Indeks Ketahanan Covid-19 oleh Bloomberg untuk bulan Julai menempatkan Malaysia di kedudukan ke-52 sedangkan pada bulan Januari kita berada di kedudukan ke-16 dari 53 negara dengan nilai ekonomi lebih dari AS$200 bilion adalah bukti kegagalan pelaksanaan darurat dan strategi kerajaan Muhyiddin dalam perang melawan wabak Covid-19

Indeks Ketahanan Covid-19 oleh Bloomberg untuk bulan Julai yang menempatkan Malaysia di kedudukan ke-52 sedangkan pada bulan Januari kita berada di kedudukan ke-16 dari 53 negara dengan nilai ekonomi lebih dari AS$200 bilion adalah bukti kegagalan pelaksanaan darurat dan strategi kerajaan Muhyiddin dalam perang melawan wabak Covid-19.

Selama 20 hari berturut-turut sejak 13 Julai, kita mencatatkan kes harian Covid-19 lima angka, merekodkan puncak baru sebanyak sembilan kali dalam jangka masa sesingkat 20 hari ini sehingga puncak harian sebanyak 17,786 kes dilaporkan pada 31 Julai.

Dari kedudukan ke-85 antara negara-negara dengan jumlah kes Covid-19 tertinggi pada November lalu, kita kini telah mengatasi 58 negara selepas berada di kedudukan ke-27 dengan 1,130,422 kes Covid-19 dan 9,184 kematian akibat wabak itu.

Darurat diisytiharkan ketika kita mencatatkan 135,992 kes Covid-19 dengan 551 kematian. Enam bulan kemudian, pada hari terakhir darurat pada 31 Julai, kita mencatatkan 1,113,272 kes Covid-19 dengan 9,024 kematian - kira-kira lima kali ganda jumlah kes Covid-19 dan 16 kali ganda jumlah kematian berbanding sebelum pelaksanaan darurat.

Sekiranya pelaksanaan darurat pada 11 Januari mempunyai alasan yang kuat, sudah pasti ia dilanjutkan selepas 1 Ogos mengambil kira situasi wabak Covid-19 yang semakin memburuk.

Peningkatan mendadak jumlah kes Covid-19 dan kematian akibat wabak itu sejak darurat diisytiharkan menunjukkan bahawa darurat yang telah menyebabkan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri digantung adalah penawar yang salah untuk menangani penularan Covid-19, ia sebaliknya menunjukkan penyalahgunaan kuasa oleh pihak Eksekutif.

Kini, Parlimen telah dikunci atas alasan yang sama ketika darurat diisytiharkan pada 11 Januari 2021 -- bukan untuk menangani wabak Covid-19 tetapi untuk membolehkan kerajaan pintu belakang, tidak sah dan tidak demokratik terus berkuasa.

Ini bukan caranya untuk melawan Covid-19, lebih-lebih lagi dengan ancaman varian delta dan lain-lain.

Adakah kita memerlukan lebih banyak laporan daripada pihak antarabangsa, seperti laporan Indeks Ketahanan Covid yang dikeluarkan secara bulanan oleh Bloomberg untuk menyakinkan rakyat Malaysia bahawa kita telah tercampak jauh ke dalam kumpulan negara-negara yang menunjukkan prestasi paling buruk dalam menangani penularan Covid-19, tidak kira dalam kategori jumlah kes harian Covid-19 dan jumlah harian kematian akibat wabak itu.

Kita telah jatuh dari kedudukan ke-16 kepada kedudukan ke-52, dalam Indeks Ketahanan Covid oleh Bloomberg. Meskipun Indonesia ditempatkan di kedudukan ke-53 dan terakhir, kita merekodkan empat kali ganda “kes harian per sejuta penduduk” berbanding Indonesia.

Negara harus menetapkan semula fokus untuk mengawal situasi Covid-19 yang kian memburuk, dan ini hanya boleh dilakukan jika tiga syarat ini dipenuhi:

  1. Menamatkan krisis perlembagaan yang sedang membelenggu negara ketika ini
  2. Mengakui kegagalan perang melawan Covid-19 sepanjang 20 bulan ini dan keperluan untuk merangka dasar dan strategi baharu untuk menggantikan Pelan Pemulihan Negara yang melibatkan “keseluruhan masyarakat” dan bukan sekadar cakap kosong. Parlimen mempunyai peranan besar untuk merangka dasar dan strategi baharu ini. Bagaimana mungkin dasar dan strategi Muhyiddin dilihat melibatkan “keseluruhan masyarakat” sekiranya ia tidak melibatkan “keseluruhan Parlimen”?
  3. Mengembalikan keyakinan dan kepercayaan masyarakat terhadap dasar dan strategi baharu melawan Covid-19 berlandaskan dasar “hidup di samping Covid” dan bukannya “Sifar Covid”. Sekatan yang dilaksanakan di Parlimen adalah salah satu contoh penerapan dasar “Sifar Covid” dan bukannya “Hidup di samping Covid-19”, selain bertentangan dengan kepentingan negara apabila kerajaan Muhyiddin dibiarkan terlepas daripada penelitian dan semak imbang parlimen.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri