Mengapa Malaysia kini berada di kedudukan ke-44 sebagai negara dengan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 tertinggi di dunia, sedangkan kita pernah berada di kedudukan ke-85 pada 11 November -- manakala China menurun dari tangga pertama tahun lalu kepada tangga ke-95 hari ini?

Dengan peningkatan kes Covid-19 baharu sebanyak 2,078 kes yang dicatatkan semalam, Malaysia kini telah memasuki hari kelima berturut-turut merekodkan jumlah kes harian melepasi paras 2,000 kes - 2,331 kes pada Sabtu, 2,551 kes (Jumaat) dan 2,148 kes (Khamis).

Jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 377,132, mengatasi Slovakia yang sebelum ini berada di tangga ke-44 dengan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 tertinggi di dunia.

Sebaliknya China, yang merupakan negara terburuk di dunia dengan kes tertinggi positif Covid-19 pada awal tahun lalu, kini berada di kedudukan yang lebih baik iaitu di tangga ke-95.

Mengapa China, yang mempunyai jumlah penduduk 50 kali ganda daripada Malaysia, boleh berada di tangga ke-95 sebagai negara dengan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 tertinggi di dunia, sementara Malaysia berada di tangga ke-44, lebih-lebih lagi selepas negara kita berada di kedudukan lebih baik iaitu di tangga ke-85 pada 11 November tahun lalu?

Kita kini menjadi antara negara yang menunjukkan prestasi paling buruk dalam melawan pandemik Covid-19. Maka memang tidak salah untuk melabel kerajaan hari ini sebagai #kerajaangagal.

Kenyataan harian ketiga berhubung #kerajaangagal hari ini ingin menyentuh persoalan mengapa Malaysia adalah negara paling buruk di ASEAN bagi “jumlah kes per sejuta penduduk”, kerana Malaysia memimpin ASEAN dengan 11,534 kes per sejuta penduduk, berbanding Filipina dengan 8,540 kes, Indonesia (5,834), Singapura (10,336), Myanmar (2,608), Thailand (625), Vietnam (28), Cambodia (415), Brunei (501) dan Laos (8).

Malaysia memiliki nisbah “jumlah kes per sejuta penduduk” lebih tinggi berbanding India, yang mana sebelum ini mengambil kedudukan kedua dari Brazil sebagai negara dengan keseluruhan kes positif Covid-19 tertinggi di dunia. India mempunyai nisbah 11,011 kes per sejuta penduduk berbanding Malaysia dengan 11,534 kes.

10 negara yang merekodkan keseluruhan kes positif Covid-19 tertinggi di dunia dengan jumlah keseluruhan kes sebanyak 142,687,727 kes adalah seperti berikut:

1. USA 32,472,641

2. India 15,314,714

3. Brazil 13,977,713

4. Perancis 5,296,222

5. Rusia 4,710,690

6. UK 4,390,783

7. Turki 4,323,596

8. Itali 3,878,994

9. Sepanyol 3,428,354

10. Jerman 3,164,447

Kenyataan pertama berkenaan #kerajaangagal yang dikeluarkan pada Ahad lalu, menggesa agar Menteri Kesihatan, Adham Baba, berhenti memainkan hujah semantik dan sebaliknya fokus terhadap angka kadar kenaikan harian Covid-19 untuk memastikan angka ini turun ke julat dua angka, jika tidak, beliau patut letak jawatan!

Jelas, salah satu alasan utama mengapa Malaysia merupakan salah satu negara yang menunjukkan prestasi terburuk dalam melawan pandemik Covid-19 adalah kerana tindakan menggantung Parlimen selain menghentikan mekanisme semak dan imbang terhadap kuasa Eksekutif.

Adakah Kabinet esok akan menentukan sama ada Perdana Menteri wajar menasihati Yang di Pertuan Agong untuk mengadakan semula sidang Parlimen dan sekali gus menjadikan negara kita sebagai antara negara yang menunjukkan prestasi yang baik dalam usaha melawan pandemik Covid-19.

Atau adakah Kabinet yang paling besar dalam sejarah Malaysia ini akan terus buta tuli dan buat-buat tak endah?

Kenyataan kedua berkenaan #kerajaangagal yang dikeluarkan semalam adalah berhubung tindakan sebuah sekolah di Batu Pahat yang mengasingkan pelajar mengikut kaum dan jantina untuk aktiviti kokurikulum - yang mana jelas bertentangan dengan objektif kebangsaan untuk membina sebuah Bangsa Malaysia yang meliputi pelbagai kaum di Malaysia.

Kenyataan ketiga berkenaan #kerajaangagal hari ini menyentuh tiga isu kakistokrasi dan negara gagal, seperti:

  1. Tindakan tidak adil terhadap warga Nigeria, Simon Momoh yang ditahan untuk diusir oleh Jabatan Imigresen selepas menjalani hukuman penjara selama sehari selepas didapati bersalah memandu dalam keadaan mabuk sedangkan dia sepatutnya dibebaskan untuk pulang ke pangkuan keluarga mereka yang merupakan warga Malaysia, iaitu isterinya Low Kar Hui dan dua anak perempuannya Divine dan Elisha. Adakah Menteri Dalam Negeri akan masuk campur dan memberikan keadilan kepada Momoh?
  2. Kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) mendengar desakan untuk memastikan institusi warisan seperti Convent Bukit Nenas yang berusia 122 tahun di Kuala Lumpur tetap berada di lokasi mereka dengan memberikan geran tetap. Adakah Menteri Wilayah Persekutuan akan memberi reaksi terhadap isu?
  3. Buku teks sejarah sekolah menengah yang sepihak, berat sebelah dan tidak tepat seperti yang didedahkan oleh sejarawan Malaysia Ranjit Singh Malhi. Tujuh belas daripada 18 penulis buku teks sejarah Tingkatan 1 hingga 5 adalah daripada satu kumpulan etnik yang mengakibatkan generasi baru di sekolah-sekolah terutama mempelajari sejarah Malaysia dan dunia dari perspektif tertentu dan secara khusus dilihat melalui sudut pandang satu kumpulan etnik. Adakah Menteri Pendidikan akan memastikan laporan yang mencukupi, seimbang dan adil mengenai kemunculan dan pertumbuhan masyarakat majmuk Malaysia dalam buku teks sejarah sekolah menengah?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri