Seruan kepada semua calon yang bertanding untuk bersatu dengan kepimpinan Liew Chin Tong dan Teo Nie Ching untuk membawa DAP Johor ke kemuncak baharu -- menjadi negeri barisan hadapan untuk DAP dan Pakatan Harapan untuk memenangi PRU-15 dan memenuhi Impian Malaysia
Saya tidak akan dapat untuk menghadiri Konvensyen DAP Negeri Johor di Batu Pahat pada hari Ahad, 2 Mei 2021 memandangkan saya sedang menjalani kuarantin Covid-19 selama 10 hari daripada 30 April sehingga 9 Mei.
Oleh itu, saya tidak dapat untuk mengundi dalam pemilihan DAP Johor.
Saya tidak dijangkiti Covid-19, tetapi saya telah menjadi kontak rapat seseorang yang telah disahkan positif Covid-19.
Konvensyen DAP Negeri Johor ini adalah satu titik penting dalam perjalanan DAP untuk membentuk sebuah negara bangsa Malaysia yang bertaraf dunia sejak daripada tahun 1966.
Untuk lebih daripada enam dekad, Johor adalah kubu kuat Perikatan dan parti-parti komponennya -- UMNO, MCA, dan MIC.
Johor mempunyai 1.8 juta pengundi berdaftar, tetapi negeri ini juga mempunyai jumlah kerusi Parlimen tertinggi, lebih daripada Selangor yang mempunyai 2.4 juta pengundi berdaftar dengan 22 kerusi Parlimen, berbanding dengan 26 kerusi Parlimen di Johor.
Mengapakah begini? Ini kerana Johor dianggap sebagai kubu kuat UMNO, MCA, dan MIC yang tidak dapat dikalahkan, bahawa sekiranya calon UMNO, MCA, dan MIC kalah di negeri lain, mereka akan terus kekal kuat dan menang di Johor.
Sehinggalah Pilihan Raya Umum ke-13 pada tahun 2013 dan Pilihan Raya Umum ke-14 pada tahun 2018.
Sebelum PRU-13, DAP hanya mampu memenangi satu kerusi -- Kluang pada PRU tahun 1978 (Lee Kaw) dan Bakri dalam PRU 2008 (Er Teck Hwa).
Dalam Pilihan Raya Umum ke-13, DAP memenangi empat kerusi Parlimen -- Bakri (Er Teck Hwa), Kluang (Liew Chin Tong), Kulai (Teo Nie Ching), dan Gelang Patah (Lim Kit Siang). Pada Pilihan Raya Umum ke-14, kita memenangi lima kerusi Parlimen -- Bakri (Yeo Bee Yin), Kluang (Wong Shu Qi), Labis (Pang Hok Liong), Kulai (Teo Nie Ching), dan Iskandar Puteri (Lim Kit Siang).
Perubahan ini berlaku kerana visi dan keberanian Liew Chin Tong, yang bekerja keras daripada tahun 2012 untuk mengubah Johor, daripada sebuah kubu kuat Perikatan kepada medan barisan hadapan untuk DAP dalam usaha untuk merealisasikan Impian Malaysia menjadi sebuah negara yang bersatu padu yang berkelas dunia.
Transformasi ini dapat dilihat daripada keputusan DUN Johor tiga pilihan raya umum yang lepas. Sebelum 2013, jumlah tertinggi kerusi DUN yang dimenangi DAP di Johor adalah empat -- Bentayan (Quee Tong Hiang), Mengkibol (Ng Lam Hua), Skudai (Boo Cheng Hau), dan Senai (Ong Kow Meng).
Dalam PRU-13, DAP memenangi 13 kerusi DUN yang kemudiannya meningkat kepada 14 kerusi dalam PRU-14.
Teo Nie Ching adalah salah seorang daripada kira-kira 20 orang rakyat Malaysia yang menjadi Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri sebelum mencecah usia 30 tahun -- bukti bahawa DAP sentiasa akan mewakili golongan muda di Malaysia, tanpa mengabaikan kepentingan kumpulan umur yang lain. Nie Ching kemudiannya menjadi Timbalan Menteri Pendidikan dalam kerajaan Pakatan Harapan selama 22 bulan untuk membawa negara kita ke kemuncak baharu.
Chin Tong dan Nie Ching telah mengeluarkan kenyataan bersama menyatakan keyakinan mereka bahawa selepas 50 tahun perjalanan yang panjang dengan pelbagai cabaran, DAP Johor akan terus kuat dengan kepimpinan yang kuat.
Mereka menjanjikan komitmen untuk mengembangkan potensi DAP Johor untuk menjayakan pergerakan kebangsaan untuk menjadikan negara kita lebih baik dan lebih kuat dengan dua objektif:
- Memenangi Johor untuk membawa kemenangan di peringkat kebangsaan; dan
- Johor memimpin dalam transformasi nasional DAP.
- Bersedia untuk PRU-15;
- Bersedia untuk mentadbir;
- Jadikan DAP sebuah parti pelbagai kaum;
- Membina dan transformasi parti -- daripada kedai runcit ke pasaraya; dan
- Menjadi parti politik pilihan golongan muda dan wanita.
Chin Tong dan Nie Ching tepat. Seperti yang dikatakan mereka:
“Malaysia sedang bergelut dengan krisis tiga serangkai - politik, ekonomi dan kesihatan - yang belum pernah terjadi sebelum ini.
“Gagasan politik lama telah runtuh, termasuklah model dominasi satu parti UMNO. Pada tahun 2018, kita berjaya mencatat sejarah ulung dengan menumpaskan gagasan politik lama.
“Tahun 2021 bukan masa untuk bersikap sinis atau pesimis. Sekarang tiba saatnya kita bersatu dan membuat susunan baharu yang membolehkan semua rakyat Johor dan rakyat Malaysia menikmati hidup di negara yang stabil dan makmur pada dekad yang akan datang.
“Ini adalah tanggung jawab DAP kepada negara dan rakyat.
“Perjalanan DAP memang tidak pernah lancar tetapi kita tetap berani mara menghadapi rintangan, dan kita berjaya mencapai matlamat walaupun ia dikatakan mustahil sebelum itu.
“Dengan itu, kami dengan rasa penuh rendah hati menyeru semua anggota DAP Johor untuk bersatu dan menyertai kami memimpin parti dan rakan-rakan PH serta yang sehaluan dengannya menuju kemenangan pada PRU15 dan kembali mentadbir semula. Kita juga mahu melaksanakan transformasi DAP daripada sebuah kedai runcit menjadi pasar raya besar -- yang akan bermula di Johor.”
Saya menyokong kenyataan daripada Chin Tong dan Nie Ching ini. Inilah intipati Impian Malaysia.
Chin Tong tidaklah sempurna. Beliau ada kekurangan beliau -- seperti mana kita semua juga perlu merendah diri dan mengakui kelemahan masing-masing.
Kita telah memberikan kritikan dan pandangan kita tentang bagaimana DAP di Johor boleh mencapai kemuncak baharu.
Oleh itu, saya menyeru kepada semua Ahli-ahli Parlimen, Dewan Undangan Negeri, dan calon-calon yang bertanding untuk bersatu dengan kepimpinan Liew Chin Tong dan Teo Nie Ching untuk membawa DAP Johor ke kemuncak baharu -- menjadi negeri barisan hadapan untuk DAP dan Pakatan Harapan untuk memenangi PRU-15 dan memenuhi Impian Malaysia.