#kerajaangagal5 -- Hari ketujuh dengan lebih daripada 2,000 kes baharu

Negara kita mencatatkan 2,340 kes baharu Covid-19 semalam -- hari ketujuh berturut-turut negara ini mencatatkan lebih daripada 2,000 kes, membawa jumlah keseluruhan kes Covid-19 kepada 381,813 kes.

Kita berada di tempat ke-44 di antara negara-negara di seluruh dunia dengan jumlah kes terkumpul Covid-19 tertinggi, dan kita bakal mengatasi kedudukan Bulgaria yang berada di tempat ke-43 dengan 392,913 kes dan Arab Saudi di tempat ke-42 dengan 408,038 kes.

Namun, hanya 1.4% penduduk di Malaysia telah menerima vaksin sepenuhnya, berbanding dengan 55.2% peratus di Israel, 33% di Bahrain, 29.2% di Rusia, 26.4% di Amerika Syarikat, 16.1% di UK -- kita berada di belakang kira-kira 75 buah negara dari segi jumlah populasi yang telah menerima vaksin.

Perkara ini patut menjadi kegusaran utama Menteri Kesihatan, Kabinet, dan Perdana Menteri.

Namun, kita mempunyai seorang Menteri Kesihatan yang lebih pedulikan hal ehwal semantik, dengan mengatakan bahawa kita tidak akan berhadapan dengan gelombang keempat Covid-19 di Malaysia melainkan gelombang ketiga wabak ini (yang merupakan antara gelombang penularan yang terpanjang di dunia) telah menurunkan kadar peningkatan hariannya kepada sifar, sedangkan rakyat Malaysia bimbang jika kita dilanda gelombang keempat sebelum kita berjaya mengawal gelombang ketiga sepenuhnya.

Dan semalam, Kabinet bermesyuarat tanpa sebarang pengumuman mengenai langkah-langkah untuk mengelakkan negara kita berhadapan dengan gelombang keempat wabak Covid-19 sedangkan seorang pakar epidemiologi telah memberikan amaran yang Malaysia mungkin akan mencatatkan lebih daripada 50,000 kes aktif menjelang Hari Raya Aidilfitri pada pertengahan bulan Mei.

Jelas sekali, Perdana Menteri silap dalam mengisytiharkan darurat dan menggantung sidang Parlimen sedangkan beliau sepatutnya mengambil pendekatan menggerakkan semua pihak dengan pendekatan dan strategi yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat”, melalui Parlimen dan Dewan-dewan Undangan Negeri dalam melawan wabak Covid-19 ini.

Saya seru Perdana Menteri untuk beralih arah dan menasihati Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong untuk menamatkan darurat dan memanggil Parlimen dan Dewan-dewan Undangan Negeri untuk bersidang untuk melancarkan pendekatan dan strategi yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam melawan Covid-19.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri