#kerajaangagal13 -- mengapa negara tanpa darurat boleh mempunyai prestasi melawan Covid-19 yang lebih baik berbanding dengan Malaysia yang berada di bawah darurat selama empat bulan dengan penggantungan Parlimen?

Malaysia mencatatkan 3,332 kes baharu Covid-19 semalam, hari kedua berturut-turut dengan kadar jangkitan di atas paras 3,000 kes sementara 13 hari sebelum ini, kadar jangkitan tidak pernah turun bawah daripada 2,000 kes sehari.

Banyak persoalan perlu ditanyakan, tetapi yang paling penting sekali, mengapa prestasi negara kita dalam melawan Covid-19 lebih buruk berbanding dengan negara yang tidak pun mengisytiharkan darurat.

Dalam penerbitan keenam Bloomberg Covid Resilience Ranking yang diterbitkan pada 26 April 2021, negara kita telah jatuh dua anak tangga ke tempat ke-20.

Tidak ada satu pun daripada 19 negara di atas kita yang diketuai oleh Singapura dan diikuti oleh New Zealand, Australia, Israel, Taiwan, Korea Selatan, Jepun, UAE, Finland, Hong Kong, Vietnam, China, Thailand, Denmark, Norway, Arab Saudi, AS, UK dan Kanada telah mengumumkan perintah darurat atau menggantung Parlimen untuk melawan wabak Covid-19, tetapi mereka mencatatkan prestasi yang lebih baik berbanding dengan Malaysia.

Daripada 19 negara ini, sepuluh berada di kawasan Asia Timur, ASEAN, dan kawasan serantau Pasifik mempunyai indeks “kes per sejuta penduduk” dan “kematian per sejuta penduduk” yang lebih baik, iaitu Singapura, New Zealand, Australia, Taiwan, Korea Selatan, Jepun, Hong Kong, Vietnam, China dan Thailand manakala sembilan negara lain pula mempunyai indeks yang lebih tinggi iaitu Israel, UAE, Finland, Denmark, Norway, Arab Saudi, AS, UK dan Kanada.

Perkembangan terkini menyokong kenyataan daripada aktivis komuniti, Dr Mohamed Rafick Khan yang mengatakan tidak ada gunanya lagi untuk melihat kadar kes harian, memandangkan wabak ini kini telah berada di dalam komuniti.

Indeks “ujian per sejuta penduduk” menunjukkan bahawa Malaysia berada di hadapan enam negara, Taiwan, Korea Selatan, Jepun, Vietnam, China, dan Thailand, tetapi berada di belakang 13 negara lain. Carta indeks ini adalah seperti berikut:

Negara (Kedudukan Keseluruhan Kumulatif) Ujian / 1 juta penduduk
Singapura(104) 1,619,618
New Zealand(178) 402,539
Australia(119) 651,505
Israel(29) 1,543,894
Taiwan(192) 22,624
Korea Selatan(86) 171,634
Jepun(38) 92,759
UAE(40) 4,395,501
Finland(97) 803,518
Hong Kong(145) 1,483,190
Vietnam(177) 26,502
China(95) 111,163
Negara Thai(103) 116,162
Denmark(62) 6,403,542
Norway(88) 951,529
Arab Saudi(42) 475,765
Amerika Syarikat(1) 1,339,328
UK(7) 2,274,470
Kanada(22) 820,038
Malaysia(43) 285,379

Seperti yang dikatakan Dr Rafick, dengan pengisytiharan darurat pada 12 Januari 2021, kerajaan sepatutnya boleh memperkenalkan strategi yang lebih tersusun dan bersasar untuk melawan wabak Covid-19 dan berhenti menggunakan satu peraturan untuk keseluruhan negara.

Adakah Kabinet gergasi Muhyiddin pernah memikirkan persoalan mengenai mengapa negara lain boleh mengawal wabak ini dengan lebih baik tanpa perlu mengisytiharkan darurat atau menggantung sidang Parlimen?

Malah, Amerika Syarikat juga berjaya beralih arah selepas menjadi negara terburuk di dunia di bawah pimpinan Donald Trump yang meninggalkan pejabat presiden pada 20 Januari 2021 dengan 25 juta kes Covid-19 dan 400,000 kematian dan kadar kenaikan kes harian sebanyak 200,000 kes.

Sejak Biden mengangkat sumpah sebagai Presiden AS pada 20 Januari 2021, kadar peningkatan harian di AS adalah serendah 42,098 kes pada 25 April.

Kini terdapat perlumbaan melawan masa, di antara vaksin dan virus.

Janji utama Biden adalah untuk memberikan 100 juta suntikan vaksin kepada rakyat Amerika menjelang 100 hari pertama beliau menjadi Presiden. Kini, kira-kira 290 juta suntikan vaksin telah diedarkan, 230 juta suntikan diberikan, dan kira-kira 96 juta rakyat AS menerima imunisasi penuh, 29% daripada jumlah penduduk.

Amerika Syarikat kini adalah negara yang telah memvaksinasi paling ramai penduduk berbanding dengan mana-mana negara di dunia, walaupun wabak ini juga telah mengorbankan 572,000 nyawa di AS, angka tertinggi di dunia.

Lebih daripada 3,000 orang mati setiap hari semasa Biden mula menjadi presiden. Kini, angka tersebut berada di bawah kadar 700 sehari.

100 hari yang akan datang untuk Biden akan memberikan cabaran untuk beliau berhadapan dengan keengganan orang menerima vaksin dan peningkatan varian baharu virus ini.

Tetapi, di Malaysia, kita masih bergelut untuk mengawal gelombang penularan ketiga -- yang merupakan gelombang penularan terpanjang di dunia -- dengan menurunkan kadar kes harian ke julat tiga dan kemudiannya dua angka.

Tetapi, terdapat kemungkinan merbahaya yang sebelum kita dapat mengawal gelombang ketiga ini, kita mungkin akan berhadapan dengan gelombang keempat.

Cara untuk mengelakkan gelombang keempat ini adalah untuk segera memanggil sidang Parlimen untuk menggerakkan pendekatan dan strategi yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam perang melawan wabak Covid-19 -- satu seruan yang saya telah buat sepanjang tahun tetapi tidak dipedulikan!

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri