#kerajaangagal9 -- kenyataan Takiyuddin selepas tiga bulan darurat mengatakan Parlimen hanya akan bersidang apabila masa yang tepat tiba, sama ada sebelum atau selepas Darurat Covid-19 tamat

Kenyataan mengejutkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Hal Ehwal Undang-undang), Takiyuddin Hassan selepas tiga bulan darurat diisytiharkan, mengatakan yang Parlimen akan dipanggil bersidang apabila masa yang tepat tiba, sama ada sebelum atau selepas darurat Covid-19 tamat adalah bukti terbaru kakistokrasi dan #kerajaangagal.

Takiyuddin berfikiran di bawah pemikiran yang salah kononnya beliau mengawal Parlimen dan boleh menentukan bila Parlimen akan bersidang atau tidak, kononnya beliau lebih berkuasa dan penting berbanding dengan Yang di Pertua Dewan Rakyat, yang kini dipandang beliau hanya sebagai seorang pegawai tugas khas.

Adakah Takiyuddin menyedari bahawa Yang di Pertua Dewan Rakyat berada di tempat ke-13 dalam senarai protokol seperti yang diterbitkan dalam Senarai Keutamaan Persekutuan, sedangkan seorang menteri kabinet -- termasuklah Takiyuddin sendiri -- berada di tempat yang lebih rendah di tempat ke-16 dalam senarai protokol ini?

Jadi amatlah tidak masuk akal sekiranya seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri melihat dirinya sebagai “Superman” Parlimen yang boleh menentukan sama ada Parlimen bersidang atau pun tidak.

Di bawah peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang menerima doktrin pemisahan kuasa, tidak ada mana-mana menteri -- baik Perdana Menteri sekalipun -- boleh mengawal atau mengatasi kuasa Parlimen, memandangkan perbuatan seperti itu akan menghina konsep dan kuasa semak imbang pihak eksekutif oleh Parlimen.

Bila Parlimen perlu bersidang bukanlah ditentukan oleh Takiyuddin atau Perdana Menteri, tetapi ditentukan oleh Perlembagaan Persekutuan, yang telah dicabuli oleh Kabinet, termasuklah Takiyuddin sendiri apabila mereka menghalang sidang Parlimen.

Bukanlah tugas Takiyuddin atau mana-mana menteri untuk mendapatkan nasihat mana-mana agensi berkenaan, terutamanya Kementerian Kesihatan mengenai persidangan Parlimen, sebaliknya, Yang di Pertua Dewan Rakyat dan Jawatankuasa-jawatankuasa berkenaan Parlimen yang perlu mendapatkan nasihat agensi berkenaan dan membuat keputusan mengenai apa tindakan yang perlu diambil untuk persidangan Parlimen dalam berhadapan dengan wabak Covid-19.

Kabinet Muhyiddin telah menyalah tafsir Perlembagaan Persekutuan.

Mereka tidak sepatutnya terus mengabaikan dan mencabuli Perlembagaan, sebaliknya perlu memutuskan pada hari Rabu ini untuk menasihati Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong untuk memanggil Parlimen bersidang -- dan biarkan perkara-perkara di Parlimen diuruskan oleh Yang di Pertua Dewan dan jawatankuasa yang berkenaan.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri