Denda RM50,000 kepada peniaga burger di Kota Bharu, Wan Mohd Faisal Wan Kadir adalah bukti terbaru kakistokrasi di bawah kerajaan Muhyiddin

Denda RM50,000 kepada peniaga burger di Kota Bharu, Wan Mohd Faisal Wan Kadir adalah bukti terbaru kakistokrasi di bawah kerajaan Muhyiddin.

Wan Mohd Faisal Wan Kadir, 38, yang menjalankan perniagaan melalui sebuah gerai di hadapan rumah beliau di Kampung Rambutan Rendang, Kota Bharu, telah dilawat oleh pihak polis pada kira-kira jam 11.10 malam, dua malam yang lepas semasa beliau sedang menyiapkan beberapa pesanan dan beliau kemudiannya didenda sebanyak RM50,000 kerana menjalankan perniagaan di luar waktu yang dibenarkan di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) di Kelantan.

Di bawah peraturan PKP di Kelantan, kedai makan hanya boleh beroperasi sehingga 10 malam.

Wan Faisal mengatakan: “Ketika itu tiada seorang pelanggan pun di gerai.

Saya sedang siapkan pesanan pelanggan iaitu golongan pekerja kilang. Biasanya pesanan itu saya akan hantar ke kilang.”

Dalam keadaan ini, Wan Faisal tidak sepatutnya dikenakan denda sebanyak RM50,000. Mampukah beliau untuk mendapatkan RM50,000 sebulan daripada operasi gerai burger beliau?

Apa yang patut dibuat oleh pihak polis adalah mengeluarkan amaran tegas kepada Wan Faisal bahawa beliau akan dikenakan denda sekiranya beliau melanggar perintah kawalan pergerakan sekali lagi.

Apa yang menambah buruk keadaan lagi adalah pihak Polis Kelantan sendiri telah melanggar garis panduan kerajaan dalam mengeluarkan notis kompaun di bawah perintah kawalan pergerakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan mengatakan, menurut garis panduan kerajaan, pemegang lesen atau pemilik premis perniagaan yang gagal mematuhi waktu perniagaan di bawah PKP adalah bersalah dalam kesalahan kategori 3 dah boleh didenda sehingga maksima RM10,000.

Pesalah juga berhak untuk mendapatkan pengurangan sehingga 50% sekiranya mereka membayar kompaun ini dalam masa tujuh hari, dan pengurangan sehingga 25% sekiranya mereka membayar dalam tempoh 14 hari.

Denda zalim sebanyak RM10,000 kepada individu dan RM50,000 kepada syarikat ini dikuatkuasakan melalui Ordinan Darurat (Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 pada 11 Mac 2021.

Selepas lebih daripada sebulan dikuatkuasakan, pihak Polis sendiri pun masih tidak memahami peraturan baharu di bawah Ordinan Darurat ini, seperti yang didakwa oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Inikah cara kerajaan kakistokratik melawan wabak Covid-19?

Tidak mengejutkanlah bahawa Malaysia tidak tergolong sebagai salah satu negara di kawasan Asia Timur dan Pasifik dengan prestasi cemerlang dalam mengendalikan wabak Covid-19.

Malaysia perlu berusaha untuk melakukan dengan lebih baik dalam mengawal penularan wabak ini.

Tamatkan darurat dan panggil Parlimen bersidang untuk menggerakkan usaha dan pendekatan yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” supaya kita boleh melawan wabak ini dengan lebih baik dan bukan ketinggalan di belakang negara-negara seperti Singapura, Taiwan, Korea Selatan, Jepun, UAE, Hong Kong, Vietnam, China, Thailand dan Arab Saudi.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri