Contoh kedua #kerajaangagal -- sekolah di Batu Pahat mengasingkan pelajar mengikut kaum dan jantina untuk aktiviti kokurikulum

Semalam, saya menggesa Menteri Kesihatan, Adham Baba, untuk berhenti memainkan hujah semantik dan sebaliknya fokus terhadap angka kadar kenaikan harian Covid-19 untuk memastikan angka ini turun ke julat dua angka, jika tidak, beliau patut letak jawatan!

Semalam merupakan hari keempat berturut-turut di mana kenaikan baharu kes Covid-19 melepasi paras 2,000, dengan 2,195 kes baharu Covid-19 dicatatkan, selepas sebanyak 2,148, 2,551 dan 2,331 kes dicatatkan sepanjang tiga hari lalu menjadikan kes terkumpul Covid-19 kini mencecah 375,054.

Jika peningkatan kes baharu Covid-19 di Malaysia berterusan meningkat di atas paras 2,000 hari ini, Malaysia akan mengatasi Slovakia untuk berada di kedudukan ke-44 antara negara-negara di dunia dengan kes terkumpul Covid-19 terbanyak. Ini bukanlah rekod yang harus negara banggakan.

Sementara rakyat Malaysia bimbang negara akan dilanda gelombang keempat Covid-19 sebelum gelombang ketiga Covid-19 (yang mana telah menjadi gelombang penularan Covid terpanjang di dunia) dapat dikawal dan memastikan angkat kes turun ke julat dua angka, Adham sebaliknya lebih berminat memainkan hujah semantik dengan mendakwa bahawa gelombang keempat Covid-19 tidak akan boleh berlaku selepas kita mencatatkan sifar kes Covid-19 dalam situasi gelombang ketiga wabak itu.

Kenyataan saya semalam adalah hari pertama dalam siri harian #kerajaangagal bagi mengambarkan bahawa Malaysia telah menjadi sebuah kakistokrasi di bawah kerajaan pintu belakang, tidak demokratik dan terbentuk secara tidak sah melalui Langkah Sheraton.

Hari kedua dalam siri #kerajaangagal adalah peristiwa di mana sebuah sekolah di Batu Pahat memisahkan pelajar untuk aktiviti kokurikulum berdasarkan kaum dan jantina

Sekolah sepatutnya memainkan peranan untuk menanamkan nilai-nilai perpaduan dalam generasi baru rakyat Malaysia tanpa mengirakaum, agama, wilayah atau jantina tetapi SMK Dato Bentara Luar telah melakukan sebaliknya.

Permohonan maaf oleh pengetua sekolah atas kesalahan serius tersebut sangat tidak memadai, dan rakyat Malaysia berhak mengetahui tindakan yang akan diambil oleh Kementerian Pendidikan atas pelanggaran berat terhadap etika Malaysia.

Bagaimana seseorang boleh dinaikkan pangkat sebagai pengetua sekolah yang mempunyai visi untuk sekolahnya bukan untuk menyemai perpaduan nasional tetapi sebaliknya menyemai perpecahan dan pemisahan.

Mesej yang keras dan tegas harus disampaikan kepada semua guru, khususnya pengetua sekolah, bahawa setelah enam dekad pembinaan negara, mereka mesti mempromosikan perpaduan rakyat Malaysia dan tidak mendorong perpecahan di kalangan generasi baru rakyat Malaysia.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri