#kerajaangagal6 -- Seruan untuk pembebasan segera artis aktivis Fahmi Reza tanpa syarat kerana satira politik bukanlah satu jenayah
Malaysia semakin hari semakin menggelusur ke dalam lembah penindasan dan autoritarianisme -- dengan penangkapan artis aktivis Fahmi Reza.
Saya menyertai seruan untuk pembebasan segera Fahmi tanpa syarat, kerana satira politik bukanlah satu jenayah.
Apa yang lebih buruk lagi adalah tindakan pihak polis yang memecah masuk ke rumah Fahmi dan menyebabkan kerosakan pada pintu hadapan rumah beliau semasa penangkapan.
Sekiranya Parlimen tidak gantung secara tidak demokratik dan tidak sah, berita mengenai penangkapan Fahmi ini akan ditenggelami oleh pelbagai isu-isu lain di Parlimen -- namun semak imbang pihak eksekutif kini tidak dapat dijalankan kerana Parlimen telah digantung sidangnya.
Malaysia bukan sahaja berhadapan dengan sebuah kakistokrasi, tetapi sebuah kakistokrasi yang menindas dan bersifat autoritarian.
Sifat kakistokratik kerajaan pintu belakang yang gagal, tidak demokratik dan tidak sah ini jelas dapat dilihat daripada kegagalannya untuk mengawal wabak Covid-19 dengan berkesan, walaupun Perdana Menteri Muhyiddin Yassin cuba mendakwa sebaliknya semalam.
Kini kelihatan kerajaan seakan-akan tidak tahu bagaimana untuk menggerakkan usaha dan pendekatan yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam perang melawan wabak Covid-19 walaupun selepas lebih daripada setahun sudah berlalu sejak wabak ini bermula -- jika tidak, Parlimen pastinya tidak akan digantung sidangnya.
Semalam menandakan hari ketujuh berturut-turut di mana kadar peningkatan harian Covid-19 dalam negara berada di atas paras 2,000 kes.
Kerajaan memberikan amaran yang kes Covid-19 mungkin akan kembali ke kemuncak yang sudah lama tidak dilihat seperti dalam gelombang ketiga wabak ini akibat daripada kegagalan mematuhi SOP Covid-19.
Perkara ini tidak boleh diterima dan menjadi bukti bahawa proklamasi darurat untuk kononnya melawan Covid-19 pada 12 Januari adalah satu kegagalan besar.
Dalam beberapa hari yang lepas, terdapat beberapa contoh baharu kakistokrasi di negara kita, seperti:
- Pelajar perempuan dimalukan, diraba, dan dicabuli untuk menyemak kedatangan haid;
- Pendakwaan secara terpilih terhadap lapan ahli Persatuan Sekolah Cina Bersatu di Jerantut di atas dakwaan perhimpunan haram pada bulan Februari sementara kerajaan tidak berbuat apa-apa kepada Ketua UMNO Subang yang memimpin protes sekumpulan penduduk membantah pembinaan SJKC Too Joon Hing pada 19 April, dengan mengatakan yang sekolah kebangsaan yang sepatutnya dibina; dan
- Keputusan kerajaan untuk mewartakan ordinan darurat untuk membenarkannya mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) untuk tujuan perbelanjaan vaksin.
Dalam kenyataan #kerajaangagal3 saya pada hari Selasa, 20 April 2021, saya telah memberikan contoh tiga kejadian yang menonjolkan kakistokrasi:
- Tindakan tidak adil terhadap warga Nigeria, Simon Momoh yang ditahan untuk diusir oleh Jabatan Imigresen selepas menjalani hukuman penjara selama sehari selepas didapati bersalah memandu dalam keadaan mabuk sedangkan dia sepatutnya dibebaskan untuk pulang ke pangkuan keluarga mereka yang merupakan warga Malaysia, iaitu isterinya Low Kar Hui dan dua anak perempuannya Divine dan Elisha.
- Nasib Sekolah Convent Bukit Nenas yang berusia 122 tahun di Kuala Lumpur.
- Buku teks sejarah sekolah menengah yang sepihak, berat sebelah dan tidak tepat seperti yang didedahkan oleh sejarawan Malaysia Ranjit Singh Malhi.
Dua daripada tiga perkara ini telah menyaksikan kemajuan, dengan Mahkamah Tinggi Shah Alam memutuskan bahawa Jabatan Imigresen telah melanggar peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan Akta Imigresen 1959 dengan tindakan untuk terus menahan warga Nigeria tersebut tanpa sebarang perintah reman, dan pelanjutan selama 60 tahun pajakan untuk SMK Convent Bukit Nenas di Kuala Lumpur.
Rakyat Malaysia tidak boleh berputus asa dalam perjuangan untuk mendapatkan keadilan, kebebasan, kecemerlangan, dan integriti.
Kini, kita perlu menyelamatkan negara ini daripada kakistokrasi.