Mengapa Parlimen ditutup selama dua minggu dan mengapa sidang khas Parlimen yang disingkatkan tidak dapat diadakan semula supaya Dewan Rakyat dapat bersidang pada 16 Ogos dan Dewan Negara dapat bersidang dari 17 hingga 19 Ogos untuk membatalkan enam Ordinan Darurat
Kenyataan empat perenggan oleh Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, hari ini menandakan dua perkara:
Pertama, beliau tidak akan meletakkan jawatan atau mengorbankan mana-mana Menteri atau pegawainya dan akan menentang sebarang cubaan daripada mana-mana pihak yang mahu menamatkan kerajaan pintu belakang yang tidak sah dan tidak demokratik yang ditadbirnya; dan
Kedua, berakhirnya percubaan tidak wajar untuk membatalkan enam Ordinan Darurat yang diputuskan oleh Kabinet pada 21 Julai 2021.
Bagaimanapun, ia menimbulkan persoalan lain, termasuk:
Mengapa Parlimen ditutup selama dua minggu dan mengapa sidang khas Parlimen yang disingkatkan tidak dapat diadakan semula supaya Dewan Rakyat dapat bersidang pada 16 Ogos dan Dewan Negara dapat bersidang dari 17 hingga 19 Ogos atau pada tarikh yang lebih awal; atau sama ada Parlimen akan ditangguh sehingga 6 September semasa berlangsungnya Mesyuarat Keempat Sidang Parlimen ke-14 yang akan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Muhyiddin harus menjelaskan mengapa sidang khas Parlimen yang dipendekkan tidak dapat diadakan semula pada 16 Ogos atau pada tarikh yang lebih awal supaya usul untuk membatalkan enam Ordinan Darurat dapat dibentangkan, dibahaskan dan diputuskan dalam sidang tersebut.