DAP tidak mahu “pasir” Cina atau “pasir” Inggeris, sebaliknya yang kami mahukan adalah “pasir” Malaysia
Penyajak W.B Yeat dalam sajaknya yang bertajuk “The Second Coming” menulis:
“Things fall apart; the centre cannot hold;
“Mere anarchy is loosed upon the world,
“The blood-dimmed tide is loosed, and everywhere
“The ceremony of innocence is drowned;
“The best lack all conviction, while the worst
“Are full of passionate intensity.”
DAP berpegang teguh kepada jalan tengah bagi mengelakkan negara majmuk ini dimusnahkan oleh sikap ekstremisme dan tidak bertoleransi atau terjerumus ke lembah kleptokrasi, kakistokrasi dan negara gagal.
Dikhabarkan bahawa pertentangan sengit sedang berlangsung untuk mencari jiwa sebenar DAP, yang dilabel sebagai pertentangan antara “Hua Sha” (Cauvinis Cina) melawan “Cauvinis Inggeris” (In Sha) atau turut digelar sebagai strategi “Lautan Biru melawan Lautan Merah”
Ini perkara baharu bagi saya, namun apa yang saya ingin tekankan di sini adalah kita tidak mahu “pasir” (Sha) Cina atau “pasir” (Sha) Inggeris, tetapi sebaliknya yang kita mahukan adalah “pasir” (Sha) berwajah Malaysia, yang mana merupakan pendirian parti sejak ia ditubuhkan pada 1966 -- bahawa kita berpegang teguh kepada prinsip Malaysia untuk semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum atau identiti, kerana kita tidak mahu Malaysia untuk hanya orang Melayu, Malaysia untuk hanya orang Cina, Malaysia untuk hanya orang India, Malaysia untuk hanya orang Kadazan, Malaysia untuk hanya orang Iban atau Malaysia untuk hanya Orang Asli, tetapi sebaliknya menerapkan semangat Malaysia milik rakyat Malaysia -- Malaysian Malaysia.
Inilah sebabnya mengapa saya pernah berkata semasa di Teater Impian lebih dua minggu lalu bahawa DAP tidak membawa apa-apa agenda untuk menyah-Cina, nyah-India, nyah-Melayu, nyah-Kadazan, atau nyah-Iban mana-mana orang. Sebaliknya, kita mahu rakyat Malaysia untuk menerima hakikat bahawa kita semua mempunyai pelbagai identiti -- kaum, agama, bahasa, budaya, kawasan -- tetapi apa yang paling utama sekali adalah kita semua rakyat Malaysia.
Parti ini sedang menghadapi pemilihan di peringkat negeri dan kebangsaan, dan kami mengalu-alukan sebarang perdebatan sihat berkenaan masa depan DAP dan negara.
Namun, kita harus sedar dengan ancaman luar yang mahu memecah-belahkan dan memusnahkan DAP.
Pada 19 April 2021, saya berkata:
“Gerakan ini membawa seruan ‘perpaduan Cina’ sebagai respons kepada seruan politik ‘perpaduan Melayu’, menggesa supaya dalam Pilihan Raya Umum ke-15, pengundi Cina perlu mengundi calon Cina yang baik tanpa mengira parti politik mereka.
“Inspirasi pergerakan ini datang daripada parti MCA dan Gerakan, yang berharap untuk bergabung tenaga dengan ahli-ahli DAP yang bersetuju dengan pendekatan ini.”
Kenyataan ini diputar-belitkan pihak tertentu untuk menuduh saya kononnya mendakwa terdapat gerakan dari dalam DAP yang melakukan tindak balas terhadap seruan politik “perpaduan Melayu” dengan membawa seruan politik “perpaduan Cina” dan bergabung dengan MCA serta Gerakan pada Pilihan Raya Umum ke-15.
Saya tidak pernah membuat dakwaan sebegitu. Apa yang saya katakan adalah sumber MCA dan Gerakan sedang menjulang tema “Perpaduan Cina” dengan harapan “dapat bergabung dengan ahli DAP”.
Saya yakin kader DAP yang setia dan berdedikasi tidak akan termakan dengan umpan MCA dan Gerakan untuk menyertai mereka di bawah panji “perpaduan Cina”, kerana gerakan seumpama itu pernah dilakukan sebelum ini namun gagal.
Kader DAP sangat berbeza dengan ahli MCA dan Gerakan. Kader DAP di seluruh negara memikul tanggungjawab mereka sama ada sebagai ketua kampung atau ahli majlis secara serius, malah membelanjakan wang dan menggunakan sumber sendiri untuk berkhidmat kepada rakyat, sementara ahli MCA dan Gerakan kebanyakannya mengambil peluang daripada pelantikan sebagai ketua kampung atau ahli majlis untuk kepentingan diri sendiri, termasuk mendapatkan tanah dengan geran atau tanpa geran.
Musuh DAP berharap yang DAP akan musnah, tetapi itu tidak akan berlaku.
Setengah dekad lalu, seorang pemimpin kanan UMNO berkata DAP seolah-olah “mati segan hidup tak mahu” dan pada era awal 70-an, DAP hampir mati selepas Perikatan dan seterusnya Barisan Nasional menjarah sumber dan wang untuk menakut-nakutkan atau membeli Ahli Parlimen dan Adun DAP.
Tetapi DAP terus utuh dalam 50 tahun terakhir, sementara turut menderita serangan politik baru, tetapi UMNO hari ini tidaklah sekuat semasa era 70-an, 80-an dan 90-an. UMNO kini sedang bergelut untuk meneruskan hayatnya, sementara berdepan perpecahan antara kelompok “kluster mahkamah” dan “kluster katak”. Entah bila agaknya UMNO akan mewujudkan kluster “Impian Malaysia” mereka.
Meskipun saya mengalu-alukan perdebatan mendalam dan jujur tentang masa depan DAP dan Malaysia, kita harus sedar dengan ancaman luar yang mahu memecah-belahkan dan memusnahkan DAP.
Sebagai contoh, saya telah menelanjangkan pembohongan, penipuan, kebenaran setengah masak dan berita tidak benar tentang dakwaan kononnya saya pernah mengatakan yang setiap daripada kita harus kenal dengan tulisan Jawi untuk membolehkan kita menjadi rakyat Malaysia dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng kononnya pernah mengisytiharkan bahawa beliau bukan orang Cina semasa dilantik menjadi Menteri Kewangan, terdapat mesej Whatsapp yang mengulangi penipuan dan pembohongan ini saban hari.
Ini sebabnya mengapa saya membuat seruan di Pekan Nenas untuk kader DAP di semua peringkat dan di seluruh negara supaya bersatu padu dan memberikan sokongan sepenuhnya kepada parti bagi membolehkan Pakatan Harapan mencapai puncak yang lebih tinggi pada Pilihan Raya Umum ke-15 selain menjaga benteng parti daripada ancaman luar yang ingin memecah-belahkan dan memusnahkan parti.
Kami mengalu-alukan kritikan dan pandangan jujur tentang bagaimana DAP boleh mencapai Impian Malaysia, dan dan maju ke hadapan untuk mencapai kejayaan politik baharu demi kepentingan rakyat dan negara.
Semua pemimpin DAP, kader dan ahli mempunyai satu tugas dan cabaran -- iaitu bagaimana untuk mengispirasikan semula, memotivasikan semula, dan menyuntik semula semangat semua rakyat Malaysia untuk cuba berusaha mengapai Impian Malaysia untuk menjadikan negara ini sebuah negara hebat bertaraf dunia dan untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 supaya janji yang tidak sempat ditunaikan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 dalam dilunaskan demi rakyat dan negara.