Marilah kita berbahas dengan jujur mengenai masa hadapan Malaysia dan DAP dan bukannya menggunakan penipuan, fitnah, dan putar belit fakta

Semalam saya telah kata terdapat pergerakan yang menyeru “perpaduan Cina” sebagai respons kepada seruan politik “perpaduan Melayu”, menggesa supaya dalam Pilihan Raya Umum ke-15, pengundi Cina perlu mengundi calon Cina yang baik tanpa mengira parti politik mereka.

Saya telah katakan: “Inspirasi pergerakan ini datang daripada parti MCA dan Gerakan, yang berharap untuk bergabung tenaga dengan ahli-ahli DAP yang bersetuju dengan pendekatan ini.”

Perkara ini telah diputar belit kepada kononnya saya mengatakan terdapat unsur-unsur dalam DAP yang bekerjasama dengan MCA dan Gerakan untuk melancarkan kempen “Perpaduan Cina” untuk meminta pengundi Cina mengundi calon Cina yang baik tanpa mengira parti politik mereka.

Inilah contoh penipuan dan putar belit fakta yang digunakan untuk menuduh saya sebagai mengatakan kononnya seseorang itu perlu mempelajari Jawi untuk menjadi rakyat Malaysia, atau kononnya Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengumumkan yang beliau bukanlah seorang Cina apabila beliau dilantik menjadi Menteri Kewangan sedangkan kami tidak pernah pun mengatakan sebarang perkara seperti ini.

Pernahkah saya katakan yang seseorang itu perlu belajar Jawi untuk menjadi rakyat Malaysia?

Inilah apa yang saya katakan di Salem pada bulan Ogos 2019 semasa kontroversi mengenai isu Jawi di sekolah rendah jenis Cina dan Tamil meletus:

“Semasa dalam tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri pada tahun 1969, saya belajar sendiri menulis Jawi dalam tahanan. Perkara ini tidak mengurangkan identiti saya sebagai seorang Cina, tetapi mungkin telah membantu identiti saya sebagai seorang rakyat Malaysia.”

Hanya mereka yang buta huruf dan mempunyai kebankrapan moral sahaja yang akan menafsir ayat di atas sebagai mengatakan seseorang perlu mempelajari Jawi untuk menjadi rakyat Malaysia.

Saya telah dituduh sebagai mengabaikan pendirian saya pada tahun 1984 mengenai Jawi, di mana saya telah nyatakan dalam satu ucapan kepada Jawatankuasa Negeri DAP Selangor pada 1 Jun 1984. Berikut adalah apa yang katakan (ucapan ini ada di laman web):

“DAP membantah Jawi sebagai mata pelajaran wajib di sekolah rendah kerana perkara ini jelas bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan dalam Artikel 152 yang menjelaskan bahawa tulisan Rumi Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan. Maka tulisan Jawi ini bukanlah sebahagian daripada bahasa kebangsaan atau bahasa rasmi.”

Pendirian DAP mengenai Jawi, sama ada pada tahun 1984, 2019, atau 2021 kekal tidak berubah.

Ada tiga perkara yang saya kemukakan di Salem pada bulan Ogos 2019:

  • Jawi bukan mata pelajaran wajib, tetapi pilihan, kepada pelajar di sekolah rendah jenis Cina dan Tamil, dan tidak akan ada paksaan dalam pembelajaran, atau peperiksaan untuk Jawi.
  • Rancangan untuk menyemak semula kurikulum untuk menyertakan Jawi dalam buku teks mata pelajaran Bahasa Malaysia darjah 4 pada tahun 2020 diputuskan oleh kerajaan Barisan Nasional pada tahun 2014-2016.
  • Kenyataan daripada Kementerian Pendidikan bahawa “Walaupun rancangan untuk memperkenalkan khat di sekolah akan diteruskan, pihak kementerian masih akan menerima pandangan pelbagai pihak untuk memastikan terdapatnya pertimbangan yang adil” menunjukkan yang Kementerian Pendidikan masih terbuka kepada pandangan dan rundingan daripada semua pihak yang berkenaan.

Bagaimanakah pendirian saya mengenai Jawi pada tahun 2019 telah berubah dengan pendirian saya pada tahun 1984?

Penting juga untuk diingati, bahawa kerajaan pintu belakang Perikatan Nasional yang tidak demokratik dan tidak sah sudah pun berkuasa selama lebih daripada setahun, di mana MCA dan Gerakan adalah sebahagian daripadanya. Mengapakah pengkritik ini tidak konsisten, kerana mereka tidak meminta tiga muka surat jawi dibuang daripada kurikulum sekolah rendah jenis Cina dan Tamil?

Fitnah dan putar belit yang sama digunakan dalam menuduh Guan Eng kononnya mengumumkan yang beliau seorang Cina apabila dilantik sebagai Menteri Kewangan sedangkan apa yang mahu ditekankan beliau adalah beliau akan menjadi Menteri Kewangan untuk semua rakyat Malaysia.

Sekali lagi, hanya mereka yang buta huruf atau mereka yang berniat jahat sahaja yang akan menggunakan taktik keji seperti ini.

Kerana inilah apabila saya cuba menjelaskan gambaran sebenar mengenai mengapa Sijil Peperiksaan Dipersatukan (UEC) tidak diberikan pengiktirafan dalam tempoh 22 bulan pentadbiran Pakatan Harapan sebelum ia ditumbangkan melalui konspirasi Langkah Sheraton, terdapat reaksi yang sangat kuat yang membawa kepada serangan tentera siber yang cuba mengatakan yang mereka tidak mahu mendengari sebarang penjelasan mengenai perkara ini.

Mengapakah begini?

Sekiranya apa yang saya katakan itu mempunyai kesilapan, dedahkanlah. Menutup mata dan telinga bukanlah satu tindakan yang rasional.

Saya telah memetik apa yang dijanjikan oleh Pakatan Harapan mengenai UEC dalam Buku Harapan, yang mengatakan:

“Pakatan Harapan akan mengiktiraf sijil UEC sebagai syarat am kelayakan untuk memasuki institusi-institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dengan syarat pemohon memiliki kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di peringkat SPM. Untuk tujuan ini, sijil UEC akan dinilai agar setaraf dengan syarat am kelayakan sedia ada untuk kemasukan ke IPTA.”

Saya juga telah menekankan di pemukiman DAP pada tahun 2019, Perdana Menteri sewaktu itu, Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengatakan yang kerajaan Pakatan Harapan kekal komited kepada janji untuk mengiktiraf UEC untuk kemasukan ke institusi pengajian awam selepas kaji selidik dijalankan. Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah membuat komitmen yang serupa.

Namun penggulingan kerajaan Pakatan Harapan hanya selepas 22 bulan melalui konspirasi Langkah Sheraton telah membuatkan perkara ini yang sepatutnya dipenuhi dalam tempoh lima tahun, mustahil untuk dipenuhi.

Mengapakah pengkritik ini tidak meminta kerajaan PN, yang mempunyai MCA dan Gerakan, untuk memberikan pengiktirafan kepada UEC?

Saya mengakui yang harapan yang tinggi dan jangkaan selepas PRU14 untuk mengembalikan Malaysia ke arah menjadi negara hebat berkelas dunia -- dalam kata-kata Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman, untuk menjadi “sinar cahaya dalam dunia yang kelam dan terganggu” -- tidak berjaya dipenuhi sepenuhnya.

Marilah kita berbahas dengan jujur mengenai masa hadapan Malaysia dan DAP dan bukannya menggunakan penipuan, fitnah, dan putar belit fakta.

Tetapi kita tidak boleh berputus asa dengan Impian Malaysia untuk menjadikan negara kita negara hebat bertaraf dunia.

Marilah kita kembali kepada perkara asas, dan fokus kepada cabaran sebenar kita -- untuk menghidupkan semula dan memberikan motivasi kepada rakyat Malaysia, baik di dalam negara atau di luar negara, memberikan harapan untuk mencapai Impian Malaysia untuk negara kita menjadi negara hebat berkelas dunia dengan memastikan Pilihan Raya Umum ke-15 dapat memenuhi cita-cita yang terbantut dalam PRU-14 yang lalu!

Kita telah menolak kleptokrasi dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

Marilah kita semua rakyat Malaysia menolak kakistokrasi dalam Pilihan Raya Umum ke-15.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri