#kerajaangagal4 -- kejatuhan 18 anak tangga untuk Malaysia dalam indeks tahunan kebebasan akhbar Reporters Without Borders (RSF)

Dalam siri kenyataan #kerajaangagal pertama saya pada hari Ahad, saya menggesa Menteri Kesihatan, Adham Baba, untuk berhenti memainkan hujah semantik dan sebaliknya fokus terhadap angka kadar kenaikan harian Covid-19 untuk memastikan angka ini turun ke julat dua angka, jika tidak, beliau patut letak jawatan!

Sejak daripada hari tersebut, kegagalan menguruskan Covid-19 dalam negara menjadi tema harian siri kenyataan ini.

Tidak ada bezanya hari ini, memandangkan semakin ramai rakyat Malaysia telah menyedari bahawa negara kita adalah antara negara dengan prestasi terburuk dalam mengendalikan wabak Covid-19.

Untuk enam hari berturut-turut, kita telah mencatatkan lebih daripada 2,000 kes baharu setiap hari, menimbulkan persoalan, sama ada kita sedang berhadapan dengan gelombang keempat wabak ini sebelum kita berjaya mengawal gelombang ketiga penularannya dengan menurunkan angka kes harian kepada julat dua angka.

Kita tidak mahu membandingkan negara kita dengan Amerika Syarikat atau negara-negara Eropah yang menduduki lapan daripada 10 tempat teratas di dunia. Tetapi, dia kawasan serantau Asia Timur dan Pasifik sekalipun, kita berada di belakang Singapura, Taiwan, Korea Selatan, China, Jepun, Thailand, Hong Kong, dan Vietnam dalam prestasi kita melawan wabak Covid-19.

Malaysia adalah negara dengan angka “kes per sejuta penduduk” yang terburuk di ASEAN, dengan nisbah “kes per sejuta penduduk” yang lebih tinggi berbanding dengan India -- sebuah negara yang sedang berhadapan dengan gelombang baharu yang baru sahaja merampas semula kedudukan sebagai negara kedua dengan jumlah kes tertinggi daripada Brazil pada 10 April 2021.

Kementerian Kesihatan mengatakan semalam yang penularan wabak Covid-19 adalah satu fenomena global dan tidak terhad kepada Malaysia, bahawa negara jiran seperti Thailand dan Indonesia juga sedang bergelut dengan peningkatan kadar jangkitan.

Adakah sebarang penjelasan mengapa negara kita mencatatkan nisbah 11,606 kes per sejuta penduduk, berbanding dengan Indonesia dengan 5,855 dan Thailand dengan 646?

Mengapakah Malaysia berada di tempat ke-44 di seluruh dunia dengan 379,473 jumlah kes terkumpul, berbanding dengan Thailand yang mempunyai dua kali ganda jumlah penduduk yang mencatatkan hanya 45,185 kes di tempat ke-107?

Namun apa yang lebih utama dalam kenyataan #kerajaangagal4 hari ini mestilah kejatuhan 18 anak tangga untuk Malaysia dalam indeks kebebasan akhbar 2021 Reporters Without Borders (RSF) -- dengan negara kita mencatatkan kejatuhan anak tangga terbesar dalam kalangan 180 buah negara di seluruh dunia.

Berada di tempat ke-119, negara kita berada di antara Republik Kongo dan Nigeria.

Kedudukan terbaik yang pernah disaksikan oleh negara kita adalah pada tahun 2020 (di tempat ke-101 daripada 180 buah negara) manakala tahun 2014 dan 2015 menyaksikan negara kita di kedudukan terburuk di tempat ke-147.

RSF mengatakan situasi kebebasan akhbar di Malaysia bertambah baik secara dramatik selepas pilihan raya umum 2018, tetapi perkara kini bergerak mundur ke belakang sejak kerajaan Pakatan Harapan ditumbangkan hanya selepas 22 bulan mentadbir melalui konspirasi Langkah Sheraton yang membawa masuk kerajaan pintu belakang Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang tidak sah dan tidak demokratik.

“Untuk pihak media, pengembalian peraturan yang bersifat lebih zalim pada tahun 2020 telah membawa kepada pendakwaan, serbuan polis, penghalauan (wartawan dan pemberi maklumat), dan pencabulan kerahsiaan sumber wartawan.

“Untuk mempertahankan diri mereka daripada serangan kerajaan, ramai wartawan kini telah menapis laporan mereka sendiri,” kata mereka.

Daripada skala besar ke skala kecil, dengan di skala kecil dapat disaksikan dengan 10 unit alat bantuan pernafasan yang tidak berfungsi yang diberikan kepada hospital di Sarawak sempena lawatan Menteri Kesihatan pada 13 April, seperti yang didedahkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak untuk Bukit Assek, Irene Mary Chang Oi Ling.

Sekurang-kurangnya, alat bantuan pernafasan yang tidak berfungsi atau rosak ini boleh digantikan, tetapi bolehkah kejatuhan 18 kedudukan untuk negara kita dalam indeks kebebasan akhbar 2021 RSF ini diperbetulkan dan diperbaiki oleh sebuah kerajaan pintu belakang yang tidak demokratik dan tidak sah yang bergantung kepada darurat sebagai bantuan hayatnya?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri