Seruan untuk kader DAP untuk bersatu menyokong parti untuk membolehkan Pakatan Harapan mencapai satu kemuncak baharu untuk Malaysia dalam Pilihan Raya Umum ke-15 dan juga untuk mempertahankan parti kita anasir luar yang cuba untuk memecah belahkan dan memusnahkan kita
Saya ingin membuat seruan khas kepada kader DAP untuk bersatu menyokong parti untuk membolehkan Pakatan Harapan mencapai satu kemuncak baharu untuk Malaysia dalam Pilihan Raya Umum ke-15 dan juga untuk mempertahankan parti kita anasir luar yang cuba untuk memecah belahkan dan memusnahkan kita.
Seruan ini terutamanya bermakna kerana Pekan Nenas adalah salah satu kerusi DUN di Tanjong Piai di mana pada penghujung tahun 2019, calon Pakatan Harapan telah dikalahkan dengan teruk dalam PRK Tanjong Piai.
Pakatan Harapan telah dikalahkan oleh calon Barisan Nasional dengan majoriti 15,806 undi. BN berjaya mendapatkan 25,466 undi berbanding dengan PH yang mendapat 10,380 undi, sementara calon Gerakan, Berjasa dan dua orang calon bebas semua telah kelihangan deposit mereka.
Dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018, calon PH menang dengan majoriti tipis 524 undi.
Sekiranya tren PRK Tanjong Piai ini berterusan, DAP bakal kehilangan kerusi Pekan Nenas yang dimenangi pada PRU-14 dengan 1,308 undi.
Saya berada di Sekinchan minggu lepas. Pada bulan Jun 2016, Sekinchan terlibat dengan PRK Sungai Besar yang diadakan bersama dengan PRK Kuala Kangsar.
Di kedua-dua Sungai Besar dan Kuala Kangsar, calon Pakatan Harapan kalah teruk, termasuklah di kerusi DUN yang telah dimenangi oleh DAP melalui Ng Suee Lim sebanyak tiga kali sejak tahun 2004.
PH telah kalah di Sungai Besar dengan 9,696 undi dan di Kuala Kangsar dengan 6,969 undi.
Pada bulan Jun 2006, terdapat kekecewaan dalam kalangan pemimpin, ahli, dan penyokong Pakatan Harapan mengenai masa depan dalam PRU-14 memandangkan kelihatan seakan-akan tidak ada jalan keluar untuk negara kita daripada masalah yang dihadapi.
Tetapi, keajaiban politik berlaku tidak sampai dua tahun kemudian dalam PRU-14, apabila kita berjaya mengubah situasi yang kelihatan seperti tidak ada harapan ini untuk membawa perkara yang dilihat sebagai mustahil -- peralihan kuasa secara aman dan demokratik buat pertama kali dalam negara kita.
Bolehkah kita kembali memenangi semula DUN Pekan Nenas dan kerusi Parlimen Tanjong Piai dalam PRU-15 seperti mana kita memenangi semula Sekinchan dan Sungai Besar dalam PRU-14?
Seminggu selepas PRK Tanjong Piai. Saya memberitahu dalam satu kem pemuda di Janda Baik bahawa sekiranya PRK Tanjong Piai ini adalah petanda untuk PRU-15, maka PH akan menjadi kerajaan sepenggal dan akan diundi keluar daripada Putrajaya pada pilihan raya akan datang?
Namun, kerajaan PH ini ditumbangkan tidak sampai tiga bulan kemudian, selepas 22 bulan, dan kita kini mempunyai kerajaan pintu belakang Perikatan Nasional yang tidak kompeten, tidak sah, dan kakistokratik.
Saya bertanyakan ketika itu: “Adakah rakyat Malaysia mahu kembali ke era politik perkauman dan keagamaan secara ekstrem, di mana orang Melayu dan bukan Melayu risau mengenai hak, kedudukan, dan masa depan mereka yang kononnya kini diancam oleh komuniti lain, menjadi topik perbincangan kem belia ini, ‘Adakah idea Malaysia ini hanyalah mimpi kosong?’ satu topik yang amat relevan!
“Minggu lepas, kita telah menyaksikan lebih banyak keburukan rejim kleptokratik yang lepas, bagaimana laporan audit 1MDB yang disediakan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara Parlimen diubah oleh mantan Perdana Menteri dengan pemadaman maklumat-maklumat penting mengenai skandal 1MDB -- maklumat-maklumat seperti kehadiran Jho Low dalam mesyuarat lembaga pengarah 1MDB dan status kewangan 1MDB -- atau pendedahan dalam perbicaraan mantan Timbalan Perdana Menteri mengenai rasuah, pencah amanah, dan pengubahan wang haram, di mana tidak ada satu sen pun daripada RM31 juta dalam yayasan digunakan untuk membantu golongan miskin.
“Inikah jenis pemerintahan kleptokrasi global yang mahu dikembalikan oleh rakyat Malaysia? Atau adakah negara kita akan menjadi tidak boleh ditadbir dan nasib negara kita akan menjadi sebuah negara yang gagal dan kleptokratik?
“Saya tidak berfikiran begitu.”
Saya berkata mengenai tiga kejadian semasa itu yang memberikan harapan kepada saya atas kepercayaan ini, bahawa misi untuk menjadi rakyat Malaysia dan mahukan Malaysia untuk menjadi negara yang lebih baik -- usaha yang telah saya dedikasikan 50 tahun kehidupan saya -- bukanlah satu perjuangan yang sia-sia. Kejadian ini adalah:
- Protes pelajar siswazah Universiti Malaya, Wong Yan Ker yang merisikokan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan beliau pada upacara konvokasi untuk menyatakan bahawa Malaysia adalah tanah untuk semua rakyat Malaysia.
- Jasa pegawai Jabatan Audit Negara, Nor Salwani Muhammad yang pada tahun 2016, menyimpan bukti pengubahan laporan Ketua Audit Negara mengenai skandal 1MDB.
- Majlis makan malam ulang tahun Malaysiakini yang meraikan usaha keras dan perjuangan sekumpulan wartawan Malaysia selama dua dekad.
Kerana inilah Pakatan Harapan mahu memenangi semula DUN Pekan Nenas, kerusi Parlimen Tanjong Piai, Kerajaan Negeri Johor, dan Kerajaan Persekutuan dalam PRU-15 yang akan datang, supaya kita dapat memenuhi janji-janji PRU-14 yang belum dapat dipenuhi sebelum ini.
Saya percaya masih ada harapan untuk usaha membina negara bangsa Malaysia, untuk kita bergerak meninggalkan politik toksik perkauman dan keagamaan, untuk menjadikan Malaysia sebuah negara hebat bertaraf dunia berteraskan perpaduan, keadilan, kebebasan, kecemerlangan, dan integriti.
Namun begitu, kita perlu menyemak semula cara Pakatan Harapan dan parti-parti komponennya berfungsi.
Parti-parti komponen dan pemimpin Pakatan Harapan perlu membangunkan cara fikir dan pendekatan yang berteraskan prinsip-prinsip PH untuk menyelesaikan masalah negara.
PH telah berjaya mencapai perkara yang sebelum ini mustahil dalam membawa peralihan kuasa secara aman dan demokratik pada 9 Mei 2018 kerana kita mengelakkan politik perkauman dan keagamaan yang ekstrem, sebaliknya mempromosikan nilai-nilai moderasi, toleransi, harmoni, dan perpaduan.
Kami percaya bahawa mereka yang menyebarkan kebencian ini hanyalah sebilangan kecil populasi negara dan mereka yang rasional, waras, dan bersederhana mewakili sebilangan besar rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum atau agama.
Dalam 22 bulan kerajaan PH, kita telah terlari daripada jalan tengah moderasi ini, kita mencuba untuk bersaing dengan mereka yang menyebarkan politik kebencian berasaskan perkauman dan keagamaan.
Hasilnya, yang dikejar tak dapat, yang dikendong berkeciciran -- kita telah kehilangan undi orang Melayu dan orang bukan Melayu atas sebab yang berlawanan dengan satu sama lain.
Pakatan Harapan perlu kembali ke jalan tengah ini dan bukannya bersaing dengan penyebar kebencian perkauman dan keagamaan.
Kita mahu Pakatan Harapan untuk berjaya dalam membawa agenda Malaysia Baharu dan memenuhi Impian Malaysia, di mana semua rakyat Malaysia, walaupun mempunyai pelbagai identiti berbeza, baik dari segi etnik, agama, atau budaya, mempunyai satu identiti utama sebagai rakyat Malaysia demi negara kita yang tercinta ini.
Saya menyeru kepada semua kader-kader DAP untuk bersatu di belakang parti kita untuk membawa negara kita ke sebuah kemuncak baharu dalam PRU-15 dan juga untuk bersama mempertahankan parti kita daripada anasir-anasir luar yang cuba memecah belahkan dan memusnahkan parti kita ini.