#kerajaangagal12 -- empat sebab mengapa kerajaan Muhyiddin telah gagal dalam perang melawan wabak Covid-19 walaupun dengan darurat dan penggantungan Parlimen sejak 12 Januari

Empat sebab mengapa kerajaan Muhyiddin telah gagal dalam perang melawan wabak Covid-19 adalah:

  1. Kadar peningkatan harian kes Covid-19 telah memecahkan siling 3,000 kes semalam dengan 3,142 kes -- kali ketiga kadar ini berada di atas paras 3,000 kes sejak 24 Feb.
  2. Jumlah kes terkumpul di Malaysia telah melepasi 400,000 kes -- dengan 401,593 kes.
  3. Kedudukan negara kita terus merosot, kini berada di tempat ke-43 di dunia dari segi jumlah kes terkumpul, mengatasi kedudukan Bulgaria dan kita bakal mengatasi Arab Saudi (yang mempunyai 415,287 kes) dalam masa seminggu lagi dengan kadar peningkatan kes baharu sedia ada.
  4. Kita berada di tempat ke-85 pada 11 November dan setakat hari ini kita telah melonjak 42 kedudukan dalam tempoh enam bulan yang lepas. Sedangkan China, yang merupakan negara dengan situasi terburuk pada awal tahun lalu, kini berada di tempat ke-95 dengan hanya 90,622 kes terkumpul!

  5. Indeks “kes per sejuta rakyat” kita adalah 12,279, kadar tertinggi di Asia Timur, ASEAN, dan kawasan serantau Pasifik (Singapura 10,375; Filipina 9,212; Indonesia 6,006; Jepun 4,562; Myanmar 2,610; Korea Selatan 2,352; Hong Kong 1,558; Australia 1,156; Thailand 882; Kemboja 696; New Zealand 522; Brunei 508; Laos 82; China 63; Taiwan 47 dan Vietnam 29).

Indeks “kes per sejuta rakyat” kita lebih hampir dengan India, di mana wabak Covid-19 ini telah mengubah negara tersebut menjadi “neraka” untuk setiap hari dalam minggu yang lepas, dengan kadar kes Covid-19 yang memecah rekod.

Dalam tempoh tujuh hari yang lepas sahaja, jumlah kes terkumpul di India telah meningkat sebanyak 2.4 juta kes, membawa angka keseluruhan kepada 18.3 juta kes dengan hampir 205,000 kematian, sedangkan angka keseluruhan di peringkat global telah melepasi paras 150 juta kes dengan lebih daripada 3.2 juta kematian di seluruh dunia.

Di India, sistem kesihatan awam telah pun gagal, dengan kekurangan bekalan oksigen, bekalan perubatan dan kakitangan hospital menambah teruk kepada kadar peningkatan yang memecahkan rekod ini.

Di seluruh dunia pula, wabak ini tidak kelihatan seperti ia semakin mereda, dengan virus ini terus memusnahkan satu negara selepas satu negara yang lain.

Situasi di India ini adalah satu peringatan suram bahawa tidak ada sesiapa pun yang selamat sehinggalah semua orang selamat.

Namun, prestasi buruk negara kita dalam melawan wabak Covid-19 bukanlah satu-satunya bukti dan tanda sifat kakistokrasi dan keadaan “kerajaan gagal” dalam negara kita.

Contoh-contoh lain adalah:

  1. Gangguan pihak Polis terhadap kartunis Zullkiflee Anwar Haque, yang lebih dikenali sebagai Zunar, kerana satu kartun yang mengkritik keputusan kerajaan negeri Kedah untuk membatalkan cuti peristiwa Thaipusam yang telah diterbitkan di Facebook pada 23 Januari. Pihak Polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
  2. Seksyen 505(c) adalah berkenaan kesalahan mengeluarkan kenyataan khianat awam dengan niat hendak mengapikan atau yang mungkin mengapikan mana-mana golongan atau kaum melakukan sesuatu kesalahan terhadap mana-mana golongan atau kaum lain, dan sekiranya didapati bersalah, tertuduh boleh dikenakan penjaran sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.

    Adakah pihak Polis tidak ada kerja yang lebih penting?

  3. Kontroversi berterusan mengenai Ordinan Darurat yang mengenakan denda zalim sebanyak RM10,000 kepada individu dan RM50,000 kepada syarikat atas pelanggaran SOP Covid-19, termasuklah denda zalim dan tidak masuk akal sebanyak RM50,000 kepada peniaga burger di Kota Bharu, Wan Mohd Faisal Kadir, 38, yang menjalankan perniagaan gerai di hadapan rumah beliau di Kampung Rambutan Rendang, Kota Bharu, sedangkan denda ini sepatutnya digantikan dengan amaran terakhir untuk beliau tidak melanggari SOP Covid-19.
  4. Penjarahan RM5 bilion daripada Kumpulan Wang Amanah Negara untuk membeli vaksin Covid-19.
  5. Guru membuat komen lucah di dalam kelas.

Penggantungan Parlimen di bawah pelaksanaan darurat ini adalah perkara yang sangat tidak masuk akal, memandangkan prinsip pemisahan kuasa adalah salah satu ciri utama Perlembagaan Malaysia.

Bolehkah proklamasi darurat menggantung sistem kehakiman atau kedaulatan undang-undang seperti yang termaktub dalam Perlembagaan dan Rukun Negara?

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, tidak boleh berlengah lagi dan beliau perlulah menasihati Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong untuk memanggil Parlimen bersidang supaya negara kita boleh melihat prestasi yang lebih baik dalam perang melawan wabak Covid-19.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri