Terdapat gerakan yang mempersoalkan mengapa Gobind, Kula, Tengku Zulpuri, Ramasamy, Jagdeep, Aziz Bari, Zairil dan lain-lain menjadi Ahli Parlimen/ADUN DAP, sedangkan semua jawatan ini patut ditandingi oleh calon Cina

Terdapat gerakan diam-diam yang mempersoalkan mengapa Gobind, Kula, Tengku Zulpuri, Noorita Sual, Rayer, Ram Karpal, Kasthuri, Sivakumar, Mordi Bimol dan Charles Santiago menjadi Ahli Parlimen DAP, Ramasamy menjadi Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Aziz Baru menjadi Ketua Pembangkang di Perak, dan Zairil, Jagdeep, Ganabatirau, Arul Kuma dan Veerapen menjadi Ahli-ahli EXCO, dan Rajiv, Edry, Jamaliah, Syerleena, Satees, Sivanesan, Terence Naidu, Young Syefura, Kamache, Gunasekaran, Mary Josephine, Saminathan, Ramakrishnan, Sheikh Umar dan Jannie Lasimbang menjadi ADUN sedangkan semua jawatan ini patut ditandingi oleh calon Cina.

Gerakan ini membawa seruan “perpaduan Cina” sebagai respons kepada seruan politik “perpaduan Melayu”, menggesa supaya dalam Pilihan Raya Umum ke-15, pengundi Cina perlu mengundi calon Cina yang baik tanpa mengira parti politik mereka.

Inspirasi pergerakan ini datang daripada parti MCA dan Gerakan, yang berharap untuk bergabung tenaga dengan ahli-ahli DAP yang bersetuju dengan pendekatan ini.

Kerana inilah apabila saya cuba menjelaskan gambaran sebenar mengenai mengapa Sijil Peperiksaan Dipersatukan (UEC) tidak diberikan pengiktirafan dalam tempoh 22 bulan pentadbiran Pakatan Harapan sebelum ia ditumbangkan melalui konspirasi Langkah Sheraton, terdapat reaksi yang sangat kuat yang membawa kepada serangan tentera siber yang cuba mengatakan yang mereka tidak mahu mendengari sebarang penjelasan mengenai perkara ini.

Mengapakah begini?

Sekiranya apa yang saya katakan itu mempunyai kesilapan, dedahkanlah. Menutup mata dan telinga bukanlah satu tindakan yang rasional.

Saya telah memetik apa yang dijanjikan oleh Pakatan Harapan mengenai UEC dalam Buku Harapan, yang mengatakan:

“Pakatan Harapan akan mengiktiraf sijil UEC sebagai syarat am kelayakan untuk memasuki institusi-institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dengan syarat pemohon memiliki kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di peringkat SPM. Untuk tujuan ini, sijil UEC akan dinilai agar setaraf dengan syarat am kelayakan sedia ada untuk kemasukan ke IPTA.”

Saya juga telah menekankan di pemukiman DAP pada tahun 2019, Perdana Menteri sewaktu itu, Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengatakan yang kerajaan Pakatan Harapan kekal komited kepada janji untuk mengiktiraf UEC untuk kemasukan ke institusi pengajian awam selepas kaji selidik dijalankan. Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah membuat komitmen yang serupa.

Saya mengakui yang harapan yang tinggi dan jangkaan selepas PRU14 untuk mengembalikan Malaysia ke arah menjadi negara hebat berkelas dunia -- dalam kata-kata Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman, untuk menjadi “sinar cahaya dalam dunia yang kelam dan terganggu” -- tidak berjaya dipenuhi sepenuhnya.

Saya telah katakan: “Daripada mendapat reformasi institusi reformasi dan perubahan politik, ekonomi, sosial, dan pendidikan selama lima tahun untuk menetapkan hala tuju negara kita sebagai negara yang hebat, kerajaan Pakatan Harapan ditumbangkan hanya selepas 22 bulan melalui konspirasi Langkah Sheraton, yang membawa masuk sebuah kerajaan pintu belakang yang tidak sah dan tidak demokratik yang telah menggantung sidang Parlimen demi kelangsungan hidupnya.”

Adakah saya telah mengatakan apa-apa yang salah, tidak benar, atau silap? Jika ya, sila tunjukkannya.

Keengganan untuk mendengar penjelasan ini juga terbukti jelas apabila saya cuba menjelaskan, dengan fakta, penipuan yang kononnya saya telah berubah daripada pendirian saya pada tahun 1984, yang saya kini mengatakan seseorang itu perlu mempelajari Jawi untuk menjadi rakyat Malaysia, atau kononnya Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengumumkan yang beliau bukanlah seorang Cina apabila beliau dilantik menjadi Menteri Kewangan.

Mengapakah takut dengan kebenaran?

Cabaran sebenar yang dihadapi kita sekarang adalah sama ada kita mampu untuk menghidupkan semula dan memberikan motivasi kepada rakyat Malaysia, baik di dalam negara atau di luar negara, memberikan harapan untuk mencapai Impian Malaysia untuk negara kita menjadi negara hebat berkelas dunia dengan memastikan Pilihan Raya Umum ke-15 dapat memenuhi cita-cita yang terbantut dalam PRU-14 yang lalu!

Saya telah katakan yang perkara ini boleh dilakukan walaupun ia tidaklah mudah. Waktu yang paling gelap adalah waktu sebelum subuh. Apa yang kita perlukan adalah keazaman, stamina, komitmen, dan kecekalan untuk mengejar Impian Malaysia ini.

Kita telah menolak kleptokrasi dalam Pilihan Raya Umum ke-14. Marilah kita semua rakyat Malaysia menolak kakistokrasi dalam Pilihan Raya Umum ke-15.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri