Apakah kadar pertukaran antara Ringgit Malaysia dan Dolar Singapura dalam jangka masa 50 tahun akan datang pada tahun 2070?
Dalam perjalanan pulang dari Pekan Nenas, saya sedang berfikir mengenai pelancaran buku ini apabila perkara ini terlintas di fikiran saya.
Lima puluh tahun yang lalu, satu ringgit Malaysia adalah bersamaan dengan satu dolar Singapura. Sekarang, S$1 bersamaan dengan RM3. Bagaimana keadaannya pada tahun 2050 atau 2070? Adakah nisbahnya akan menjadi 1: 4, 1: 5 atau bahkan 1: 6? Mengapa tidak ada yang terfikir bahawa sebaliknya boleh terjadi, iaitu nisbah 1: 3, 1: 2 atau bahkan 1: 1?
Inilah inti pati Impian Malaysia -- tentang bagaimana kita dapat menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia yang bersatu padu atau adakah kita akan terjerumus menjadi sebuah negara yang gagal!
Adakah kita kekurangan sumber daya, bakat, kepintaran atau apa sahaja bakat lain dan ditakdirkan untuk terus tewas dengan Singapura?
Baru-baru ini, Lee Zii Jia, 22 tahun, dari Alor Setar menjuarai kejohanan badminton “All England”, sekali gus menjadi pemain Malaysia pertama sejak Lee Chong Wei memenangi gelaran tersebut pada tahun 2017.
Kita juga mempunyai seorang lagi rakyat Malaysia, Red Hong Yi, yang menjadi terkenal di peringkat antarabangsa selepas karyanya yang mengambarkan perubahan iklim dunia dengan peta dunia sebesar 2.3m x 3m yang dibuat menggunakan 50,000 kayu mancis yang dibakar digunakan sebagai muka depan majalah Time edisi 26 April.
Hasil carian di Google akan menunjukkan begitu ramai rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai latar kaum dan agama yang telah menempa nama di peringkat antarabangsa, sekali gus mengharumkan nama negara; sebagai contoh:
- Emir Haady Imran Zulharnain, 16, menjadi individu termuda yang pernah mendaftar di Royal College of Surgeons (RCSI) di Dublin Ireland.
- Nurul Ezzaty Hasbullah, 23, yang dianugerahkan program biasiswa antarabangsa tertua di dunia, Biasiswa Rhodes untuk melanjutkan pelajarannya di Universiti Oxford. Beliau adalah rakyat Malaysia kelima yang dianugerahkan biasiswa itu.
- Doktor muda Farah Roslan yang mencipta tudung steril pakai buang pertama di England.
- Saintis Prof Dr Serena Nik-Zainal yang dianugerahkan 'Hadiah Nobel untuk Penyelidikan Kanser'.
- Enam pelajar sekolah menengah - Amelia Jade Mae-Xian Lim (Wesley Methodist School), Chin Jia Yao (Chong Hwa Independent High School), Tay Yi Cong (Chong Hwa Independent High School), Haris Dani Erwin Dani (PERMATApintar National Gifted Center), Imran Adham Azmin (PERMATApintar National Gifted Center), dan Lai Bo Wei (SMJK Chung Ling) -- yang mencipta rekod baru di Olimpiad Sains Remaja Antarabangsa ke-16 (IJSO) pada tahun 2019 di Doha.
Namun di pentas antarabangsa, Malaysia sebagai sebuah negara tidak menunjukkan prestasi sebaik itu.
Sejak tahun 1970, KDNK Malaysia telah meningkat 90 kali, namun angka itu lebih rendah berbanding Indonesia yang telah meningkat sebanyak 117 kali, Vietnam 122 kali, China 163 kali, Singapura 175 kali dan Korea Selatan 178 kali.
Selepas 50 tahun, Singapura dan Vietnam telah mengatasi Malaysia dengan mempunyai KDNK yang lebih besar.
Dalam jangka masa 50 tahun lagi, adakah kita akan mengatasi negara lain atau sebaliknya?
Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mencabar pandangan bahawa orang tua mesti meninggalkan perjuangan dan membiarkan orang muda mengambil alih.
DAP sentiasa menjadi parti muda -- kami bermula sebagai sebuah parti muda dan meneruskan perjuangan sebagai parti yang sentiasa mengutamakan kepentingan dan masa depan orang muda -- kerana kami berjuang untuk mewariskan legasi yang lebih baik dari segi kehidupan yang lebih baik untuk generasi akan datang.
Pada Pilihan Raya 1969, tiga daripada ahli Parlimen DAP berusia di bawah 30 tahun.
Fong Po Kuan dan Teresa Kok, adalah Ahli Parlimen wanita pertama DAP, yang dipilih pada PRU 1999 ketika Po Kuan baru berusia 26 tahun.
Yeo Bee Yin, Ahli Parlimen Bakri, menjadi Menteri Kabinet ketika berusia 35 tahun pada tahun 2018.
Kini, DAP mempunyai Jamaliah Jamaluddin, yang menjadi Adun Selangor Bandar Utama ketika berusia 28 tahun; Michelle Ng, yang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor untuk Subang, ketika berusia 28 tahun; Lim Yi Wei, Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor untuk Kampong Tunku ketika berusia 29 tahun; dan Young Syefura Othman, yang pertama kali menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Pahang untuk Ketari ketika berusia 29 tahun.
Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming, wakil rakyat selama lima penggal, pertama kali dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Perak ketika berusia 27 tahun; Setiausaha Agung Lim Guan Eng pertama kali menjadi Ahli Parlimen ketika berusia 26 tahun; Pengerusi DAP dan Ahli Parlimen selama lapan penggal, Tan Kok Wai pertama kali memasuki Parlimen ketika berusia 29 tahun.
Kita juga mempunyai Hannah Yeoh yang pertama kali menjadi ADUN Selangor pada usia 29 tahun dan kemudian menjadi Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor ketika berusia 34 tahun; bekas timbalan Menteri Pendidikan yang pertama kali menjadi Anggota Parlimen ketika berusia 27 tahun; Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke yang pertama kali menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Negri Sembilan ketika berusia 27 tahun; dan Senator Liew Chin Tong, Pengarah Biro Pendidikan Politik DAP, yang pertama kali dipilih sebagai Ahli Parlimen Bukit Bendera semasa berusia 31 tahun.
Saya sendiri menjadi Setiausaha Agung DAP ketika berusia 28 tahun pada tahun 1969, walaupun saya ditahan di Pusat Tahanan Muar di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.
Kami mempunyai senarai panjang pemimpin dan Ahli Dewan Undangan Negeri DAP yang diberi tanggungjawab besar ini ketika mereka masih muda, termasuk Wong Shu Qui yang pertama kali dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Johor ketika berusia 30 tahun; Vivian Wong dipilih sebagai Ahli Parlimen Sandakan ketika berusia 30 tahun; Liow Cai Tung pertama kali dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Johor pada 27; Teh Swee Leong dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Kedah ketika berusia 29 tahun; Kerk Chee Yee pertama kali menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Melaka dan dilantik menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ketika berusia 26 tahun; Teoh Kok Seong pertama kali dipilih sebagai ADUN Negeri Sembilan ketika berusia 29 tahun; Arul Kumar yang pertama kali dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Negri Sembilan ketika berusia 28 tahun; Gooi Zi Sen pertama kali menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ketika 31; Howard Lee pertama kali menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Perak ketika berusia 30 tahun; Jenny Choy pertama kali dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Perak ketika berusia 30 tahun; Ong Boon Piow pertama kali dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Perak ketika berusia 29 tahun; Phoong Jin Ze pertama kali menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah ketika berusia 29 tahun dan menjadi Menteri Sabah pada usia 30 tahun; Alice Lau pertama kali dipilih sebagai Ahli Parlimen Sarawak ketika berusia 31 tahun; Justin Wong pertama kali dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah ketika berusia 28 tahun; Lau Weng San pertama kali dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor ketika berusia 30 tahun dan ramai lagi.
Orang tua tidak boleh menjadi penghalang kepada perkembangan sahsiah golongan muda kerana golongan tua harus selalu memastikan ada pembaharuan dan pertumbuhan semula agar perjuangan politik untuk keadilan, kebebasan, meritokrasi, kecemerlangan dan integriti dapat mengambil kira aspirasi penduduk muda, memandangkan 44% penduduk di Malaysia berusia di bawah 24 tahun.
Namun, sebagai seorang yang percaya terhadap kekuatan individu, saya sama sekali tidak mampu untuk mengabaikan potensi kekuatan dan pengaruh lebih dari dua juta rakyat Malaysia yang berusia 65 tahun dan ke atas dalam membawa perubahan positif dan pembaharuan kepada institusi negara sehingga Malaysia dapat menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia.
Oleh itu, saya menyeru kepada dua juta rakyat Malaysia yang berusia 65 tahun dan ke atas untuk tidak melepaskan tanggungjawab mereka dan menggerakkan Impian Malaysia ke tahap yang baharu dan lebih tinggi, kerana mereka perlu terus memainkan peranan penting dalam membentuk masa hadapan Malaysia.