Misteri atas dasar apa sesebuah negeri diletakkan dalam fasa tertentu PPN adalah salah satu sebab mengapa masyarakat hilang keyakinan terhadap Pelan Pemulihan Negara
Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa Sarawak, Perlis dan Labuan telah memasuki Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Keputusan ini dibuat meskipun Sarawak dan Labuan tidak memenuhi syarat untuk beralih ke Fasa 3 PPN berdasarkan kriteria awal yang ditetapkan kerajaan pada awal Julai.
Misteri atas dasar apa sesebuah negeri diletakkan dalam fasa tertentu PPN adalah salah satu sebab mengapa masyarakat hilang keyakinan terhadap Pelan Pemulihan Negara, dan mengapa dasar dan strategi baru harus dirangka dengan melihat kepada kegagalan strategi yang diambil kerajaan sebelum ini, khususnya pelaksanaan darurat bermula dari 11 Januari hingga 1 Ogos, dengan alasan untuk memerangi wabak Covid-19 yang berlarutan sejak 20 bulan lalu.
Mengikut kriteria awal yang ditetapkan oleh kerajaan, purata tujuh hari kes harian baharu Covid-19 untuk Sarawak mestilah di bawah 345 kes untuk negeri itu beralih ke Fasa 2, 172 kes untuk beralih ke Fasa 3 dan 43 kes untuk beralih ke Fasa 4.
Purata tujuh hari kes harian baharu Covid-19 adalah 482 kes.
Sarawak beralih ke Fasa 2 pada 14 Julai. Ketika itu, negeri berkenaan memenuhi syarat untuk beralih ke Fasa 2 tetapi keadaan semakin memburuk selepas itu.
Syarat awal yang ditetapkan kerajaan untuk Labuan beralih ke Fasa 2 adalah purata tujuh hari di bawah 12 kes, enam kes untuk beralih ke Fasa 3 dan dua kes untuk beralih ke Fasa 4.
Bagi Perlis, kriteria tersebut merangkumi purata tujuh hari di bawah 31 kes untuk beralih ke Fasa 2, 16 kes untuk beralih ke Fasa 3 dan empat kes untuk beralih ke Fasa 4.
Berdasarkan kriteria ini, hanya Perlis yang memenuhi syarat untuk beralih ke Fasa 3.
Mengikut PPN, Malaysia hanya akan beralih ke Fasa 2 setelah purata kes Covid-19 berada di bawah 4,000 kes sehari selama tujuh hari berturut-turut, kapasiti katil di unit rawatan rapi (ICU) mencapai paras 75 peratus ke bawah di samping 10 peratus populasi yang telah divaksin.
Di bawah pelan pemulihan, negara akan dibuka secara berperingkat menerusi empat fasa, yang mana ditentukan menerusi tiga indikator iaitu jumlah kes harian Covid-19, jumlah vaksinasi dan keadaan sistem kesihatan, yang mestilah berada dalam keadaan terkawal.
Untuk beralih ke Fasa 3, jumlah kes harian mestilah di bawah 2,000, 40 peratus populasi telah divaksin dan sistem kesihatan di tahap yang terkawal.
Fasa 4 pula, jumlah kes harian mestilah di bawah paras 2,000, 60% populasi telah divaksin dan sistem kesihatan di tahap selamat.
Namun setakat ini, hanya kriteria vaksinasi yang telah dipenuhi, dan Malaysia tidak dapat beralih ke Fasa 2 bukan sahaja pada akhir bulan Jun dan Julai, malah mungkin ketika kita menyambut Hari Kebangsaan ke-64 pada 31 Ogos dan Hari Malaysia ke-58 pada 16 September.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah meramalkan jangkitan Covid-19 akan meningkat pada pertengahan September dengan 24,000 kes sehari.
Parlimen adalah wadah yang terbaik bagi kerajaan Muhyiddin untuk menjelaskan kesilapan dan kekurangan PPN, dan untuk merangka dasar dan strategi baru bagi menggantikan PPN sesuai dengan objektif "Hidup di samping Covid" dan bukannya pendekatan "Sifar Covid" yang seringkali ditekankan kerajaan sebelum ini.
Bagaimanapun, Parlimen telah ditutup selama dua minggu dan Ketua Pengarah Kesihatan belum meyakinkan Ahli Parlimen dan masyarakat di negara ini bahawa keputusan penutupan berkenaan benar-benar dibuat berdasarkan sains dan data dan bukannya keputusan politik kerajaan Muhyiddin.
Selepas dua minggu Parlimen ditutup, adakah Parlimen akan bersidang semula pada bulan Ogos untuk melengkapkan sidang khas Dewan Rakyat dan Dewan Negara?
Inilah sebabnya mengapa kerajaan tidak boleh berlengah-lengah untuk membuat pengumuman mengenai bilakah sidang khas Parlimen akan disambung semula atau adakah Parlimen akan ditangguh sehingga 6 September semasa berlangsungnya Mesyuarat Keempat Sidang Parlimen ke-14 yang akan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong?