satu contoh penerapan dasar “Sifar Covid” dan bukannya “Hidup di samping Covid-19”.
Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata semalam bahawa kes bergejala serius akan dijadikan indikator baharu untuk peralihan Pelan Pemulihan Negara (PPN) ke Fasa 3 dan Fasa 4 untuk menggantikan indikator kes baharu, dengan menggunakan proksi kes kemasukan hospital baharu bagi Covid-19 yang disesuaikan untuk kategori 3, 4 dan 5.
Negara ini memerlukan Majlis Pemulihan Negara untuk mengendalikan wabak Covid-19 dan menerajui usaha pemulihan negara dan ekonomi di Malaysia, tetapi tidak terikat dengan Pelan Pemulihan Negara yang belum dapat dilaksanakan pada akhir bulan Jun dan memaksa pembuat keputusan untuk bergantung pada peralihan fasa negeri-ke-negeri dan bukannya peralihan fasa melibatkan seluruh negara.